Dr. Mamat Desa
7 Jun 2022
Menuding jari kepada ‘kluster mahkamah,’ ‘kleptokrat’ dan pemimpin yang idamkan kerusi menteri, hanyalah retorik politik dangkal dan klise yang sudah basi.

Dahulu golongan yang beretorik ini saban hari mengutuk ‘kerajaan tebuk atap’ Muhyiddin Yassin yang sewajarnya dibubarkan atas falsafah ‘mengembalikan mandat rakyat’.
Tidakkah hanya satu jalan sahaja untuk mengembalikan ‘mandat rakyat’ iaitu dengan mengadakan ‘PRU15’.

Ketidakstabilan politik yang dibebankan lagi dengan Covid19, Perang Rusia-Ukraine, inflasi, rencatan import-eksport bahan makanan, kenaikan harga petrol, tidak akan dapat diatasi dengan kerajaan ‘poliparti’ yang mendukung ideologi politik cacamarba.

Hari ini apabila Menteri Ekonomi, Menteri MITI, Menteri Komoditi, Menteri MAFI, Menteri Hal Ehwal Pengguna, dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara semuanya adalah daripada PPBM yang juga merupakan tokoh-tokoh PH semasa PH berkuasa, tidak efisien dalam menangani kenaikan harga bahan harian, UMNO juga yang dipersalahkan, kerana PM adalah tokoh pemimpin UMNO.
Sudah ada penganalisis yang melihat wujudnya konspirasi melonjakkan harga bahan makanan, agar BN-UMNO kecundang pada PRU15 nanti.
Kadar pengangguran masih tinggi, manakala majoriti lulusan universiti hari ini tiada banyak pilihan kecuali menjadi ‘rider’ Grab, Lalamove, Food Panda, Mr Speedy, GoGet dan entah apa-apa lagi.
Situasi ekonomi rakyat diparahkan lagi dengan dasar DAP yang telah membuang penjawat awam, manakala sesetengah pekerjaan golongan rendah di jabatan-jabatan kerajaan telah ditamatkan.
Pelabur asing yang tidak yakin dengan kestabilan politik negara sejak PH berkuasa juga telah berpindah ke negara jiran dan hakikat ini juga menyebabkan sejumlah besar rakyat yang kehilangan pekerjaan.
Ahli-ahli politik dan pemimpin dalam kerajaan seringkali bebalah sesama mereka kerana terdapat blok-blok politik dalam kerajaan yang tidak sekata dan memusuhi sesama mereka.
Lihat sahaja apabila Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin bergerak ke sana-sini melobi dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan UMNO-BN sedangan UMNO-BN adalah parti komponen kerajaan, malah PM Ismail Sabri adalah tokoh pemimpin UMNO.
PAS pula tidak lekang mengutuk UMNO untuk menyatakan penolakan mereka terhadap MN, kerana UMNO tidak melayan sikap tamak mereka sebagaimana ditunjukkan di PRN Melaka dan PRN Johor.
Jelaslah bahawa masing-masing menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam yang mencari jalan untuk memusnahkan masa depan masing-masing.
UMNO sememangnya tidak dapat bekerjasama dengan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin kerana sudah terang lagi bersuluh apabila PPBM yang ditubuhkan atas idea Lim Kit Siang ketika dia masih Pengerusi DAP adalah untuk membunuh UMNO.
Pada konsep yang sama, begitu jugalah kebencian PAS terhadap Amanah kerana Amanah ditubuhkan juga dengan idea Lim Kit Siang untuk ‘membunuh PAS’.
PAS cuba menunjukkan bahawa mereka adalah peneraju penyatuan ummah tetapi hakikatnya mereka tidak ikhlas dengan Muafakat Nasional setelah mendapat laba dan sogokan daripada Muhyiddin.
Lihatlah sahaja bagaimana ahli parlimen Labuan, YB Rozman Isli mendedahkan ugutan dan sogokan yang cuba dibuat oleh ‘orang-orang Muhyiddin’ terhadapnya. Rozman Isli, bukan satu-satunya mangsa ‘pendakwaan terpilih PPBM’.

Bekas Ketua Polis Negara juga telah mendedahkan kewujudan pihak yang masuk campur dalam urusan PDRM, malah bekas Peguam Negara juga telah mendedahkan terdapatnya gejala masuk campur dalam urusan badan perundangan negara yang bercanggah dengan prinsip ‘doktrin pengasingan kuasa’ dalam sistem demokrasi.
Lantas rakyat sudah bosan dengan lanskap politik PH, PN mahupun ‘Keluarga Malaysia’ dan ‘Malaysia Baharu’ yang hanya merupakan retorik politik untuk mempertahankan survival politik blok-blok parti politik tertentu.
Jalan yang paling baik ialah mengadakan PRU15, sebagaibagai PRN Melaka, PRN Johor, dan PRN Sarawak yang berjaya meletakkan negeri-negeri berkenaan dalam situasi politik yang jauh lebih stabil dan menolak petembungan ideologi ‘poliparti’ yang caca marba.
Usahlah DAP, PH, PAS, PN atau Bersatu, cuba berdolak-dalik untuk membangkitkan klise basi bahawa PRU15 adalah terbangkit kerana desakan ‘kleptokrat’, ‘kluster mahkamah’, ‘gila nak jadi menteri’, dan alasan kegilaan yang lain.
Hakikatnya PRU15 adalah kehendak hati nurani rakyat!
*****
Tinggalkan Jawapan