Editorial
6 Jun 2022
PPBM (Bersatu) pada hakikatnya hanya mempunyai 6 ahli parlimen sahaja, meskipun pada kertas tercatat 31 ahli parlimennya, namun 15 daripadanya adalah katak politik dari UMNO manakala 10 lagi katak dari PKR.

Tidak hairanlah sekiranya ada dalam kalangan penganalisis politik yang menterjemahkan kerajaan PN yang didominasi PPBM dan Muhyiddin selama 17 bulan tempoh hari, sebagai ‘kerajaan katak’.
Dalam kalangan 25 ahli parlimen PPBM itu, mereka telah memenangi PRU14, masing-masing atas tiket UMNO dan PKR.
Lantas apabila mereka melompat keluar parti UMNO dan PKR atas apa juga alasan, mereka telah kehilangan akar umbi, tiada jentera parti, sedangkan kawasan parlimen mereka adalah kawasan tradisi UMNO dan PKR.
Akar umbi dan jentera parti yang berkhidmat pada PRU14 tempoh hari, tidak akan lagi berkhidmat untuk mereka, sebaliknya akan berjuang membela calon UMNO manakala di kawasan PKR, maka mereka akan membela calon PKR.

Lihatlah sahaja contoh yang jelas di DUN Bukit Gambir apabila akar umbi UMNO dan jentera parti langsung tidak memberi laluan kepada calon DUN PPBM, meskipun penyandangnya adalah Presiden PPBM.
Muhyiddin kini menggelabah bagaikan disampuk sawan apabila mendakwa dia sudah mempunyai 119 sokongan sebagaimana didedahkan Presiden Warisan, DS Shafie Apdal.
Sekiranya Perikatan Nasional (PN) masih relevan, maka relevannya PN bukan lagi kerana Muhyiddin atau PPBM, sebaliknya kerana PAS, akar umbi PAS dan jentera parti PAS.
Walau bagaimanapun PAS juga kelihatan sedang menggelupur apabila ramai akar umbi mula memberontak setelah pemimpin PAS mengkhianati Muafakat Nasional.
Situasi dan scenario pentadbiran PAS di Kelantan yang gagal menguruskan soal air bersih, kemelut personaliti MB Kedah telah menyebabkan rakyat tidak lagi taksub pada pemimpin yang lupa daratan setelah diberi jawatan Menteri dan kedudukan da;am GLC.

Lihatlah sikap biadap Takiyuddin Hassan terhadap DYMM SPBY DP Agong dalam isu Ordinan Darurat, kemelut politik atas isu penyingkiran Mohd Khairuddin Aman Razali, pendirian Nik Abduh yang menentang Haji Hadi, ketrampilan Haji Hadi sebagai Duta Khas bertaraf Menteri tetapi sering ponteng sidang parlimen, dan lain-lain lagi seperti Undang-Undang rimba yang menganiaya DS Najib, juga telah menjadikan PAS kepanasan.

Lihat sahaja di PRN Melaka dan PRN Johor apabila akar umbi PAS lebih selesa menyokong calon UMNO daripada calon PAS sendiri.

Lantas apa yang akan berlaku ialah, hayat politik Muhyiddin adalah ibarat ‘telur di hujung tanduk’ dan keputusan PRU15 akan menjadikan Muhyiddin serta PPBM sebagai pengemis yang mungkin sekiranya bernasib baik hanya dapat mempertahan 6 kerusi parlimen sahaja.
PN mungkin masih hidup, tetapi hidupnya PN bukan lagi di bawah kuasa PPBM atau Muhyiddin, sebaliknya PAS-lah yang akan mendominasi PN.
Ketika itu nanti, Haji Hadi mungkin akan lagi sekali mengadap Mahathir yang sebelum ini adalah musuh ketatnya dan dengan lewahnya sikap hipokrit masing-masing PN mungkin akan bergabung dengan Pejuang.
Oleh kerana Dr Mahathir ditolak oleh Anwar Ibrahim, manakala PAS menolak DAP dan Amanah, maka PN dan Pejuang akan membentuk kerjasama tanpa mana-mana komponen PH.
Ketika itulah Muhyiddin ibarat pengemis yang mungkin terpaksa melompat masuk PAS mengharapkan talian hayat, untuk bersama menyertai golongan ulamak PAS kerana dia adalah anak tokoh ulama Johor kononnya.

Itupun sekiranya Muhyiddin menang kerusi parlimen pada PRU15 nanti. Tapi PRN Johor telah buktikan pengaruh Muhyiddin sudah tinggal hampas sahaja.
Survival politik Muhyiddin tidak cukup dengan kemenangan kerusi parlimennya sahaja, kerana dia mungkin terpaksa mengharapkan belas ikhsan Mahathir yang selama ini melabelkan Muhyiddin sebagai pengkhianat, sebagaimana persepsi semua pemimpin PH yang lain.
PAS akan terus berlagak sebagai peneraju ‘penyatuan ummah’, tetapi imej PAS hanya diterjemahkan sebagai ‘penunggang agama’ yang mudah lupa daratan apabila disogokkan laba.
******
Tinggalkan Jawapan