Editorial
13 Nov 2021
TERBUKTI hipotesis selama ini yang menyatakan bahawa Bersatu diwujudkan untuk membunuh UMNO, adalah signifikan dan benar.
Lihatlah apa yang disiarkan oleh Malaysiakini; “Hentam UMNO fokus kempen Muhyiddin.”

Mengapakah Muhyiddin tidak melihat PH-DAP-PKR-Amanah sebagai musuh dalam PRN Melaka dan mengapakah Muhyiddin melihat BN sebagai ‘seteru utama’ sebagaimana dilaporkan MalaysiaKini?
Muhyiddin juga seperti rabun apabila akar umbi PAS seluruh negara menentang kerjasama PAS dengan Bersatu dalam PN. Mereka hanya mahu PAS bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan bahawa perjuangan PH tidak konsisten dengan perjuangan orang Melayu dan Islam, tetapi pihak yang diserangnya adalah UMNO-BN. Kenapa?
Jawapannya adalah kerana PH merupakan rakan sekongkolnya dan PH juga membawa wawasan dan matlamat untuk membunuh UMNO sebagaimana penubuhan Bersatu.
Ia juga menjadi relevan untuk hipotesis yang mengatakan bahawa PH juga tidak sekuat mana pada PRN Melaka ini sebagaimana keluhan jentera pilihan raya PH. Lantas Muhyiddin tidak perlu menentang PH, apatah lagi Bersatu tiada akar umbi di Melaka, sedangkan Bahagian Bersatu Pagoh sendiri runtuh dan dibubarkan!

Kemenangan PH semasa PRU14 hanyalah bersandarkan fitnah, pembohongan, janji palsu, penipuan ke atas BN. Pengundi sedar tentang itu semua.
Muhyiddin dan PN kehabisan modal kecuali menjaja isu 1MDB, ‘name calling’ atau pelabelan ‘perompak’ ‘banduan’ dan apa sahaja yang boleh membunuh karektor DS Najib, seakan-akan DS Najib pula yang bertanding.
Mereka lupa bahawa Lim Guan Eng adalah banduan yang telah merengkok di Penjara Kajang untuk sekian lama, Anwar Ibrahim merengkok di penjara dua kali, dan ramai lagi dalam PH yang menjadi ‘banduan’ di Penjara Kemunting untuk sekian lama.
Sedangkan DS Najib bukanlah banduan mengikut lunas-lunas dan prosedur undang-undang.

Cuma perkara utama yang perlu pengundi tanya siapakah yang menjadi arkitek mereka-cipta dakwaan terpilih yang membawa banduan-banduan itu ke penjara?
Cuba tanya bekas Hakim Negara TS Abdul Hamid Muhammad, bekas Peguam Negara PH, Tommy Thomas dan juga bekas Ketua Polis Negara, siapakah yang mencampuri urusan badan perundangan dan kehakiman negara?

Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional cuba meyakinkan pengundi-pengundi Melaka bahawa gabungan itu ialah pilihan terbaik dalam pilihan raya negeri Melaka tetapi hanya sekadar menggunakan modal kutukan, cacian dan fitnah sebagai bahan kempen mereka.
Anehnya My TV Online pernah menghebahkan bahawa populariti PN telah jatuh merudum.

Muhyiddin membangkitkan isu krisis politik Perak untuk menuduh UMNO sebagai mementingkan politik kendiri, tetapi dia lupa, ramai yang melihat dirinya sebagai dalang dalam ‘Langkah Sheraton’ sehingga membawa kepada peletakkan jawatan Tun Mahathir sebagai PM dan juga sebagai Pengerusi Bersatu.
Perlu ditanya, mengapa tanpa melengahkan masa Muhyiddin telah pergi mengadap Mahathir untuk memohon maaf setelah dia berjaya mendapat kepentingan dirinya sendiri?
Muhyiddin juga harus bertanya, siapakah yang mengumpan Idris Haron dan tiga lagi ADUN Melaka sehingga terbubarnya kerajaan Melaka? Kepentingan parti manakah sehingga mereka sanggup mengumpan dan menipu Idris Haron?
Adakah ia merupakan tindakan UMNO yang mementingkan diri sendiri, atau Idris telah temakan umpan PH?
Lihat sahaja apa yang tercatat dalam SD keempat-empat ADUN Melaka itu- bukankah Idris Haron ditawarkan jawatan Ketua Menteri?

Jika UMNO mementingkan diri sendiri, mengapa pula UMNO mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Melaka yang dikuasainya?
Di samping itu mengapa pula UMNO memecat Idris sebagai ahli UMNO?
Beberapa penganalisis juga mengkritik, mengapakah sepanduk PN lebih banyak menggunakan sepanduk wajah Muhyiddin?
Tidakkah itu mementingkan diri namanya?
******