Editorial
31 Dis 2021
Banyak media dalam talian yang mencanangkan bahawa DS Ismail Sabri mahu merombak kabinet.
Tiada lain yang pemerhati politik dan rakyat fikirkan, rasional merombak kabinet adalah kerana kerajaan pimpinan Ismail Sabri kini menghadapi pelbagai kritikan rakyat akibat bencana banjir serta pengurusan bantuan kepada mangsa banjir.

Selain daripada itu terdapat juga kecurigaan terhadap Menteri Dalam Negeri, Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara yang lembab dalam tindakan mereka terhadap isu SPRM serta dakwaan terhadap bekas Gabenor Bank Negara.
Dalam konteks bantuan kepada mangsa banjir menteri yang bertanggungjawab ke atas NADMA menjadi tohmahan rakyat kerana berdolak-dalik dan lembab dalam hal urusan menyelamat mangsa banjir serta bantuan kecemasan terhadap mereka.
Banjir bukanlah satu fenomena bencana alam yang asing bagi negara, tetapi ia berlaku saban tahun pada musim tengkujuh.
Namun kecurigaan terbangkit dalam aspek keefisienan bantuan, kepantasan, amaran banjir, bantuan yang dipesongkan, dan macam-macam lagi.
Pihak ATM, Bomba dan JPAM yang membantu seakan-akan putus hubungan dengan NADMA, sedangkan NADMA ditubuhkan untuk menerajui dan menyelaras bantuan serta urusan penyelamatan.
Jumlah kematian yang melebihi 50 mangsa, adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
Isu penyelarasan NADMA dengan kerajaan negeri Selangor apabila merujuk kepada bencana banjir di Sri Muda, Hulu Langat dan Kajang telah membangkitkan kecurigaan. Adakah terdapat unsur-unsur sabotaj untuk menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri.
Oleh kerana Ismail Sabri daripada UMNO, sesetengah daripada kalangan rakyat tidak lihat bahawa pihak Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN yang bertanggungjawab bukannya daripada UMNO.
Isu dakwaan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat dengan kes menjarah wang RM100 juta 1MDB sebagaimana didedahkan oleh MalaysiaToday, hanya terhenti setakat siasatan namun tiada tindakan mengheret mereka ke mahkamah, sedangkan kes DS Najib begitu pantas demi mendewa-dewakan kerajaan PH.

Isu SPRM yang anggotanya terlibat dengan samun rompakan dan pengedaran dadah juga dilihat sebagai kes yang tidak diambil perhatian secara serius.
Media melaporkan ada anak emas tokoh politik tertentu dalam SPRM, namun tiada pendedahan dibuat, siapakah tokoh politik itu. Kenapakah tiada juga tindakan dakwaan di mahkamah sebagaimana pantasnya tindakan kerjaan PH setelah beberapa hari mereka memenangi PRU14 dan menguasai Putrajaya?
Tiada gunanya Ismail Sabri mempertahankan parti yang telah kalah teruk di PRN Melaka dan tujuh PRK sebelum jatuhnya kerajaan PH kerana parti ini adalah parti ciput yang cuba mengangkat diri mereka sebagai kepala gerabak PN.

Terdengar juga suara sumbang yang mahu mengangkat orang Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ismail Sabri harus ingat kes semburit yang menjadi kebencian rakyat, selain katak-katak politik yang tiada pendirian serta mengendong falsafah dan ideologi yang berbeza lantas menjadi kerajaan pimpinannya rapuh dan reput.

Lihatlah bagaimana respons Dr Abd Latif dalam isu NADMA, lihatlah isu ‘budak kita’ yang diperakui sendiri oleh Hamzah Zainuddin serta pendedahan bekas Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador, lihatlah isu i-Citra KWSP yang diperkotak-katikkan oleh Menteri Kewangan lantikan Bersatu.
Ramai yang lantang meminta Perdana Menteri menolak padangan Menteri Kewangan tentang isu i-Citra KWSP.

Sekiranya Ismail Sabri hanya mahu mengubah portfolio menteri, seperti mengubah tempat duduk, maka tidak payahlah merombak kabinet, percepatkan sahaja PRU, supaya katak-katak politik termasuk pihak hipokrit agama yang mencabul piagam MN, dapat disingkirkan.
Jika tidak, semuanya akan membawa bencana kepada kerajaan Ismail Sabri pada PRU15 nanti.
Rakyat sedang menyimpan dendam dan sebahagiannya telah mereka bayar pada PRN Melaka, PRN Sarawak dan tujuh PRK sebelum jatuhnya PH.
******
Tinggalkan Jawapan