Editorial
22 Nov 2021
Di samping kekalahan Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kew, beberapa calon ‘heawyweight’ atau nama besar dalam PN dan PH telah kalah kepada calon BN, antaranya Mas Ermieyati, Mohd Rafiq Naizamohideen, Samsul Iskandar Mohd Akin, dan Idris Haron.
Pada PRU14, PKR telah memenangi 3 kerusi DUN, sebaliknya di PRN Melaka PKR langsung tidak memenangi sebarang kerusi, Bersatu kekal mempertahankan 2 kerusi DUN, manakala DAP kehilangan 4 kerusi DUN.

Walaupun TS Muhyiddin Yassin mengucapkan kesyukuran sebagai menutup kesombongan dan kemaluannya, namun kekalahan PN adalah sesuatu yang telah menjatuhkan martabat dan maruah PN kerana mereka bertanding 28 kerusi dan hanya memenangi 2 kerusi sahaja.
Semasa keputusan PRN Melaka diumumkan, Pengarah Pilihan Raya PN, Azmin Ali dilaporkan tidak dapat ditemui, mungkin kerana dia malu untuk berhadapan dengan pemberita dan amat sedar dirinya tidak disukai oleh rakyat Melaka.
Atau mungkin juga sebelum PRN Melaka lagi, Azmin telah sedar bahawa PN akan kalah teruk sebagaimana yang pernah dilaporkan media.

Lantas pelbagai pandangan mula terhambur daripada media arus perdana dan media picisan, serta penganalisis untuk menyatakan pandangan masing-masing mengapakah PH dan PN kalah teruk.
Namun apa yang diperhatikan, mereka seakan-akan lupa pada kemarahan rakyat dan pengundi Melaka tentang pembohongan, janji palsu, fitnah, serta kegenjotan pemerintahan PH selama 22 bulan mereka berkuasa.
Harapan segolongan kaum Melayu yang diletakkan kepada Tun Mahathir juga amatlah mengecewakan apabila Mahathir sendiri memperakui bahawa dia adalah ‘boneka DAP’.

Di PRN Melaka Anwar adalah Pengarah Pilihan Raya PH, tetapi malangnya Anwar tidak berperanan dan tiada apa-apa efek untuk menunjukkan bahawa Anwar berjaya menawan hati pengundi dan menjadi faktor ‘penarikan pengundi’.
Ramai yang lupa bahawa semasa PRU14, Anwar tiada dalam lanskap politik PH-PKR kerana dia masih dalam penjara.
Namun pada PRN Melaka kali ini Anwar ada bersama mereka dalam PH-PKR. Mungkin juga kebencian rakyat Melaka terhadap Anwar menjadi faktor, calon PKR disingkirkan dan tiada seorang pun yang menang.

Di samping itu, Bersatu yang mendominasi PN malahan Muhyiddin dengan kesombongannya seakan-akan mengangkat dirinya sebagai wira PN dengan sepanduk wajahnya memenuhi Melaka semasa kempen PRN, tidak sedar bahawa dia adalah sebahagian daripada PH.
Muhyiddin lupa, tetapi pengundi Melaka tidak pernah melupakan bahawa dia adalah sebahagian daripada PH.
Pemimpin PAS yang telah dirasuk oleh sihir Muhyiddin juga angkuh melupakan Muafakat Nasional, dan alpa bahawa mereka tidak memenangi apa-apa kerusi pada PRU14 di Melaka tempoh hari.
Tak usahlah hendak berteori, bahawa PN-Muhyiddin kalah kerana semua pemimpinnya adalah katak-katak politik, tentera tidak ramai keluar mengundi semasa pemilihan awal, Covid19 menghalang kempen berkesan, jentera PAS tidak membantu PN dan segala macam alasan.

UMNO-BN telah mengemukakan ramai wajah baharu sebagai calon, tetapi PN dikritik kerana wajah lesu Muhyiddin terpampang dalam poster di mana-mana sahaja di seluruh Melaka seakan-akan dia adalah wira sanjungan yang didewa-dewakan rakyat.
Cubalah kembali merasai perasaan kecewa rakyat dan pengundi ketika PH menipu, membohongi, memfitnah dan menabur janji-jani palsu kepada rakyat dan pengundi semasa PRU14.
Hari ini pemimpin PH kelam-kabut mahu menipu rakyat lagi bahawa 60 peratus janji mereka telah ditunaikan.
Frasa “Janganlah hendak memperbodohkan dan menipu rakyat lagi”, telah kekal menjadi klise luahan hati pengundi Melaka, malahan seluruh negara.

Kemenangan BN dengan 2/3 majoriti di PRN Melaka serta 7 PRK sebelum ini semasa PH berkuasa, adalah satu penegasan terhadap referendum rakyat bahawa DAP-PH-Bersatu ditolak rakyat sekeras-kerasnya.
Mandat rakyat yang kononnya dirampas oleh kerajaan tebuk atap, hanyalah retorik PH-DAP yang tidak sedar atau buta terhadap kelemahan, fitnah, pembohongan dan janji palsu mereka.
******
Tinggalkan Jawapan