Editorial
20 Nov 2021
Barisan Nasional telah membuktikan bahawa ia telah membuat keputusan yang bijak untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PAS.

Dengan keputusan BN-21, PH-5 dan PN-2, ia membuktikan bahawa BN telah mengambil tindakan yang tepat terutamanya untuk mewujudkan kestabilan politik.
Menariknya dakwaan bahawa masyarakat Melayu menolak Anwar adalah tepat, apabila PKR langsung tidak memenangi sebarang kerusi, sedangkan pada PRU14, PKR telah mememenangi dua kerusi.

Sokongan terhadap DAP juga merosot apabila DAP kehilangan 4 kerusi berbanding 8 yang dimenanginya pada PRU14.

Sebelum ini, seandainya BN bersekongkol dengan Bersatu dan PAS, dalam Perikatan Nasional, maka jumlah kemenangan PN akan lagi sekali mewujudkan ketidakstabilan politik di Melaka.
Kemenangan PN yang bergabung dengan BN pastinya akan mewujudkan sekali lagi perkiraan matematik yang tidak stabil, apabila Bersatu akan sibuk mencari katak-katak politik dengan sogokan yang lumayan.
Katakanlah sekiranya UMNO terpaksa mengorbankan beberapa kerusi untuk Bersatu dan PAS, keputusannya UMNO 9, Bersatu 7 dan PAS 7, manakala PH 5.
Bersatu dengan sikap tamak haloba akan membeli katak, dan dengan PAS yang pandai mengendeng, lagi sekali politik Melaka tidak akan stabil, malahan Bersatu akan terus berkuasa apabila bersama-sama dengan PAS mereka akan mengabaikan UMNO.
Kenyataan Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya DUN Melaka menggubal undang-undang lompat parti adalah sesuatu tindakan proaktif yang kena pada masanya.
Malahan saranan Datok Azalina Osman Said di parlimen juga adalah sesuatu yang akan dapat menyekat tabiat Bersatu yang ghairah mencari katak, apabila parti itu kini kehilangan ahli akar umbi di serata pelusuk negara termasuk Bahagian PAGOH.
Penyelidikan yang mengatakan PN akan menang, Idris Haron akan menang, Mas Ermieyati akan menang, yang dijalankan oleh penganalisis longkang termasuk daripada universiti tempatan adalah sesuatu yang amat memalukan.
Mereka ini penyelidik atau tukang tilik?
Apakah jenis penyelidikan yang telah mereka jalankan, adakah berbentuk kuantitatif atau semata-mata kualitatif yang rendah reliabiliti dan validiti.
Nampak sangat golongan sedemikian hanyalah mahu menyedapkan hati pihak parti yang telah membayar mereka ratusan ribu ringgit untuk menentukan kemenangan calon mereka.
Sebelum ini terdapat kenyataan yang mengatakan bahawa Idris Haron yang mengubah strateginya dengan meninggalkan Kerusi DUN Sungai Udang dan kembali ke Asahan adalah sesuatu yang menjamin kemenangannya kerana dia adalah anak kelahiran Sungai Udang, dan kononnya ramai pengundi Sungai Udang mengalu-ngalukan kepulangannya.
Namun pada satu pihak yang lain, Idris dilihat sebagai wakil rakyat yang tidak menyantuni pengundi kerana sifat sombong dan tiada masa untuk rakyat.
Malahan tuduhan penyelewengan projek pasir yang dikenakan kepada DS Sulaiman Md Ali telah dilihat oleh rakyat sebagai satu fitnah politik semata-mata.
Sememangnya orang luar yang tidak tahu hakikat sebenarnya akan termakan dengan dakyah dan fitnah, tetapi nampaknya malam ini pengundi telah menunjukkan bahawa fitnah dan pembohongan tidak lagi berkesan.
Di Asahan Idris kalah apabila Fairul Nizam yang mendapat 4,939 dengan majoriti 747 undi.
Fairul Nizam, 43 adalah pemimpin baru UMNO yang bertanding buat kali pertama di DUN Melaka.
Calon Ketua Menteri PN, Mas Ermieyati juga dikatakan sebagai calon yang dipuja-puja oleh pengundi di Tanjung Bidara.
Meskipun dinamakan sebagai calon KM sekiranya PN menang, namun dia tidak mempunyai apa-apa wawasan buat Melaka, sebaliknya akan direncanakan setelah menang.
Malahan telah terbangkit polemik bahawa orang-orang PAS tidak suka ketua negeri diterajui oleh wanita sebagaimana mereka menolak DS Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor tempoh hari.
Lihatlah apa yang terjadi, malahan kelewatan Bersatu mengumumkan nama Mas Ermieyati di saat akhir adalah dengan alasan yang amat molek, iaitu PN tidak mahu tergesa-gesa, malangnya Mas kalah dengan keadaan yang amat tergesa-gesa.
Nampaknya kritikan mempertaruhkan Mas Ermieyati adalah sesuatu yang amat tidak bijak kerana dia adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, dan dia juga adalah Timbalan Menteri Undang-Undang yang telah menjadi katak politik semata-mata untuk mendapatkan insurans keselamatan apabila diugut oleh kepimpinan Bersatu.
Ramai percaya nama Mas Ermieyati masih berada dalam senarai SPRM dan menunggu masa untuk diheret ke mahkamah.
Lantas selepas ini janganlah pula ada tuduhan dan fitnah bahawa PRN Melaka tidak telus, PRN Melaka gagal membawa suara rakyat, SPR tidak adil, BN korup, rakyat pilih kluster mahkamah-kleptokrat, dan macam-macam lagi.
Kalau sudah kalah akuilah bahawa rakyat menolak kamu, dan rakyat menyampaikan sambungan referendum pada 7 PRK sebelum ini, bahawa PH dan PN ditolak rakyat.
Tiada lagi mandat rakyat sebagaimana yang mereka dakwa pada PRU14.
******
Tinggalkan Jawapan