Editorial
11 September 2021
Bagi rakyat yang beragama, kita percaya bahawa hanya Allah sahaja yang tahu apakah yang sebenar-benarnya berlaku dalam sesuatu kes yang didakwa oleh SPRM.
Namun sekiranya pelantikan pengarah dan pegawai tertinggi SPRM sendiri adalah atas ‘kepentingan politik’ sebagaimana pelantikan Latifah Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pada era Tun Mahathir dipersoalkan, maka tunggulah balasan Allah, jika tidak di dunia, di akhirat nanti akan terbalas juga.
Hari ini dengan megah dan lantangnya TS Muhyiddin dan Tun Mahathir mencanangkan label ‘kleptokrasi’ dan ‘kluster mahkamah’ kononnya, sedangkan Allah sedang menilai sikap ‘kronisme’ mereka dalam urusan undang-undang negara.

Dua hari lalu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang mengambil maklum bahawa penarikan balik kes Noor Ehsaruddin adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya.

Abu Zahar berkata, pihaknya berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan terhadap kes itu serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.
Menurut Abu Zahar oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya.
Beliau tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak serta tidak mahu segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu terus berulang.
Abu Zahar menyebut tentang “tidak mahu segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu terus berulang.”
Apa yang diperakui oleh Abu Zahar boleh diterjemahkan dan dipersepsikan dengan pelbagai kegenjotan integriti, keprofesionalan dan urusan penyiasatan yang dipengaruhi oleh tekanan politik, telah berlaku dalam SPRM.
Fakta masa yang disebut Abu Zahar itu diperjelaskan lagi dengan kenyataan ‘Awal Februari 2019’ dan ia adalah merupakan era PH berkuasa, ketika sistem undang-undang dilabelkan sebagai sistem ‘undang-undang rimba’.

Era itulah apabila seorang peguam yang pernah menjadi pembela kepada Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng diangkat sebagai ‘Peguam Negara’ iaitu Tommy Thomas dan hari ini terhegeh-hegeh, mendedahkan segala kemungkaran undang-undang yang berlaku ketika Tun Mahathir berkuasa sebagai PM dalam kepimpinan PH.
Malahan Tommy Thomas telah memperakui bahawa dia adalah merupakan lantikan politik bagi memperkuatkan bahawa segala ‘dakwaan terpilih’ yang diambil adalah kerana tekanan politik.
Lebih mengecewakan ialah dia juga merupakan peguambela kepada kes Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kes rasuah pembelian banglo, dan kes itu terus digugurkan ketika dia diangkat menjadi Peguam Negara.
SPRM sendiri terkejut apabila kes Lim Guan Eng ditutup, atau mungkin juga SPRM sahaja berpura-pura ‘terkejut’.
Lantas banyaklah lagi rentetan kes-kes yang melibatkan konco-konco DAP-PKR-Bersatu seperti kes aktivisme LTTE apabila tertuduh dibebaskan begitu sahaja.
Kemudian Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), juga dilantik daripada orang PH iaitu Latheefa Koya yang merupakan peguam PKR sebelumnya. Dia juga adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.
Jadi tidak hairanlah sekiranya berpuluh tuduhan dikenakan ke atas DS Najib Tun Razak dan beberapa pemimpn tertinggi UMNO termasuk DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, DS Tengku Adnan Tengku Mansur dan DS Ahmad Maslan (sekadar menyebut beberapa nama).
Ada yang terus melompat parti untuk mengelak daripada didakwa di mahkamah oleh SPRM.

Lantas, bagaimana pemimpin d’facto DAP Lim Kit Siang boleh mendakwa Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang berintegriti apabila tindakan undang-undang hanya diambil terhadap mereka yang diangkat sebagai musuh politik Mahathir?
Untuk mengangkat integriti, undang-undang patut dilaksanakan tanpa ragu dan bimbang serta bukan pendakwaan terpilih kerana ia adalah penganiayaan politik.

TS Shahrir Samad telah mempersoalkan Lim Kit Siang, “Bagaimana dengan keputusan untuk menghentikan kes mahkamah terhadap anak anda sendiri? Dan keputusan untuk melantik peguam anak anda sebagai Peguam Negara? Dan untuk melantik ahli politik PKR yang terkenal, Latheefah Koya, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?”
Sebagai contoh, Shahrir mempersoalkan mengapa pihak SPRM tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam projek air Sabah selepas penemuan wang tunai RM52 juta dan akaun bank bernilai RM60 juta. Semua ini didokumentasikan oleh media.
Terdapat banyak penyalahgunaan kuasa oleh Latheefa dan Tommy Thomas yang diamanahkan dengan kuasa untuk menyiasat, menguatkuasakan undang-undang dan mendakwa konco-konco mereka, tetapi diabaikan.
Dengan itu adakah relevan dan dimanakah letaknya justifikasi bagi TS Muhyiddin dan Tun Mahathir untuk melabelkan pemimpin yang mereka musuhi sebagai ‘kleptokrasi’ sedangkan tindakan mereka ketika memimpin negara adalah bersifat ‘kronisme’?
******
Tinggalkan Jawapan