Editorial
13 Sept 2021
Rakyat melihat TS Muhyiddin berkali-kali mencanangkan isu ‘kleptokrat’ dan ‘kluster mahkamah’ bukan sahaja dengan niat supaya mereka tidak boleh terlibat dengan urus tadbir negara, bahkan ia juga membawa elemen kebencian dan penghinaan.

Anehnya Muhyiddin lupa bahawa ramai di sekelilingnya dahulu terdiri daripada kluster banduan yang hakikatnya lebih bahaya daripada pihak yang belum diisytiharkan bersalah oleh mahkamah.
Kalau ada yang masih boleh berpeluk dengan kluster banduan, mengapa pula mereka harus menghina kluster mahkamah yang belum diputuskan bersalah oleh mahkamah?
Walau apapun, kluster mahkamah, kluster banduan atau kluster katak, semuanya adalah manusia yang lemah yang kadangkala terperangkap dengan nafsu mereka sendiri di samping permainan politik yang genjot dan kotor.

Sehari-dua ini negara dikejutkan dengan isu 1BestariNet yang dibongkarkan oleh bekas Menteri Pendididkan, Dr Maszlee Malik yang dikaitkan dengan TS Muhyiddin Yassin, semasa beliau memegang kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Mahathir ketika PH berkuasa.
Ramai yang tidak tahu dan melihat Muhyiddin sebagai bersih dan licin bagaikan sutera.
Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago mahu SPRM campur tangan dan menyiasat bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa ada kaitan dengan YTL Communications Sdn Bhd, khasnya berhubung projek 1BestariNet.
YB Santiago menyatakan pada media, projek itu mendapat banyak kritikan, dengan rakyat mempersoalkan sama ada ia bermanfaat dan jika ia diberikan kepada orang yang salah.
Bayangkanlah bagaimana menderitanya rakyat luar bandar yang gagal mendapat talian Internet, sedangkan sistem persekolahan pada era pandemik Covid19, mendesak mereka menggunakan talian Internet untuk pembelajaran dalam talian. Ramailah pelajar pedalaman ketinggalan dalam sistem ini.
Jadi SPRM janganlah bersikap talam dua muka, tunjukkanlah integriti dan digniti sebagai badan yang banyak melahirkan kluster mahkamah bukan kerana desakan politik.
Terdapat antara mereka yang dilihat oleh rakyat sebagai mangsa tekanan politik sebagaimana yang didedahkan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegarahan Rasuah (LPPR), TS Abu Zahar Ujang bahawa terdapat tekanan politik yang rakus hendak menjatuh seseorang tokoh politik.
Pendedahan bekas Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, tentang genjotnya projek 1Bestarinet menunjukkan wujud kepentingan peribadi dan Muhyiddin, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri ketika PH berkuasa, harus sedar bahawa dia tidak boleh mewakili mana-mana syarikat perniagaan.
Dengan kata-kata lain, ia adalah ‘rasuah’ dan ia adalah kleptokrasi, dan Muhyiddin adalah kleptokrat.

Bayangkanlah kerajaan membayar lebih RM4.5 biliion kepada YTL untuk melaksanakan projek 1BestariNet itu, tetapi ia tidak efisien serta melanggar perjanjian dalam kontrak kerajaan itu.

Jika Muhyiddin bising dengan dana RM2.6 billion dalam projek 1MDB (sebaliknya keuntungan 1 MDB lebih daripada RM3billion) maka wajarkah rakyat mendiamkan diri dengan pembaziran RM4.5 billion itu melalui YTL?
Aneh juga, kenapa Maszlee tidak dedahkan semasa masih dalam kerajaan?
Namun itulah dia politik Malaysia, yang telah dikatakan tadi bahawa tiada sesiapa dalam kabinet mana-mana juga kerajaan pemerintah boleh mendakwa dirinya bersih, lantas layak menghina orang lain sebagai ‘kluster mahkamah’ dan ‘kleptokrat’.
Tapi kini rakyat melihat TS Muhyiddin Yassin juga layak untuk bersama dengan kluster mahkamah dan rasanya lebih baik TS Muhyiddin berehat sebelum nama baik kerajaan di bawah urus tadbir DS Ismail Sabri terus dikotori dengan banyak lagi maklumat pendedahan kes 1BestariNet.
Lebih adil lagi, sekiranya semasa dalam kerajaan dahulu, Muhyiddin berani mendesak Maszlee supaya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan, maka wajarlah sekarang sekiranya Muhyiddin juga meletakkan jawatan dalam apa-apa jawatan yang dipegangnya dalam kerajaan.
Patutlah DS Ismail Sabri tidak mahu, Muhyiddin berada dalam kabinet, sekiranya benar dia adalah veteran politik yang berpengalaman dan bersih, kononnya.

Rakyat akan membuat kesimpulan bahawa inilah sebabnya Muhyiddin suka berlindung di bawah ketiak Mahathir ketika PH berkuasa dan ketika Mahathir menerajui PH.
Kini setelah Mahathir hilang kuasa, Muhyiddin tidak lagi memerlukan Mahathir, tetapi masih perlu mengadap Mahathir memohon ampun dan maaf mungkin supaya Mahathir tidak terus melondehkan dan menelanjangkan mereka yang terlibat dengan rasuah.
Walaupun hari ini Muhyiddin masih ada DS Hamzah Zainuddin yang bijak menggunakan ‘orang-orang kita’ namun di bawah DS Ismail Sabri rakyat harap integriti kerajaan dapat dipertahankan.
Jadilah seperti DS Najib Razak yang berani dan tegar dengan kebenaran beliau untuk menghadapi prosiding mahkamah.
Cuma rakyat harap janganlah mahkamah juga dikotori sebagaimana hakim mahkamah sivil yang sekonyong-konyong dilantik untuk menghakimi DS Najib dan kemudiannya dipindahkan semula ke mahkamah sivil sedangkan kes SRC-1MDB bukan kes sivil.
Rakyat harap Muhyiddin berehatlah bak kata budaya dalam budi bahasa Inggeris “Welcome to the club”, iaitu kelab yang Muhyiddin sering hina ‘kelab kluster mahkamah dan kleptokrat’.
******
Tinggalkan Jawapan