Editorial
3 Jun 2021
Nampaknya kemarahan rakyat terhadap kepincangan PN bukan sahaja meletus di Semenanjung sahaja, bahkan ia telah melarat ke Sabah.
Semua kemarahan berlegar kepada cara kerajaan PN menangani pandemik Covid19 dan dampaknya terhadap ekonomi rakyat.

Presiden parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin PN agar menjaga keluhuran sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan cara menghormatinya, memeliharanya dan mempertahankannya.
Jelaslah isu yang dibangkitkan oleh DS Shafie adalah isu kegagalan PM melaksanakan titah perintah DYMM SPBYDP Agong untuk menyegerakan sidang parlimen.
Namun setelah beberapa kali Baginda bertitah, barulah nampak PM atau kerajaan PN mengambil langkah positif.

Pasti banyak perkara dapat dibincangkan, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutama perkara-perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat Covid-19.
Nampaknya Baginda lebih prihatin terhadap rungutan rakyat dan keluhuran parlimen berbanding dengan PM dan kerajaan PN.
DS Shafie juga turut mengingatkan kerajaan PN bahawa ramai rakyat hilang punca pendapatan, syarikat tidak dapat meneruskan operasi dan peniaga kecil gulung tikar.
Beliau bimbang sekiranya situasi dan keadaan ini tidak diatasi segera, maka ia akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.
Semasa lawatan TS Muhyiddin Yassin ke Sandakan, beliau dimarahi penduduk dan pemimpin di sana apabila Muhyiddin membangkitkan soal banyak belanja telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk pembangunan Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar.
Rakyat dan pemimpin Sabah marah kerana mereka mendakwa, kerajaan Negeri Sabah juga telah banyak membelanjakan dana negeri untuk pembangunan luar bandar di Sabah, dan bukannya semata-mata kerajaan Persekutuan.
Muhyiddin pernah terlanjur dalam ucapan beliau apabila terdapat kontradiksi terhadap apa yang beliau telah ucapkan.
Pada satu kenyataan Muhyiddin lain menyeru rakyat dan pemimpin Sabah agar mewujudkan hubungan yang intim antara kerajaan Negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan.

Malangnya pada majlis yang lain, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang amat berbeza apabila dia mengatakan “kerajaan persekutuan tidak akan membantu kewangan dan pembangunan Sabah” sekiranya kerajaan Negeri Sabah tidak sehaluan dalam soal urus tadbir dengan Kerajaan Persekutuan.
Kata Muhyiddin, “kita kecewa sikit kerajaan negeri Sabah tak sebaris dan sehaluan dengan saya. Bayangkan jika Sabah sehaluan, ini bukan politik tetapi realiti.”
Terdapat pihak yang melihat bahawa dengan kenyataan Muhyiddin itu, terdapat sebilangan rakyat Sabah menjadi tawar hati terhadap kerajaan PN.
Ucapan Muhyiddin itu juga mencurahkan tempiasnya kepada UMNO Sabah dan Barisan Nasional.

PM TS Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN khususnya, hendaklah berhati-hati dengan emosi rakyat dan kepimpinan politik di Sabah, kerana gejala ‘katak politik’ amat lewah di sana.
Namun ramai yang tidak hairan dengan gejala ‘katak politik’ di Sabah kerana kerajaan PN sendiri adalah kerajaan yang paling ramai membela ‘katak politik’ dalam sejarah politik Malaysia.

Rakyat berasa amat kecewa apabila PRN Sabah 2020 dilihat dan dipersepsikan sebagai punca utama, kembalinya pandemik Covid19 yang telahpun reda sebelum PRN Sabah, tetapi kini meningkat mendadak sehingga menjadikan Malaysia antara negara paling teruk diserang pandemik itu di seluruh dunia.
******
Tinggalkan Jawapan