Dr. Mamat Desa
3 Julai 2021
PKR sebenarnya sudah lama tenat, apabila ramai pemimpin tertingginya lari meninggalkan parti dan menjadi ahli parti lain.
Dengan itu amat relevan untuk mengatakan bahawa PKR, khususnya DS Anwar Ibrahim hanya pandai beretorik tentang sokongan Melayu dan rakyat, sedangkan pemimpinnya sendiri lari meninggalkan parti.
Terkini Ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan) PKR Selangor YB Najwan Halimi telah dipecat tanpa alasan yang kukuh.

Mungkin soal demografi dari aspek kaum tidak penting kepada PKR kerana Ahli Parlimennya dalam konteks jumlah kaum bukan-Melayu sememangnya lebih ramai.
Adakah tiada pemimpin Melayu dalam AMK Selangor sehingga mereka melantik kaum Cina untuk memimpin AMK Selangor?
Adakah legasi DAP dalam PH mahu dikekalkan dalam PKR?

Inilah yang menjadikan DAP sebagai ‘abang besar’ atau lebih tepat sebagai ‘big boss’ yang menjadi dominan dalam PH, apabila Ahli Parlimen bukan-Melayu adalah lebih ramai daripada kaum Melayu-Bumiputera.
Suara Anwar sendiri dalam hal menuntut hak Melayu-Bumiputera tenggelam dan lemas.
Pastinya inilah juga antara punca mengapa isu ICERD dan Statut Rom wewenangnya mahu diratifikasi oleh kepimpinan PH, sehingga membawa kira-kira 1.9 juta kaum Melayu-Islam berhimpun di jalanraya untuk menentangnya dalam perhimpunan Perpaduan Ummah 8 Disember 2018.
Bayangkanlah sekiranya ada ketua Melayu yang dikelilingi oleh majoriti kaum bukan-Melayu. Akibatnya suara kaum Melayu menjadi halus, cair dan tenggelam.

Lantas tidak hairanlah jika Tun Mahathir mengakui bahawa dia adalah ‘PM Boneka.’ Malangnya hari ini dia masih mahu menjadi PM.
Dalam konteks PKR pula, bagaimanakah Anwar mahu mendabik dada mengatakan bahawa kaum Melayu masih menyokong PKR, sedangkan ramai kaum Melayu dalam PKR sendiri telah keluar meninggalkannya termasuk Bekas Menteri Ekonomi dan Menteri Besar Selangor serta beberapa bekas Menteri PH yang lain?

Oleh itu, rakyat daripada kaum Melayu harus sedar dan berfikir semasak-masaknya mengapa pemimpin tertinggi PKR daripada kaum Melayu dan anggota kepimpinan PKR yang telah lama berkhidmat, telah meninggalkan PKR?
Diketuai Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, beberapa lagi orang kuat PKR daripada kaum Melayu seperti Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Kamarudin Jaffar, dan Datuk Dr. Mansor Othman telah meninggalkan PKR.
Wakil kepada kumpulan itu menegaskan, bahawa biar pun pahit, tetapi hakikatnya adalah kepimpinan Anwar ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir daripada landasan perjuangan.
PKR, di bawah pimpinan dan kerangka sekarang, tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat kerana parti itu telah tertanggal daripada prinsip asal perjuangannya dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin.
Anehnya kewujudan reformasi PKR adalah untuk menentang Tun Mahathir, tetapi mereka akhirnya bernaung di bawah ketiak Mahathir juga.
Menurutnya kumpulan pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu, keadaan ini sangat malang kerana mereka sedar bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh kepada prinsip dan idealisme, disisihkan dan bahkan menjadi mangsa kuasa Presiden.

Mereka menegaskan sepatutnya DS Anwar dan pemimpin PKR yang masih setia padanya perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, sebaliknya mereka membiarkan perakus dan pengkianat merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka.
Bagi mereka, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution juga tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung melompat parti.
Ini kerana, Datuk Seri Saifuddin Nasution juga telah beberapa kali menjadi juara melompat dari UMNO ke PKR, kemudian dari PKR ke Pas dan dari Pas kembali kepada PKR.
Mereka mempersoalkan, sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam-membisu tentang kes rasuah yang melibatkan Lim Guan Eng yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar?
Hakikat ini adalah suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM dan masyarakat awam.
Terkini, AMK PKR seperti sudah kehilangan pemimpin Melayu, sehingga terpaksa melantik pemimpin kaum Cina untuk menerajui AMK Selangor, sedangkan pemimpin Melayu yang ada dipecat wewenangnya.
******
Tinggalkan Jawapan