Editorial
23 Okt 2022
Semalam terbongkar satu persoalan politik yang mengejutkan apabila Presiden PAS, TS Hadi Awang telah mengaku bahawa dialah yang telah memulakan gerakan komplot Langkah Sheraton dan melantik TS Muhyiddin Yassin sebagai PM.

Hadi mengaku langkah itu diambil bagi menghentikan rancangan PH yang mahu meratifikasikan ICERD dengan membincangkan kaedah menggulingkan gabungan yang didominasi oleh DAP itu, bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Selain itu Hadi juga mengaku Langkah Sheraton adalah bertujuan menjatuhkan PH selepas PAS beranggapan gabungan dalam PH sedang berusaha menghapuskan hak keistimewaan Melayu.
Atas matlamat itulah PAS menganjurkan protes besar-besaran 1.9 juta umat Islam bersama UMNO menentang PH yang cuba meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Hadi juga mengakui bahawa dialah yang memulakan langkah bagi menghentikan rancangan PH dengan membincangkan kaedah menggulingkan gabungan berkenaan bersama Muhyiddin Yassin.
Hadi juga mendedahkan bahawa dia telah bertemu pemimpin UMNO bagi tujuan sama apabila Muhyiddin bersetuju, sebelum beliau kemudian mengumumkan Bersatu keluar daripada PH sejurus ketiga-tiga pihak mencapai konsensus mengenai perkara berkenaan.

Ketika itulah Hadi mencadangkan agar Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri seandainya gerakan Langkah Sheraton berjaya dan kemudiannya membentuk Perikatan Nasional (PN).
Walau bagaimanapun setelah Muhyiddin dibuktikan gagal membela ekonomi rakyat dengan PKP separuh masak yang mengurung rakyat hampir setahun dalam perintah kawalan pergerakan yang tidak efisien serta ekonomi yang meleset, ditambah dengan salah guna Ordinan Darurat oleh Muhyiddin, maka UMNO mengambil keputusan untuk mengusulkan undi tidak percaya kepada Muhyiddin.
Dengan itulah tumbangnya PN pimpinan Muhyiddin yang hanya berkuasa selama 17 bulan dan digantikan dengan kepimpinan DS Ismail Sabri yang lebih menampakkan kejayaan melalui falsafah ‘Keluarga Malaysia’.
Hadi juga mendedahkan, pada tahun lalu, UMNO mahu PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu jika mahu Muafakat Nasional (MN) diteruskan, sejurus pemimpin UMNO, DS Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Di samping itu, adakah perjanjian Hadi-Muhyiddin itu juga meletakkan syarat agar Mahathir ditendang keluar dari Bersatu setelah PH ditumbangkan?
Nampaknya Hadi juga tidak terdaya memenuhi kehendak UMNO untuk meneruskan kerjasama dalam Muafakat Nasional.
Adakah semuanya kerana sudah ada perjanjian Hadi-Muhyiddin dalam perjanjian komplot Sheraton itu?
Terbangkit juga polemik dan spekulasi bahawa itulah sebabnya Hadi Awang beriya-iya mempertahankan kerjasamanya dengan Bersatu dan menolak ke tepi piagam Muafakat Nasional bersama dengan BN.
Selain itu, mungkin bagi Hadi tiada keuntungan apa-apa untuk mempertahankan MN, sedang laba di hadapan mata terbentang luas dengan jawatan bertaraf menteri yang bergaji tinggi walaupun dia diklasifikasikan sebagai kaki ponteng sidang parlimen.
Walau bagaimanapun terbangkit juga persoalan dan polemik, mengapakah baru sekarang Hadi Awang mendedahkannya?
Adakah Hadi cuba memenangi hati pengundi untuk menyokong PN, yang masih di bawah kuasa ‘PM Gagal’ Muhyiddin Yassin?
Atau Hadi cuba selamatkan Muhyiddin yang dilabelkan sebagai pengkhianat kepada PH?
Hakikatnya Muhyiddin cuba mengkhianati PAS dengan perjumpaan rahsia bersama PH untuk mewujudkan kembali kerjasama di bawah ‘khemah besar’ sebagai tanda bahawa dia tidak yakin pada PAS.

Malangnya bagi Muhyiddin semua parti dalam PH menolaknya, begitu juga dengan Warisan serta Pejuang.
Isu terbangkit dalam kerjasama PAS-PN adalah ikatan ukhuwah yang benar-benar tulen, kerana kini terlihat perbalahan penggunaan logo semasa PRU-15 yang menjelang ini.
PAS mahu menggunakan logonya sendiri, kerana PAS yakin pengundi lebih cenderung menyokong PAS daripada menyokong PN.
Parti Gerakan pula tidak mahu menggunakan logo PAS dan rela tidak bertanding daripada menggunakan logo parti yang dibenci oleh masyarakat Cina.

Ramai pemerhati melihat bahawa Bersatu lebih mudah menang jika menggunakan logo PAS kerana penyokong PAS amat taksub kepada partinya daripada parti lain.
Namun ramai pula yang mengkritik bahawa PAS telah diperkudakan oleh Bersatu dalam hal ini.
******
Tinggalkan Jawapan