Editorial
24 Okt 2022
Tun Mahathir bagaikan cacing kepanasan dan menggelupur apabila PRU15 diumumkan dan akan dilaksanakan oleh SPR pada 19 November ini, sama ada hujan ribut, taufan, banjir, apatah lagi sekiiranya cuaca nyaman.
Masakan dia tidak kelam kabut, GTA yang ditubuhkannya belum lagi didaftarkan melalui RoS, manakala dia hanya mendapat sokongan daripada parti picisan PUTRA dan parti India Muslim, IMAN.

Lantas perkara pertama yang Mahathir lakukan ialah mengutuk PM Ismail Sabri sebagai ‘syok sendiri’ kerana membubarkan parlimen awal, tidak seperti yang dia jangkakan.
Hakikatnya Mahathir tidak sedar rakyat sudah bosan dengan kerajaan campuran sedia ada, apabila tiada setiakawan dan ketaatan kerana ia terbina daripada parti komponen yang berbeza ideologi dan visi.
Apa yang pemerhati lihat sekarang, Mahathir amat takut dengan kemenangan BN-UMNO, memandangkan sekarang Tommy Thomas telah mendedahkan pelbagai kepincangan kerajaan PH pimpinan Mahathir sehingga kepada pelantikan Ketua Hakim Negara yang tidak sah, manakala Tommy sendiri mengaku bahawa lantikannya sebagai Peguam Negara dan Latheefa Koya sebagai Ketua SPRM adalah lantikan politik.
Banyaklah kekotoran dilondehkan tentang Tommy Thomas, Latheefa Koya, Hamid Bador serta pelantikan Tun Maimun yang penuh muslihat dan misteri.
Pastinya BN-UMNO sedang menyusun strategi tindakan-tindakan yang harus diambil terhadap sistem undang-undang rimba yang dipelopori oleh Mahathir dan keldainya Tommy Thomas, dan bagaimana undang-undang rimba itu telah berjaya digunakan untuk memenjarakan DS Najib Razak serta dakwaan-dakwaan terpilih yang lain.

Kini tiba-tiba sahaja Mahathir membuat kenyataan untuk merayu Anwar supaya menerima kerjasama yang ditawarkan supaya PH dapat menerima Pejuang pada PRU15 ini.
Sebelum ini Mahathir telah mengeluarkan kenyataan, sekiranya dia diangkat menjadi PM setahun jadilah.
Adakah Mahathir akan menggunakan tempoh setahun itu untuk melantik kroni-kroni baharunya dalam badan kehakiman negara, Peguam Negara, badan perundangan negara, PDRM, SPRM dan kroni-kroninya dalam Bank Negara, Petronas, Khazanah dan sebagainya, supaya senang dia mengawal semua jentera negara?
Katanya dia tidak peduli jika ada yang mengatakan bahawa dia menjilat ludahnya kembali terhadap Anwar, sebagaimana dia menonong mengadap DYMM Agong untuk mendapatkan pengampunan bagi membebaskan Anwar, asalkan dia diangkat menjadi PM semula.

Pada pihak Anwar, adakah dia masih mahu tunduk kepada Mahathir setelah diperbodohkan ketika PH berkuasa dahulu?
Adakah Anwar lupa bahawa Mahathir telah mengeluarkan kenyataan pada media antarabangsa bahawa dia “Tidak mahu peliwat diangkat menjadi PM?”
Adakah Anwar lupa bahawa penubuhan gerakan ‘reformasi’ adalah untuk menentang diktator bernama Mahathir?

Mahathir telah berjanji melantik Anwar menjadi PM setelah dua tahun dia berkuasa dalam PH, tetapi kemudiannya mencari pelbagai alasan untuk melepaskan jawatan PM itu kepada Anwar.
Akhirnya rakyat telah memberi signal melalui Perhimpunan Ummah menentang ratifikasi ICERD pada 8 Disember 2018 apabila 1.9 juta umat Islam berkumpul dan berarak di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Rakyat menentang ICERD kerana itu adalah agenda DAP untuk menghapuskan hak dan kedudukan istimewa kaum Melayu-Bumiputera, hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Namun Mahathir lupa janji Anwar untuk bertindak mengheret kroninya ke mahkamah seperti Tun Daim Zainuddin serta membongkar rahsia Kertas Pandora sebagaimana yang pernah Anwar canangkan.

Kini Mahathir sedang menjulur lidahnya untuk menjilat kembali ludah-ludahnya terhadap Anwar, kerana dia lebih takut dengan kemenangan BN-UMNO pada PRU15.
Jika Mahathir fikir dengan menjadi PM setahun dia akan dapat mengangkat Mukhriz sebagai kepimpinan tertinggi PH, maka Mahathir sebenarnya bermimpi di siang hari.
Bagaimanakah dia boleh mengangkat Mukhriz jika dia hanya mempunyai 4 ahli parlimen termasuk dirinya dan Mukhriz sendiri daripada jumlah 222 keseluruhannya?
Lantas isu Mahathir sebagai PM Boneka DAP akan berulang kembali.

Walau apapun keputusan Anwar, Ketua Penerangan PKR telah menyatakan pendirian bahawa mereka tidak akan tunduk dengan rayuan Mahathir untuk kembali bersama PH.
******
Tinggalkan Jawapan