7 April 2022
Tidak lama dahulu, Muhyiddin Yassin dan mentornya yang sudah lanjut umur, sering menjaja bahawa UMNO sudah berkubur, namun keadaan hari ini nampaknya terbalik, apabila banyak cawangan dan bahagian Bersatu (PPBM) telah dibubar. Malah seluruh Bersatu di Negeri Sembilan telah ‘mati’.
Melalui ‘Langkah Sheraton’ Muhyiddin dan konco-konconya dikatakan bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PH, dan dia telah diangkat sebagai PM meskipun ahli parlimen di bawah parti Bersatu hanya ada 31 orang sahaja.

Malahan daripada 31 ahli parlimen itu, 25 daripadanya adalah katak-katak politik yang melompat ke Bersatu kerana tarikan habuan yang lumayan atau sebaliknya ugutan diheret ke mahkamah, sebagaimana berlaku kepada Rozman Isli, Mustapha Mohamad, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Maslan dan ramai lagi.
Lantas kedudukan Muhyiddin dalam kerajaan PN yang cuba didominasinya tidaklah kukuh sebaliknya goyah meskipun disokong oleh PAS setelah ahli-ahli parlimennya disogok dengan jawatan menteri dan kedudukan dalam GLC.
Dengan sebab itu, Muhyiddin semasa menjadi PM sering diburu oleh ketakutan ‘usul undi tidak percaya’ daripada pihak PH.
Di sinilah menurut penganalisis politik Malaysia, Muhyiddin telah melakukan kesilapan besar apabila mempergunakan Ordinan Darurat untuk mempertahankan kesinambungan hayat politiknya.

“Muhyiddin, semasa menjadi Perdana Menteri, telah merosakkan reputasinya. Masalahnya bermula apabila dia mengisytiharkan darurat dengan alasan mengawal wabak itu,” kata Prof Madya Dr Azmi Hassan dari Akademik Nusantara.
Melalui ordinan tersebut, Muhyiddin dapat mengelakkan sidang parlimen yang amat ditakutinya, namun dipergunakan atas alasan mencegah pandemic Covid19.
Dr Azmi menyifatkan Bersatu berada dalam situasi ‘sangat terdesak’ dan memerlukan seseorang untuk mengambil alih kepimpinan Bersatu daripada Muhyiddin Yassin.
Bagi Azmi, masa depan Bersatu, malah Perikatan Nasional (PN), kelihatan suram, terutama selepas kegagalan percubaan untuk menjalin beberapa bentuk kerjasama dengan Pejuang dan Pakatan Harapan.

Tindakan Muhyiddin adalah sesuatu yang ironik apabila dia cuba mendekati semula PH yang pernah dikhianatinya berikutan Langkah Sheraton pada 2020.
Muhyiddin seperti mahu mengulangi sikap khianatnya terhadap PH dan kini terhadap PN dan mereka yang menyokongnya dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri.
“Selepas ditolak oleh Pejuang dan PH, Bersatu perlu berfikir panjang untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu,” saran Azmi
Azmi berkata terdapat bekas ahli parlimen UMNO dalam Bersatu yang boleh mengambil alih jawatan Presiden daripada Muhyiddin, tetapi persoalannya adakah ahli Bersatu daripada kluster katak parti lain bersedia menerima pertukaran sedemikian?
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin telah meminta bantuannya supaya dia boleh menjadi Perdana Menteri semula.
Namun Mahathir membidas pihaknya tidak akan menyokong seseorang yang pernah menikamnya dari belakang.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan bahawa bukan Muhyddin yang mahu bertemu Mahathir, sebaliknya orang Mahathir yang menyarankan agar mereka berdua dapat berbincang tentang kesepakatan baharu.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng, dan presiden Warisan Shafie Apdal, telah bersuara menentang membentuk sebarang perkongsian dengan parti Muhyiddin, dan presiden Amanah Mohamad Sabu juga telah menafikan pernah mendekati Muhyiddin.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berpendapat pihak pembangkang telah menghina Bersatu serta Muhyiddin, apabila melabelkannya sebagai ‘satu daripada kohort’ yang bertanggungjawab atas kejatuhan PH pada Feb 2020.
Beliau berkata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin nampaknya paling berkemampuan untuk mengambil alih daripada Muhyiddin, tetapi tidak jelas sama ada Menteri Dalam Negeri itu mempunyai karisma untuk memimpin parti.
Kedua-dua Azmi dan Oh Eei Sun menjangkakan Bersatu akan kehilangan beberapa ahli dan pemimpin parti kepada parti lain ketika negara semakin hampir dengan PRU15.
Sebelum itupun ahli MKT UMNO Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Bersatu dan presidennya, Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan, berikutan prestasi buruknya dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Puad membidas sikap dan tingkah-laku Muhyiddin yang telah menyerang UMNO sepanjang kempen Bersatu di PRN Johor malah menghalau UMNO dengan cacian “Poodah!”.
Justeru bermaruahkah Muhyiddin dan menteri Bersatu terus kekal dalam kerajaan yang dipimpin oleh UMNO?
Muhyiddin telah mengeluarkan pengakuan untuk meletakkan jawatan sekiranya ahli Bersatu bersetuju setelah tersungkur teruk di PRN Melaka dan Johor.
“Mereka berkempen secara habis-habisan. Bersatu berbelanja besar. Termasuk sedia bas untuk mengangkut pengundi,” kata Dr Puad.
Muhyiddin, yang juga pengerusi PN sebelum ini berkata dia bersedia untuk berundur dan bertanggungjawab ke atas keputusan PRN Johor jika ahli parti menginginkan perubahan pimpinan.
PN bertanding di semua 56 kerusi tetapi Bersatu hanya berjaya memenangi dua kerusi DUN sahaja. Semasa PRU14, Bersatu menguasai 12 kerusi DUN di Johor.
******