Gelagat kerakusan nafsu manusia mungkin boleh disembunyikan daripada makhluk Allah yang lain, namun Allah tahu setiap kelumit kejahatan dan kebaikan hati hambanya. Sumpah laknat atau sumpah mubahalah yang telah dibuat oleh DS Najib di masjid Kampung Baru pada 21 Ogos 2022, mungkin ditanggapi sebagai langkah tempang untuk mengelabukan rakyat dan masyarakat Islam seluruh dunia, namun ulamak bersetuju bahawa sumpah laknat tidak boleh dipermainkan. Namun hari ini, malah sebelumnya juga, beberapa peristiwa politik negara, termasuk tuduhan rasuah berprofil tinggi, seperti sedang memantulkan kesan sumpah mubalah DS Najib itu kepada pihak yang menganiaya dirinya.
KABINET BAYANGAN ATAU AGENDA JATUHKAN KERAJAAN PERPADUAN?
Meskipun ia sekadar meliputi urusan parlimen dalam hal memperkukuhkan peranan PN selaku pembangkang, dan menyelaraskan pengurusan parti, namun menguar-uarkannya sebagai ‘Barisan Kabinet Bayangan’, pastinya mengelirukan rakyat. Pelbagai spekulasi terbangkit, yang antara lain ia seperti menubuhkan satu barisan ‘Kabinet PN’ untuk menentang, menjatuhkan, dan menggantikan Kerajaan Perpaduan yang telah diperkenankan oleh DYMM SPB YDP Agong bagi menerajui pentadbiran negara. Sekiranya ia adalah satu strategi ‘psywar’ atau perang saraf untuk menentang barisan kabinet ‘Kerajaan Perpaduan’ sedia ada, maka sudah terang lagi bersuluh, ia hanyalah mamai di siang hari.
TUN M, TS MUHYIDDIN DAN TS HADI SEDANG KEPANASAN MENUNGGU MASA DIHERET KE MAHKAMAH
Hari ini, setelah Anwar berkuasa, baik Tun Mahathir, TS Hadi Awang, mahupun TS Muhyiddin Yassin, masing-masing kepanasan untuk bersilat dan menepis tuduhan setelah SPRM dengan beraninya menjalankan tugas tanpa mengira bulu, kedudukan pangkat, serta kuasa politik. Lantas, senario yang terlihat lebih banyak memaparkan hipokrasi pemimpin politik dalam gejala membolot kuasa dan wang ringgit. Ramai yang masih tertanya-tanya adakah DS Najib Razak yang mempelopori ‘bantuan kewangan’ kepada rakyat miskin wajar dipenjarakan jika inilah hakikat hipokrasi pemimpin yang suka melihat dia merengkok dalam bilik sempit itu? DS Najib bagi mereka adalah ‘perompak lanun’, sebaliknya mereka adalah ‘pemimpin prihatin rakyat dan pengundi’ yang suka bersedekah dan berhemah dalam perbelanjaan dana negara.
TUN MAHATHIR, MAHUPUN PEJUANG DAN GTA TIDAK LAGI RELEVAN DAN TERANG-TERANGAN DITOLAK RAKYAT
Kekalahan GTA bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya, telah dijangka, meskipun Mahathir melaungkan kegoannya tentang kekuatan GTA dan sokongan pengundi Melayu. Perkara yang mengejutkan ialah apabila skala kekalahan Pejuang dan GTA adalah sesuatu yang sungguh memalukan meskipun diketuai oleh Mahathir yang dahulunya dijulang tinggi melangit. Dengan penilaian dan telahan masa depannya yang amat kabur, amatlah tidak relevan untuk pemimpin muda dalam GTA mempertaruhkan masa depan mereka memperjuangkan kesinambungan hayat GTA mahupun Pejuang.
ADAKAH KEKALAHAN TUN MAHATHIR AKAN SEDARKAN KEEGOANNYA UNTUK BERHENTI BERPOLITIK?
Tun Mahathir yang tidak pernah puas melihat kaum Melayu berpecah-belah, kini mungkin berasa amat gembira apabila lagi sekali melihat parti-parti gabungan yang menolak parti cauvinis Cina DAP kalah semalam di PRU15. Mungkin Mahathir lebih puas hati apabila melihat Pakatan Harapan menang di Semenanjung yang membolehkan DAP lagi sekali mendominasi gabungan itu.