Editorial
24 Mac 2023
AMAT mengejutkan apabila Datok Lokman Noor Adam mendedahkan kebocoran laporan SPRM terhadap siasatan ke atas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagaimana yang diterbitkan dan disiarkan dalam Twitter ‘Mahazalim Return’.

Laporan SPRM berkenaan juga mencatatkan dakwaan pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 yang dikaitkan dengan Mohd Nazlan yang telah menghakimi kes SRC International dan mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadapnya kerana terdapatnya ‘konflik kepentingan’ yang melanggar Kod Etika Hakim.
Dalam kes SRC International, Mohd Nazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap DS Najib Tun Razak setelah memutuskan beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan pada 28 Julai 2020.
Walau bagaimanapun Mohd Nazlan adalah ‘General Counsel’ Maybank Investment sejak 2005 hingga 2015 dan dikatakan terlibat dalam proses kelulusan pinjaman kepada 1MDB.
Lantas terbongkar kes ‘konflik kepentingan’ Mohd Nazlan yang menjadi isu hangat dalam kalangan pemerhati dan penganalisis politik, apatah lagi rakyat awam.
Peraturan 8(1)(a) Kod Etika Hakim 2009 menyatakan, seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak menimbulkan keraguan munasabah tentang keupayaan bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim.
Dalam kes SRC International, dana berjumlah RM42 juta tidak dipastikan berasal dari SRC International kerana dana RM170 juta telah dibayar oleh Putrajaya Perdana dan anak syarikatnya, Permai Binaraya kepada SRC ketika itu.
Dana RM170 juta berkenaan adalah berasal daripada pinjaman Maybank yang telah diluluskan ketika Mohd Nazlan memegang jawatan sebagai General Counsel Maybank.
Maklumat yang genjot telah mendakwa terdapatnya salah guna kuasa PM apabila dana tersebut diambil daripada KWAP.
Laporan SPRM kepada Tengku Maimun telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), DS Azalina Othman Said di Parlimen pada 23 Februari lalu.
Azalina memaklumkan, laporan SPRM berhubung siasatan berkaitan kes Mohd Nazlan telah selesai dijalankan dan telah diserahkan kepada Ketua Hakim, Tun Maimun.
Malangnya, masyarakat awam tertanya-tanya mengapakah Tengku Maimun masih belum mengambil apa-apa tindakan tentang laporan tersebut sejak 20 Februari 2023 lalu, sebaliknya menekankan tentang prosedur pendakwaan terhadap Mohd Nazlan yang harus melalui pejabat Ketua Hakim Negara?
Sebelum ini juga telah heboh, sebagaimana pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam memoirnya ‘Justice in the Wilderness’ bahawa PM ke-7, Tun Mahathir, telah melantik Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim negara tanpa mengikut peruntukan kuasa yang diberkan kepada JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman).

Adalah tidak adil kepada DS Najib kerana perkara-perkara tersebut terutamanya tentang ‘konflik kepentingan’ hakim yang sepatutnya dipertimbangkan dan dimasukkan sebagai bukti bagi semakan kes beliau telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Ketua Hakim Negara, SPRM dan Menteri Undang-Undang juga patut sahkan atau nafikan pendedahan Twitter ‘Mahazalim Return’ itu kepada masyarakat awam bagi memelihara integriti mahkamah sebagai pentas keadilan rakyat dan bukan menjadi alat kuasa politik yang zalim.
Pada 31 Mac 2023 ini Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada menerima atau menolak semakan kehakiman DS Najib atas keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terhadap kes SRC berkenaan.
Sekiranya Mahkamah Persekutuan menerima, maka pendakwaan ke atas DS Najib akan digugurkan dan diadakan perbicaraan semula.
Bagi kedua-dua keadaan itu, maka mahkamah tidak ada pilihan selain membebaskan DS Najib dari Penjara Kajang.
Seluruh rakyat Malaysia sebelum ini tertanya-tanya, apakah status siasatan SPRM ke atas Hakim Nazlan apabila Peguam Negara Idrus Harun seperti membisu?

Isu berkenaan amatlah penting kerana Hakim Nazlan adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun penjara ke atas DS Najib.
Namun Datok Lokman tidak menaruh harapan apabila Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara selama ini dipersepsikan sebagai cuba melindungi Mohd Nazlan.





*****
Tinggalkan Jawapan