UMNO BERI ULTIMATUM KEPADA MUHYIDDIN

Editorial

23 Jun 2021

UMNO melalui Presiden parti DS Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi ultimatum kepada PM TS Muhyiddin Yassin supaya membuka semula sidang parlimen dalam tempoh 14 hari, sebelum tindakan diambil melalui mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO.

Zahid tidak menyatakan apakah tindakan yang akan diambil oleh UMNO, namun diperjelaskan bahawa sekiranya sidang parlimen tidak diadakan segera, ia boleh diterjemahkan sebagai penderhakaan kepada DYMM Agong.

Sebagai parti yang berjuang menjaga hak dan membela kaum Melayu dan Raja-Raja Melayu, UMNO memikul tanggungjawab untuk mempertahankan institusi DiRaja, apatah lagi titah-perintah baginda DYMM Agong.

Sebagaimana tegasan Zahid, “Umno berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja pemerintah agar memanggil sidang parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.”

Meskipun tidak dinyatakan apakah tindakan yang akan diambil, namun UMNO sudah beberapa kali mendesak agak Menteri Kabinet UMNO dalam kabinet Muhyiddin meletakkan jawatan.

Seandainya tindakan tersebut diambil pastilah urus tadbir PM TS Muhyiddin dan kerajaan PN akan tempang dan barangkali tumbang kerana terdapat 14 ahli parlimen UMNO yang berperanan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Antara pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet Muhyiddin sebagai Menteri adalah seperti berikut:

  • Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Pertahanan,
  • Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan)
  • Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli
  • Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, sebagai Menteri Pengajian Tinggi
  • Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebagai Menteri Belia dan Sukan.
  • Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebagai Menteri Luar Neger
  • Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
  • Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique, sebagai Menteri Perpaduan Negara,
  • Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebagai Menteri Kesihatan

Manakala terdapat 5 lagi yang dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Selain itu Muhyiddin amat memerlukan sokongan ahli parlimen UMNO sekiranya diusulkan sama ada “Undi Percaya kepada PM” mahupun “Undi tidak percaya kepada PM.”

Sebagaimana yang heboh, satu lagi tekanan terhadap Muhyiddin ialah usaha tokoh pemimpin tertentu yang cuba mendapatkan ‘Surat Akuan Bersumpah’ atau SD bagi menyatakan sokongan mereka terhadap pemimpin tertentu dan lantas menolak Muhyiddin sebagai PM.

Langkah itu sekali gus akan menjatuhkan PN yang kini terpaksa bergantung kepada sokongan ahli parlimen Umno untuk mendapat majoriti di parlimen.

Di tengah-tengah asakan supaya parlimen bersidang semula, Muhyiddin dipersepsikan sebagai cuba berdolak-dalik untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas meneliti sidang parlimen hibrid.

Sidang parlimen hibrid adalah satu pendekatan baharu persidangan parlimen yang diadakan secara pertemuan bersemuka sebagaimana sidang tradisi, dan juga penglibatan ahli parlimen secara maya.

Ada yang menterjemahkan penubuhan Jawatankuasa Khas untuk meneliti sidang parlimen yang diusahakan PM Muhyiddin sebagai tidak bersungguh-sungguh untuk membuka semula sidang parlimen.

DS Najib menempelak, jika takut sangat Ahli Parlimen diserang Covid19 dalam parlimen, maka sidang parlimen boleh diadakan di kilang-kilang yang dibenarkan buka oleh kerajaan PN.

Majlis Presiden PH juga mendesak agar sidang parlimen segera diadakan bagi tujuan semak dan imbang terhadap segala tindak-tanduk kerajaan PN, jika tidak, baiklah PM meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan media, Majlis Presiden PH menegaskan “Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri.”

Nampaknya asakan tekanan terhadap Muhyiddin datang daripada pelbagai sudut supaya segera membuka semula sidang parlimen, manakala dari sudut lain, pandemik Covid19 juga tidak menunjukkan kadar keredaan yang signifikan dan positif.

******

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: