Oleh Dr Mamat Desa
22 Jun 2021
Pemerhati politik tertanya-tanya, benarkah Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengalih prinsip yang telah dipersetujui oleh MKT UMNO untuk tidak bersekongkol dengan Anwar.
Malahan pada Mac lalu, Zahid telah mengisytiharkan dasar UMNO yang mengangkat pendirian yang tegar “No Anwar, No Bersatu, No DAP”.
Namun mengapakah akhir-akhir ini Zahid dikatakan mula mendekati Anwar, malahan tertular audio perbualan telefon antara Zahid dan Anwar.

Adakah audio rakaman telefon itu merupakan alat propaganda musuh UMNO untuk memporak-perandakan parti keramat Melayu itu?
Zahid telah menafikan dan dengan keras mengatakan bahawa suara rakaman itu bukan dia.
Begitu juga dengan DS Anwar Ibrahim. Malahan DS Anwar Ibrahim sendiri telah mengarahkan pegawai parti membuat laporan polis terhadap audio rakaman tersebut.

Masyarakat netizen tidak lagi hairan dengan rakaman audio sedemikian yang besar kemungkinan adalah alat propaganda dan fitnah musuh-musuh UMNO kerana sudah terbukti ada orang-orang tertentu yang pandai meniru-niru suara orang lain.
Timbul juga persoalan, adakah penularan audio itu juga merupakan tindakan pihak musuh untuk menjatuhkan Zahid sendiri?
Kita tidak tahu siapa, namun Tun Mahathir berkali-kali mahu UMNO berkubur, tetapi hakikatnya Pejuang sendiri belum lagi disambut kelahirannya secara rasmi apabila RoS tidak mahu menerima pendaftarannya.
Entah-entah Pejuang akan mati sebelum disambut oleh bidan.
Kata Zahid semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 “Saya tegaskan di sini mengenai pendirian kita dalam menghadapi PRU15, kita tetap dengan keputusan MKT UMNO, No Bersatu, No Anwar, No DAP.”
Zahid juga menegaskan tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti terbabit sama ada PKR, atau DAP secara rasmi atau tidak rasmi untuk bergabung dalam satu pakatan, sebaliknya UMNO akan menggunakan panji-panji BN dan memutuskan untuk menghadapi PRU15 secara bersendirian.
Walau bagaimanapun dengan semangat Perpaduan Ummah yang telah diikat pada 14 September 2019 bersama dengan air mata persaudaraan umat Islam, akar umbi amat berharap agar kenyataan Zahid “secara bersendirian” itu tidak bermaksud “No PAS.”
Zahid mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15 dan dengan itu UMNO mesti memenangi kerusi terbanyak.
UMNO tidak mahu bersekutu dengan pembelot dan pengkhianat kerana UMNO tidak mahu ada makhluk perosak dalam parti mahupun dalam gabungan pakatan yang tidak ikhlas dan tidak jujur untuk membentuk kerajaan.
UMNO bukan naif atau anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan.

Dengan itu sekiranya ada suara-suara sumbang, atau bisikan dalam selimut, maka semua itu adalah fitnah puak yang mahu UMNO musnah dan berkubur.
Pengkhianatan Bersatu terhadap UMNO meletus setelah GRS memenangi PRN di Sabah pada September 2020 lalu.
Ia meletus apabila DS Hamzah Zainuddin telah memungkiri janji yang dibuat bersama UMNO-Bersatu sebelumnya.

Zahid telah memberi amaran keras supaya Bersatu berpegang kepada janji untuk melantik Ketua Menteri daripada kepimpinan UMNO, tetapi di situ sahaja Bersatu sudah menunjukkan sikap pembelot mereka apabila melantik pemimpin Bersatu sebagai Ketua Menteri.
Namun UMNO menyimpan kekecewaan itu kerana pelantikan tersebut dipersetujui oleh GRS.
UMNO Sabah sebelum itu juga telah melepaskan banyak kerusi yang dimenangi dalam PRU14 kepada Bersatu sebagai sebahagian daripada rundingan akan memperolehi jawatan Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah menang. Tapi UMNO dikecewakan secara terang-terangan.
Kemudian timbul pula soal lantikan Bung Moktar Radin sebagai Menteri Kerjaraya Sabah yang cuba disabotaj oleh Bersatu.
Tetapi setelah UMNO mengugut untuk keluar daripada PN setelah Bersatu membuli UMNO melalui gelagat katak politik yang amat dibenci oleh UMNO, Bung Moktar akhirnya diberikan juga jawatan Menteri Kerjaraya Sabah.
Kini terdapat segelintir pemimpin UMNO yang mudah melupakan sikap samseng Bersatu terhadap UMNO.
Adakah kerana mereka diberikan jawatan utama dalam kabinet Bersatu?
Zahid mahu berjuang bersendirian. Namun dengan asakan daripada tuduhan-tuduhan terancang dengan lebih 30 kes yang tidak pernah berlaku di mana-mana di dunia ini, adakah Zahid boleh meneruskan survival politiknya bersendirian?
Adakah dengan itu telah membuat pemimpin UMNO percaya bahawa fitnah kerjasama Zahid-Anwar adalah benar demi survival Zahid?
Benar atau tidak, kita percaya bahawa dalang yang paling utama terhadap fitnah ini semua adalah Tun Mahathir yang mempunyai ramai tentera trojannya dalam Bersatu.
******
Tinggalkan Jawapan