Editorial
28 Mac 2022
Dalam kegawatan bahagian dan cawangannya telah dibubarkan, PPBM (Bersatu) kini terancam lagi apabila Menteri Perusahaan, Perladangan, dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin diuar-uarkan akan keluar meninggalkan parti.

Sesiapa sahaja ahli parlimen PPBM (Bersatu) di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin akan rasa tidak selesa lagi berada dalam parti itu setelah prestasi merosot teruk dalam dua PRN yang memberi signal bahawa rakyat menolak Bersatu.
Menteri KDN, DS Hamzah Zainuddin seakan-akan cuba menyatakan kekesalannya apabila menyalahkan takdir yang menyebabkan dirinya lompat ke parti Bersatu semasa dipimpin oleh Tun Mahathir.
Namun, ketika Mahathir dilihat tidak ketahuan hala, mereka beramai-ramai mengenyahkannya dan meninggalkan Mahathir, dan kini fenomena politik dan pendam rasa yang sama sedang melanda mereka untuk meninggalkan Bersatu pula.
Persoalannya ke manakah mereka harus pergi? Bekas Ahli Parlimen UMNO boleh kembali kepada UMNO semula atau bekas ahli parlimen PKR juga boleh kembali ke PKR, namun mereka harus bermula dari bawah semula dengan erti kata, era kecemerlangan mereka sudah berakhir.
Walau apapun tindakan mereka, imej mereka amat buruk sebagai katak politik yang tidak bermaruah.
Tetapi malanglah bagi mereka yang diugut oleh Muhyiddin untuk diheret ke mahkamah, sebagaimana Rozman Isli diugut untuk meninggalkan parti Warisan supaya menyertai Bersatu jika tidak mahu diheret ke mahkamah.
Ramai pemimpin UMNO yang tidak mahu tunduk pada ugutan pemimpin Bersatu, dan dengan itu mereka diheret ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan yang dicipta.

Menteri Perusahaan, Perladangan, dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mempunyai pilihan untuk meninggalkan Bersatu.
Namun Zuraida berada dalam situasi yang amat serba salah. Meritnya sedang naik dengan harga minyak sawit yang meningkat mendadak kepada RM9 ribu setan, berbanding RM600 beberapa bulan yang lalu.
Zuraida juga akan kehilangan jawatan menteri sekiranya dia meninggalkan Bersatu yang dilihatnya sudah tidak lagi relevan setelah kalah teruk di PRN Melaka, dan PRN Johor.
Ahli MPT Bersatu, Dr Faiz Na’aman mendakwa, Zuraida seperti tidak wujud lagi dalam Bersatu apabila dia tidak menyertai delegasi kempen untuk Bersatu di PRN Johor.
Malahan tindakan telah diambil dengan mengeluarkan namanya daripada senarai grup Whatsapp MPT Bersatu; ia sebagai satu petanda Zuraida tidak lagi diterima dalam kepimpinan tertinggi Bersatu.
Bagaimanakah Zuraida boleh bekerjasama dengan Bersatu sekiranya rasa kasih sudah hilang yang penuh dicemari dengan kelemahan pucuk pimpinan, sedangkan kekasih barunya Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedang melambai-lambai merayu dia keluar Bersatu?
Pihak MPT Bersatu mempunyai bukti bergambar akan tindak-tanduk Zuraida yang cenderung mendekatkan diri dengan PBM.
Zuraida dilaporkan menyokong sukarelawan dari PBM membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di Selangor. Zuraida juga telah memberi sumbangan kepada Misi Bantuan Pasca Banjir PBM.
Pucuk kepimpinan Bersatu telahpun membuat pertimbangan memecat Zuraida dalam satu mesyuarat MPT pada 25 Januari lalu.
Zuraida juga disahkan tidak hadir mesyuarat MPT Bersatu lebih daripada tiga kali, yang wajar dikenakan tindakan disiplin.
Tetapi dalam keadaan Bersatu yang ketandusan ahli parlimen, masakan Muhyiddin berani membuang Zuraida yang sekiranya dia meninggalkan Bersatu, pastinya ramai akan mengikut jejaknya.
Muhyiddin sedar dalam 31 ahli parlimen dalam Bersatu, 25 daripada mereka adalah katak-katak politik yang sama ada menjadi mangsa ugutan, atau kerana habuan laba yang besar.

Pada Disember lalu, bekas Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad telah meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN), sebuah NGO yang dikaitkan dengan Zuraida.
Zuraida menafikan desas-desus beliau dan DS Mohamad Azmin Ali sedang merancang untuk menyertai PBM sebagaimana tertular di medsos.
Terdapat juga media arus perdana seperti FMT yang menjangkakan bahawa Zuraida akan keluar Bersatu pada April ini, sebelum Dewan Rakyat membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Atau adakah Zuraida juga keberatan untuk meninggalkan Bersatu kerana diugut untuk diheret ke mahkamah sebagaimana Rozman Isli? Hanya Zuraida sahaja yang tahu.
*****
Tinggalkan Jawapan