NAMPAKNYA kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantunya Shaaribuu sedang dikitar semula.
Negara dikejutkan dengan perakuan Azilah Hadri, dari Penjara Kajang, melalui Akuan Bersumpah SD (Statutory Declaration) bertarikh 17 Oktober, yang mendakwa bahawa DS Najib Abd Razak telah mengarahkannya membunuh wanita Mongolia Altantunya Shaaribuu pada 2006.

Azilah sedang menunggu hukuman gantung kerana didapati bersalah membunuh wanita Mongolia berkenaan oleh Mahkamah Persekutuan.
Kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantunya bukanlah kes baru, ia sudah lama dibawa ke mahkamah pada 2006.
DS Najib telah didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan dan hakikat ini telah diputuskan oleh Mahkamah.
Malahan, bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan polis telah mendapati tiada penglibatan DS Najib dalam kes pembunuhan Altantunya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pada April 2015, telah mengesahkan bahawa DS Najib tidak terlibat langsung dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

Sirul Azhar Omar dan Azilah Hadri dari UTK (Unit Tindakan Khas) telah didapati bersalah.
Sirul Azhar telah melarikan diri ke Australia, negara yang menentang dan menolak hukuman mati dalam apa jua kes jenayah.
Manakala Azilah Hadri dipenjarakan di Penjara Kajang dan sedang menunggu hukuman gantung.
Pada 30 Januari 2016, Sirul Azhar telah membuat perakuan bersumpah dengan nama Allah bahawa DS Najib langsung tidak terlibat dan tiada kaitan dengan tindakan membunuh Altantunya, yang dirakamkan dalam video berdurasi 55 saat. Video berkenaan adalah video ketiga yang merakamkan perakuan Sirul Azhar.

“Saya lafazkan di sini, wallahi, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak langsung tidak ada terlibat dan tidak ada kaitan dalam kes,” katanya.
Lebih mengejutkan apabila Sirul mendedahkan bahawa ada ‘pihak yang berkepentingan’ (siapa?) cuba menjatuhkan ‘individu tertentu’ (DS Najib?)
“Adalah dosa besar kepada saya jika saya memfitnah seseorang itu,” jelasnya.
Sebelumnya pada 21 Januari lalu, Sirul Azhar juga telah membuat rakaman video (pertama) bagi meluahkan kekesalannya ke atas pihak tertentu (siapa?) yang cuba mengambil kesempatan untuk memperalatkan dirinya bagi tujuan menjatuhkan dan memfitnah ‘individu lain’ (DS Najib?)
Dengan itu, adakah perakuan Azilah Hadri merupakan satu tindakan nekad untuk mengheret DS Najib Abd Razak ke penjara atas konspirasi ‘pihak yang berkepentingan’?
Walau apapun tujuannya, pastinya ada pihak berhati busuk yang sentiasa gelisah melihat Najib bebas dan disanjung oleh rakyat marhaen, setelah tuduhan untuk mengaitkannya dengan 1MDB nampaknya seperti gagal.
DS Najib dituduh perompak, lanun Bugis, kleptokrat, dan macam-macam lagi sejak berlangsungnya kempen PH untuk menang PRU14 Mei 2018.
Namun kini rakyat semakin membuka mata dan sedar bahawa lebih baik ‘perompak’ yang memerintah daripada politikus ‘kaki fitnah’ dengki, khianat yang sedang mengheret negara ke arah hutang yang berganda, perpaduan kaum yang punah-ranah, pemimpin bergaduh sesama-sendiri, melelong harta negara, kos sara hidup meningkat, nilai Ringgit jatuh merudum, janji-janji dimungkiri, agama Islam dihina, komunisme diagungkan dan seribu satu kemelut yang menjadikan rakyat seperti Pak Kaduk yang menang sorak tanah tergadai.

Negara belum lagi reda dengan kes abu mayat Chin Peng, perhimpunan bekas gerila Bintang Tiga Komunis, komik propaganda komunis, kes pencabulan Yusoff Rawther, isu peralihan kuasa Mahathir-Anwar, pergeseran terbuka Anwar-Azmin, kes semburit, dan kes kematian pegawai Bomba Adib Mohd Kassim.
Lantas membangkitkan semula kes pembunuhan Altantunya mungkin boleh membuat rakyat mengalihkan fokus mereka terhadap semua kemelut politik PH itu.
Walau bagaimanapun, persoalannya, siapakah ‘pihak berkepentingan’ yang dimaksudkan oleh Sirul Azhar?
Sebagaimana yang diketahui, Sirul Azhar pernah menjadi pengawal peribadi Tun Mahathir ketika dia menjawat jawatan Perdana Menteri.
Isu pembelian kapal selam Scorpene yang dikaitkan dengan Altantunya adalah projek kerajaan ketika Mahathir masih merupakan Perdana Menteri ke8.
Ada sesuatu yang tidak kena apabila media cuba mendakwa bahawa Altantunya adalah jurubahasa dalam rundingan pembelian Scorpene, sedangkan sebenarnya Altantunya tiada kena-mengena dengan pembelian Scorpene.
Rundingan pembelian kapal selam itu dijalankan melalui jurubahasa warga Inggeris bernama Martin Hill yang fasih berbahasa Perancis.
Lantas, siapakah ‘pihak berkepentingan’ yang dimaksudkan oleh Sirul Azhar itu?
*****
Tinggalkan Jawapan