Editorial
20 Julai 2021
Nampaknya berkali-kali pihak pembangkang, terutamanya Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim mengingatkan TS Muhyiddin dan kerajaan PN bahawa mereka berjanji tidak akan ada ‘undi tidak percaya’ terhadap Perdana Menteri semasa sidang parlimen yang dijangkakan berlangsung pada 26 Julai ini.

Meskipun janji itu telah dihebohkan dalam beberapa sidang media, namun nampaknya Muhyiddin dan kabinetnya masih paranoia atau diburu ketakutan sehingga sidang parlimen 26 Julai ini, digazetkan hanya sebagai ‘sidang khas parlimen’.
Ia dijenamakan sebagai sidang khas, kononnya tidak akan ada perbahasan sebagaimana sidang parlimen yang biasa diadakan.
Bukan itu sahaja, sidang khas parlimen itu dihadkan kepada hanya 80 ahli parlimen (AP) dengan 44 AP daripada pihak kerajaan, manakala hanya 36 AP daripada pihak pembangkang pada setiap satu sesi daripada jumlah lima sesi bagi selama lima hari persidangan.
Sepatutnya sidang parlimen tersebut harus melibatkan jumlah 220 (2 MP meninggal dunia), namun sidang khas ini hanya membenarkan kurang daripada separuh jumlah tersebut (80 sahaja) bagi setiap sesi.
Kenapakah hanya 36 AP daripada pihak pembangkang, 40 AP daripada pihak kerajaan, dan kenapakah tidak disama-ratakan kepada 40-40 AP?
Sudah terang lagi bersuluh, Muhyiddin nampaknya amat takut kehilangan kuasa sebagai Perdana Menteri, sekiranya sidang parlimen dijalankan mengikut prosedur yang biasa diamalkan.
Sama ada usul ‘undi tidak percaya’, mahupun usul ‘undi percaya’ kedua-duanya akan membawa implikasi buruk kepada Muhyiddin dan kabinetnya yang dilihat telah mempergunakan proklamasi Darurat untuk kesinambungan hayat kuasa PN.
Hari ini, rakyat yang menderita akibat pandemik Covid19 serta sekatan-sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menjadi satu tanda aras kepada kegagalan PN dan Muhyiddin.
Selain itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam kenyataan akhbarnya seakan-akan telah menetapkan “Semua akan bertanya soalan berkaitan COVID-19 dan dibentangkan menerusi peraturan yang akan dibentangkan oleh menteri.”
Ketetapan sedemikian telah dibantah oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga mewakili Majlis Parlimen PH, sebagai satu cubaan mencabuli institusi demokrasi negara kerana tidak membenarkan perbahasan sepanjang sidang lima hari itu.
Tindakan ketetapan ‘sidang khas parlimen’ itu juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Anwar turut menegaskan bahawa sebagai Ketua Pembangkang beliau memberi amaran kepada kerajaan PN supaya menghentikan pencabulan terhadap institusi demokrasi negara.
Sepatutnya sidang parlimen harus membenarkan perbahasan baik tentang isu semasa pandemik Covid19, Pelan Pemulihan Negara, Ordinan-ordinan Darurat serta kemelesetan ekonomi negara, manakala rakyat daripada golongan kelas rendah dan menengah sedang menderita kerana hilang punca pendapatan.
Anwar juga menegaskan bahawa isu perbelanjaan kewangan kerajaan dalam usaha menangani pandemik Covid19 hendaklah dibuka untuk perbahasan.
Pada 24 Februari dan 29 Jun lalu, DYMM SPBYDP Agong juga telah bertitah atas isu yang sama iaitu tindakan usaha menangani pandemik Covid19 dan kemelesetan ekonomi negara selari dengan aspirasi rakyat.
Malangnya, menurut Anwar, sidang khas parlimen pada 26 Julai ini digambarkan sebagai satu penerangan dan ceramah-ceramah para menteri tanpa sebarang perbahasan AP yang bersidang.
Tindakan PN hanya membenarkan ‘sidang khas parlimen’ itu memberi gambaran bahawa PN derhaka kepada titah baginda DYMM Agong.
****
Tinggalkan Jawapan