Berita Sisispan
19 Julai 2021
Kementerian Pendidikan yang diterajui Dtk Dr Md Radzi Md Jidin dilihat mendabik dada dapat membantu pelajar dengan pengagihan 12,000 daripada 150,000 komputer riba bulan lalu di bawah inisiatif Cerdik dengan bakinya akan diagihkan pada September.
Banggakah Radzi dengan agihan 150,000 komputer riba itu sedangkan jumlah pelajar adalah 2.74 juta bagi sekolah rendah dan 2.037 juta untuk sekolah menengah?
Dengan itu, peruntukan 150,000 komputer riba hanyalah merupakan pembekalan kepada 3.14% daripada jumlah populasi pelajar sekolah menengah dan rendah.
Itupun yang baru diagihkan hanyalah 12,000 yang hanya 0.25% belum pun sampai 1%. Bagaimana pula dengan prasekolah?
Tak perlulah Radzi hendak menuntut merit dalam hal pengagihan komputer riba itu, kerana kerajaan menggunakan wang rakyat, bukan wang menteri.
Dari aspek lain, menteri pandai agih komputer riba tetapi tidak pula mempedulikan talian Internet untuk PdPR yang kadangkala tidak sampai ke rumah-rumah di luar bandar.
Malahan ada pelajar yang parah kemalangan kerana terpaksa berulang ke bandar mencari akses Internet dan ramai yang teraba-raba mencari akses talian untuk tidak ketinggalan.
Adakah Menteri Pendidikan mahu melahirkan generasi dungu kerana membiarkan keadaan seperti mereka tidak bersekolah?

Radzi seharusnya bertindak proaktif apabila dikritik oleh pemimpin parti-parti pembangkang yang menyifatkan keadaan pengurusan sekolah-sekolah kerajaan dalam mendepani pandemik COVID-19 ketika ini ‘semakin cacamarba’.
Susulan itu, pemimpin pembangkang mendesak Menteri Kanan (Pendidikan) dan dua timbalan menterinya supaya meletak jawatan.
“Apa yang berlaku kini, pihak pengurusan sekolah ramai yang hilang arah dan punca apabila peningkatan kes di sekolah, tetapi mereka tidak dipersiap untuk PdPR semasa sekolah ditutup.

“Rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan terancang pihak kementerian berkaitan pendidikan di kala pandemik, kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari Kementerian Pendidikan (KPM) kepada rakyat,” kata mereka hari ini.
Kemarahan rakyat, terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa, berhubung lemahnya pengendalian kerajaan dan KPM terhadap situasi terkini dapat dilihat di media sosial.
“Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen PH dan parti-parti pembangkang yang lain mendesak agar Menteri Pendidikan beserta kedua-kedua timbalannya berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta.
Bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim juga telah melemparkan kritikan pedas terhadap Radzi, “Menteri Pendidikan perlu meletakkan jawatan, memandangkan situasi semasa pendidikan dianggap “menyedihkan”.

“Saya rasa beliau tidak berguna langsung. Beliau sepatutnya meletakkan jawatan dan biarkan orang lain pula buat kerja itu,” kata Zaid kepada FMT.
KPM sehingga kini tidak mengemukakan cadangan bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan, malah tiada cara untuk menilai prestasi murid Tahun Enam.
“Bagaimana hendak tetapkan tanda aras bagi mereka? Guru-guru juga bertanya soalan sama,” katanya.
Selain itu kata Zaid, pengumuman pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula 1 Sept yang disifatkannya sebagai “melepaskan batuk di tangga”, tidak disertakan dengan pelan yang tepat.
“Keutamaan diberikan kepada mereka menduduki peperiksaan tetapi peringkat pembelajaran lain juga sama penting. Mengapa tidak dibuka untuk semua pelajar?” katanya.
Beliau berkata, ini juga bermaksud Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diteruskan selama dua bulan lagi, walaupun ada segelintir murid masih tiada akses kepada kelas dalam talian.
Zaid juga bertanya, “Mengapa perlu tunggu sampai September jika sekolah akan dibuka berperingkat menjelang waktu itu? Pelajar perlu komputer riba untuk PdPR sekarang.”
Satu cara supaya semua dapat menyambung pembelajaran mereka di sekolah adalah dengan memberi vaksin kepada 500,000 guru di seluruh negara secepat mungkin bagi menjamin pembelajaran di bilik darjah “kembali normal”.
Zaid mempersoalkan mengapa guru tidak diberi keutamaan dalam proses vaksinasi, terutamanya apabila Radzi adalah seorang menteri kanan yang menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Radzi sepatutnya tidak ‘teraba-raba’ dan maklumkan kepada kita semua apakah pelannya,” kata Zaid.
*******
Tinggalkan Jawapan