BALACI HAMZAH ZAINUDDIN CUBA PERDAYA PENYOKONG ‘BOSSKU’

Editorial

29 Julai 2023

Amat menyedihkan apabila pengampu Hamzah Zainuddin cuba memutar-belit fakta supaya ahli-ahli UMNO yang sayangkan DS Najib, menolak BN-PH pada PRN Ogos ini.

Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa, 300 ribu penyokong ‘Bossku’ akan belot pada UMNO-BN dan memilih untuk mengundi PN pada PRN Ogos ini, atas alasan Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi tidak berusaha membebaskan DS Najib dari penjara.

Persoalannya, adakah Syed Imran dan konco-konconya benar-benar setia pada UMNO atau hanya sekadar menjadi gunting dalam lipatan UMNO-BN?

Hakikatnya DS Najib sendiri meminta agar dia dibebaskan mengikut lunas undang-undang dan bukannya talian hayat UMNO melalui campurtangan dalam sistem perundangan negara.

Sebagaimana tegas putera DS Najib, Mohd Nazifuddin yang juga merupakan Ketua UMNO Langkawi, “Sebagai sebuah keluarga, bagi kami, kami konsisten dengan apa yang kami percaya untuk bapa saya, iaitu untuk mendapatkan keadilan terhadapnya dan dia masih (mempunyai) lapan kes yang sedang berjalan.

“Kami percaya beliau akan menang dan akan ada jalan untuk beliau memohon perbicaraan semula atau pengampunan untuk membebaskannya.”

Meskipun Tun Mahathir telah melampaui kuasanya sebagai PM Ke-7 apabila membebaskan DS Anwar Ibrahim seelok-elok PH memenangi PRU14, namun DS Najib menolak pendekatan sedemikian kerana beliau mahu pembebasannya adalah melalui saluran Mahkamah.

Sebagaimana dakwaan Datok Lokman Noor Adam, Syed Imran adalah balaci kepada Timbalan Presiden Bersatu, DS Hamzah Zainuddin. Lantas tidak hairanlah tingkah-laku Imran membangkitkan persoalan tentang kesetiaannya kepada UMNO-BN.

Apakah relevannya menyokong PN-PAS dalam Perikatan Nasional, sekiranya TS Muhyiddin dan TS Hadi Awang adalah katalis yang sememangnya mahu melihat DS Najib dipenjarakan.

Muhyiddin Yassin pula telah diketahui umum sebagai pengkhianat kepada DS Najib, malah telah cuba melaksanakan coup d’tat (rampasan kuasa) ke atas kerajaan pimpinan DS Najib suatu ketika dahulu.

Lantas, Syed Imran, berhentilah daripada mengelirukan penyokong DS Najib, dan biarlah undang-undang yang sentiasa dalam pantauan Allah (SWT) menentukan keadilan buat DS Najib.

Tingkah-laku Syed Imran lebih dilihat sebagai suatu tipu-muslihat untuk menjatuhkan UMNO, dengan mencemarkan nama baik Presidennya.

******

Tinggalkan komen

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑