VIDEO – RELEVANKAH UNTUK BERGELUT LAGI DENGAN ‘USUL UNDI PERCAYA’ ATAU ‘TIDAK PERCAYA’ ?

Dr.Mamat Desa

6 September 2021

Tidak sampai 20 hari setelah DS Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos lalu, sudah gegar seluruh negara bahawa terdapat ahli parlimen yang mahu ‘keabsahannya sebagai PM’ diuji dengan usul ‘Undi Percaya’ di Dewan Rakyat.

Memanglah benar ia merupakan satu titah saranan daripada DYMM Agong namun waktu sebegini pastinya baginda juga tidak mahu berlaku lagi hiruk-pikuk dan huru-hara politik yang sudah memuakkan rakyat, sedangkan pandemik Covid19 masih bermaharajalela.

Jika disebut ‘Undi Percaya’ ia membawa konotasi positif kerana usul tersebut akan memperkukuhkan lagi kedudukan DS Ismail Sabri.

Sebaliknya dengan majoriti mudah sokongan ahli parlimen sebanyak 114 melawan 106, usul ‘Undi Percaya’ itu mempunyai kebarangkalian yang besar untuk tidak berpihak kepada Ismail Sabri.

Sekiranya ‘Undi Percaya’ itu gagal mendapat sokongan majoriti, maka jelaslah bahawa PM DS Ismail Sabri hilang keabsahan, maka lagi sekali negara akan bergelut dengan isu pelantikan PM baharu.

Lihat, apakah yang terjadi kepada MB Perak, DS Ahmad Faizal Azumu setelah DUN mengadakan ‘Undi Percaya’ terhadap MB dan beliau gagal dengan hanya mendapat 10 undi berbanding 48 yang menolak?

Lantas, beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Hendaklah diingat bahawa landskap negara masih belum reda dengan isu katak politik dan ia masih berleluasa.

Di sinilah letaknya muslihat pihak pembangkang untuk membawa usul ‘Undi Percaya’ terhadap Ismail Sabri.

Adakah itu yang rakyat mahu?

Di seluruh dunia, pemimpin negara bergelut, berusaha bermati-matian menentang pandemik Covid19, sebaliknya di Malaysia, pemimpin politik masih bergelut dan berperang untuk merebut kerusi Perdana Menteri.

Namun apa pula akan terjadi, setelah negara dilanda dengan wabak lompat parti, malah dalam kerajaan PN sendiri terdapat lebih 30 ahli parlimen yang sebenarnya adalah ‘katak-katak politik’ yang melompat demi survival politik mereka. Tidakkah nanti mereka akan melompat lagi?

Ada juga yang melompat parti untuk menyelamatkan diri daripada tindakan mahkamah, yang hakikatnya menjadi ‘modus operandi’ kepada pemimpin diktator yang mahu memperbanyakkan jumlah ahli parlimen dalam partinya.

Namun, di tengah-tengah gejala pandemik Covid19 yang bermaharajalela membunuh mangsa dengan kadar 6000-9000 sebulan dengan kadar jangkitan kumulatif yang hampir mencecah 2 juta, adakah negara masih mahu menambah penderitaan rakyat dengan hiruk-pikuk dan huru-hara politik ini semua?

Kini terdapat pula ketua-ketua parti yang gagal menggarap kerusi Perdana Menteri, kini berebut pula hendak menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Apa yang penganalisis lihat ialah MPN ‘ala Mahathir’ hanya akan mewujudkan pemerintahan ‘Diktator’ yang menolak kewujudan urus tadbir melalui demokrasi berparlimen apabila MPN melapor terus kepada DYMM Agong.

Bagi mengelak segala hiruk-pikuk dan gejala merebut kuasa serta jawatan PM, Peguam Negara, TS Idris Harun telah mengeluarkan kenyataan yang membantah sebarang usul ‘Undi Percaya’ terhadap PM Ismail Sabri kerana pelantikan beliau sebagai PM adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya ‘Undi Percaya’ diadakan maka ia akan diterjemahkan sebagai pelantikan Ismail oleh DYMM Agong adalah tidak sah dan juga membawa konotasi bahawa terdapat kuasa lain yang boleh mengatasi kuasa DYMM Agong untuk membuat lantikan tersebut.

Justifikasi Harun Idris ada signifikannya apabila beliau menyatakan bahawa, “Sekiranya pelantikan PM yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada DYMM Agong, ini bermakna kuasa mutlak dalam pelantikan PM boleh diatasi oleh pihak lain.”

Namun sebagaimana biasa, pembangkang yang bukan sahaja membangkang tetapi bertindak seakan-akan gunting dalam lipatan, tetap mahu usul “Undi Percaya’ diteruskan terhadap DS Ismail Sabri, sedangkan mereka tidak pernah mahu mempercayai mana-mana tokoh yang dilantik sebagai PM kecuali pemimpin mereka sendiri.

Adakah segala kemelut sedemikian akan berakhir?

Tidakkah sekiranya pada masa hadapan sekiranya tokoh lain pula dilantik, maka undi serupa akan diteruskan lagi dan lagi, sebagaimana PAS pernah mengusulkan ‘Undi Tidak Percaya’ terhadap Mahathir ketika PH-DAP berkuasa dahulu?

****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: