Dr Mamat Desa
6 September 2021
Tun Mahathir berkali-kali telah mencanangkan agar MAGERAN ditubuhkan, kononnya untuk menangani pandemik Covid19, dan kemudiannya juga soal-soal utama yang lain terutamanya keselamatan rakyat.
Kehendak Mahathir itu amatlah tegar, semenjak Muhyiddin berkuasa lagi, sehingga dia sendiri telah membawa cadangannya itu kepada DYMM Agong.
Namun kerajaan menolaknya kerana sedar bahawa MAGERAN akan terus berkuasa melalui Ordinan Darurat, manakala ramai yang berpendapat bahawa Mahathir mempunyai muslihat yang amat membahayakan kestabilan negara.

Sedangkan pelaksanaan Ordinan Darurat tanpa membubarkan kerajaan, inikan pula mengisytiharkan MAGERAN, sebagaimana rakyat pernah lihat sewaktu negara melawan gerila komunis dahulu.
Malahan pada semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969, MAGERAN ditubuhkan untuk menangani keadaan pergaduhan dan pembunuhan antara kaum Melayu dan Cina. Adakah situasi sedemikian relevan pada waktu ini?
Tiada mana-mana negara di dunia yang menubuhkan kerajaan yang bebas daripada dasar demokrasi berparlimen, demi untuk melawan pandemik global Covid19.
Bukan itu sahaja, Mahathir juga mahu dirinya diangkat sebagai Pengarah MAGERAN, yang pastinya, dialah yang akan memerintah negara melalui pendekatan yang lebih ganas dan rakus dan bukan lagi ‘kerajaan pintu istana’ atau ‘tebuk atap’ seperti yang pihak pembangkang gemar laungkan.
Malahan Mahathir sanggup meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Pejuang, kerana MAGERAN lebih penting kepadanya. Apakah muslihat Mahathir sebenarnya?
Sebaliknya apa yang penganalisis lihat ialah MAGERAN hanya akan mewujudkan pemerintahan ‘Diktator’ yang menolak kewujudan urus tadbir melalui demokrasi berparlimen.
Adakah itu yang Mahathir dambakan setelah gagal mengemudi kerajaan PH malah tersingkir daripada parti Bersatu?
Mahathir terus tegar dengan keinginannya untuk memerintah negara, lantas dia mencadangkan pula Majlis Pemulihan Negara yang fungsinya juga beralaskan tugas untuk menangani Covid19, sehingga terbentuk imuniti kelompok serta menyelesaikan isu ekonomi, pendidikan serta politik.
Bagi sesetengah ahli politik dan penganalisis, ia amat bahaya kerana dengan keadaan pandemik Covid19 yang meningkat naik semula sebagaimana dilihat di Amerika Syarikat, Eropah, India, China dan negara-negara kuasa besar yang lain, lambat laun ia akan dijadikan alasan untuk menubuhkan MAGERAN juga.
Sebagaimana kata Mahathir, Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak akan diletakkan di bawah kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada DYMM Agong.
Ahli-ahli majlis akan terdiri daripada pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu negara mengatasi krisis dan pakar pelaburan berpengalaman.
Namun apa yang dilaksanakan oleh TS Muhyiddin terdahulu, dan kini DS Ismail Sabri, MPN tetap berada di bawah kuasa kerajaan, supaya perjalanan urus tadbir negara tetap mengikut lunas-lunas demokrasi berparlimen, bukannya seperti negara sedang menentang komunis. Ia juga jauh berbeza dengan cadangan Mahathir.

Mungkin cadangan penubuhan MPN itu diterima hanyalah sekadar mahu menambat hati Mahathir dan konco-konconya supaya tidak memusuhi kerajaan TS Muhyiddin dan kini DS Ismail Sabri.
Apa yang menarik ialah, Perdana Menteri, DS Ismail Sabri tidak menyerahkan jawatan Pengerusi MPN kepada Mahathir, sebaliknya telah melantik TS Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudikan MPN.
Masakan urusan menguruskan nyawa rakyat yang melayang akibat Covid19 yang secara kasarnya adalah antara 6000-9000 sebulan, diserahkan kepada pemimpin lanjut umur yang juga sudah hampir dengan penghujung hayatnya? Pastinya ia suatu tindakan ‘tidak bijak’ dan ‘tidak relevan.’

Namun nampaknya, DS Anwar Ibrahim juga mendambakan jawatan Pengerusi MPN dan tidak mahu kuasa tersebut jatuh ke tangan Mahathir.
Lantas, PH juga sedar bertapa bahayanya sekiranya kuasa MPN, yang hakikatnya adalah idea Mahathir, diberikan kepada Mahathir sendiri, kerana ia akan berfungsi di luar kuasa kerajaan.
Apa yang dilihat tidak lain lagi selain negara ini akan memberikan kuasa kepada pemerintahan ala ‘diktator’ sebagaimana suatu ketika dahulu.
******
Tinggalkan Jawapan