VIDEO – RAKYAT DIPERDAYA APABILA ORDINAN DARURAT DIBATALKAN TANPA WARTA

Editorial

27 Julai 2021

Sungguh mengejutkan, ketika rakyat yang sedang memerhatikan siaran langsung Sidang Khas Parlimen, melihat Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hassan sekonyong-konyong memaklumkan bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat 2021 yang telah diperkenankan oleh DYMM Agong pada 11 Januari jam 5.29 petang.

Lebih mengejutkan apabila Takiyuddin mengumumkan dengan cara yang amat memusykilkan bahawa ‘pembatalan’ tersebut telah dibuat oleh Kabinet pada 21 Julai 2021, sedangkan pemakluman yang tidak diwartakan dibuat pada 26 Julai 2021.

Dengan pemakluman tersebut, pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 di seluruh negara sudah pun ditamatkan 6 hari sebelum ia dimaklumkan kepada Ahli Parlimen, dan secara tidak rasmi kepada rakyat jelata.

Sehingga hari kini, masih belum ada apa-apa pemakluman rasmi oleh kerajaan dengan mewartakan pembatalan Ordinan Darurat itu.

Terbangkit persoalan, kenapakah pihak menteri Undang-Undang dan kerajaan PN seakan-akan cuba menyembunyikan pembatalan ordinan tersebut?

Adakah sejak dari 21 Julai sehingga pagi 26 Julai, hanya menteri-menteri kabinet dan kerajaan sahaja yang mempunyai pengetahuan bahawa Ordinan Darurat 2021 telah dibatalkan?

Dalam tempoh 6 hari itu, pastinya terdapat ramai daripada kalangan rakyat yang telah dikenakan tindakan undang-undang mengikut Ordinan Darurat itu, misalnya seperti denda tidak mematuhi SOP PKP, ditahan, harta yang disita, penerbitan yang dipadam dan pelbagai yang berkaitan dengan pelanggaran ordinan yang telah dibatalkan itu.

Tidakkah ia merupakan satu kezaliman terhadap rakyat, jika ordinan tersebut dikenakan, tetapi hakikatnya ia telahpun dibatalkan?

Parti UMNO juga merasa amat hairan, mengapakah mereka tidak dimaklumkan, meskipun terdapat ramai MP UMNO dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Sewajarnya pembatalan Ordinan Darurat 2021 hendaklah dimaklumkan secara rasmi dan diwartakan supaya rakyat tahu tentang tindakan undang-undang ke atas mereka apabila mereka didapati melanggar ordinan tersebut.

Sebagaimana kata DS Anwar Ibrahim, pengumuman pembatalan Ordinan Darurat 2021 itu dibuat seperti pengumuman ‘pasar malam’, sedangkan hakikatnya ia membawa dampak yang serius kepada 32 juta rakyat Malaysia.

Menurut penggiat undang-undang Tuan Haniff Khatri, dengan pembatalan Ordinan Darurat 2021, kerajaan PN secara automatisnya kehilangan kuasa eksekutifnya dalam hal mengurus tadbir negara.

Dalam keadaan negara berstatus darurat, DYMM Agong telah memberikan kuasa pentadbiran kepada kerajaan melalui Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Ordinan itu menetapkan Perdana Menteri dan jemaah menteri yang diberikan kuasa eksekutif sebelum Proklamasi Darurat pada 11 Januari tahun ini hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan perundangan.

Ia turut memperuntukkan mana-mana orang yang diberikan fungsi eksekutif oleh undang-undang, hendaklah terus menjalankan fungsi itu.

Lantas, apabila Seksyen 11 ini dimansuhkan maka Malaysia tidak ada kerajaan sehingga 1 Ogos.

Ordinan Darurat hanya dapat dibatalkan dengan salah satu dari dua cara berikut.

  1. Agong membatalkannya dan warta diterbitkan
  2. Sidang Dewan Rakyat mengundi untuk membatalkannya.

Walaupun pengumuman Takiyuddin, tidak ada rekod mengenai pewartaan pembatalan di laman web Jabatan Peguam Negara.

Tegas Haniff, apabila kerajaan membatalkan atau memansuhkan (semua Ordinan Darurat) mulai 21 Julai yang lalu, ia bermakna Seksyen 11 tidak diguna pakai lagi.

Dengan itu juga, pembatalan Ordinan Darurat 2021 telah mewujudkan krisis perlembagaan dan negara tidak mempunyai kerajaan untuk mengurus tadbir negara dari 21 Julai hingga 1 Ogos (1 Ogos adalah tarikh yang diwartakan).

Menurut Haniff, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan kuasa pentadbiran kembali semula kepada Agong.

Adakah Takiyuddin telah memperdayakan sidang dewan, atau hakikatnya kerajaan PN cuba mempertahankan kuasa?

Sebaliknya pembatalan Ordinan Sarurat 2021 memakan diri sendiri, apabila secara automatisnya PN tidak lagi berkuasa sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan?

******

Tinggalkan komen

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑