Editorial
14 April 2023
Peribahasa Melayu “Cakap berdegar-degar tapi tahi tersangkut di gelegar” adalah ditujukan kepada individu yang angkuh dan sombong dengan kekuatannya, tetapi pada malam hari dia tidak berani ke jamban dan memaksa dirinya melepas di gelegar dapur sahaja.”
Hari ini kita lihat, ramai pengkritik menghentam DS Muhammad Sanusi Md Nor kerana keceluparannya lebih hebat daripada pembangunan negeri Kedah.
Celuparnya Sanusi bukanlah sekadar mengkritik agenda kerajaan serta pembangunan yang sedang dilaksanakan, tetapi meleret-leret kepada perkara yang tidak signifikan sehingga menyentuh peribadi tokoh pemimpin yang lain, yang diterjemahkan sebagai musuhnya.
Kerana “Cakap berdegar-degar” itu jugalah Sanusi telah diarahkan oleh mahkamah supaya membayar ganti rugi RM120 ribu kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berhubung kenyataan fitnah, yang mengaitkan Mahfuz dengan isu pemindahan Sport Toto ke kawasan Parlimen Pokok Sena.
Terkini Sanusi berhadapan pula dengan saman fitnah RM10 juta yang dikemukakan oleh PM, DS Anwar Ibrahim.
Adakah MB Kedah itu sengaja mahu mendapatkan populariti, apabila menyerang musuh politiknya dengan kenyataan yang tidak berasas?
Terkini keceluparan Sanusi lagi sekali mendapat perhatian media apabila dia mendakwa bahawa dia dilarang menghadiri sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan.

Malahan Sanusi juga mencanangkan bahawa dia dilarang untuk hadir di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023@ LIMA’23 yang akan berlangsung pada 23 Mei ini.
Walau bagaimanapun TPM, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menolak kenyataan Sanusi itu, kerana kerajaan Persekutuan tidak pernah mengeluarkan surat pekeliling yang melarang MB Kedah itu daripada sebarang acara rasmi kerajaan persekutuan.
Sekiranya benar dakwaan Sanusi itu, maka inilah masanya dia memalukan Kerajaan Persekutuan dengan menyebarkan surat pekeliling berkenaan kepada media.
Sungguh memalukan apabila Sanusi yang celupar tentang perkara yang tidak signifikan untuk pembangunan Kedah, telah menggelabah apabila terbangkit isu konsert liar dan tidak bersopan di hadapan Masjid Zahir Alor Setar.
Kenapa Sanusi tidak bertindak proaktif apabila pengisian program konsert itu amat menjengkelkan kemurnian tempat beribadah dengan lokasi konsert tidak jauh dari Masjid Zahir dan Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.
Inikah jenis Menteri Besar daripada parti yang kononnya berpaksikan agama Islam?
Isu pentadbiran Sanusi ini mula pincang dan kotak-katik semasa dia memandu uji kereta di tengah-tengah kemelut sekatan pergerakan penuh akibat serangan pandemik Covid19.
Kemudian Sanusi telah dikenakan kompaun berhubung kes memandu uji kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Seberang Perai kerana melanggar SOP PKP Covid19.
Kemudian Sanusi dengan celuparnya membangkitkan kemarahan rakyat dengan kenyataan tentang ‘kontena jenazah’ bagi mangsa Covid19, dan meminta sesiapa yang perlukan khidmat kontena mayat itu, dikehendaki memberikan nama.
Sanusi nampaknya telah menghina dan merendah-rendahkan nyawa rakyat, apatah lagi mereka yang terkorban akibat pandemik Covid19.

Kemudian meletup pula isu banjir di Baling yang berpunca daripada pemusnahan ekosistem alam semula jadi apabila hutan yang menjadi kawasan tadahan hujan dimusnahkan dengan tanaman durian.
Tidak perlulah diperdebatkan siapa yang salah, tetapi sebagai Menteri Besar, Sanusi sepatutnya mencari penyelesaian kerana isu pemusnahan hutan itu membawa bencana kepada rakyat dan telah dilaporkan oleh Ahli Parlimen Baling lama sebelum banjir yang telah menenggelamkan kawasan kediaman rakyat itu.
Terkini, Sanusi mendakwa terdapat pihak yang cuba mempengaruhi Sultan Kedah agar dirinya disingkirkan daripada Majlis Kewangan Negara.
Penubuhan Majlis Kewangan Negara adalah tertakluk kepada Perkara 108 (1)(Perlembagaan Persekutuan) dengan wakil negeri dilantik oleh DYMM Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
Lantas kenyataan Sanusi ditanggapi sebagai biadap terhadap DYMM Sultan kerana ia menyarankan bahawa kuasa baginda sebagai Sultan amat mudah dipengaruhi.
Sanusi perlu sedar bahawa Sultan Kedah mempunyai kebijaksanaan malah penasihat baginda adalah Pegawai Undang-Undang Negeri.
Tindakan Sanusi menyatakan ada pihak lain cuba mempengaruhi Sultan Kedah seolah-olah merendah-rendahkan martabat baginda.
Benarlah saranan YAM TMJ supaya Sanusi sewajarnya membawa imej MB bukannya “badut”.
*****
Tinggalkan Jawapan