LEBIH 3000 HADIR HIMPUNAN ‘HENTIKAN PENGANIAYAAN KE ATAS NAJIB RAZAK’ DI WTCKL

Editorial

24 Jan 2022

Semalam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ribuan penyokong telah hadir dalam perhimpunan ‘Hentikan Penganiayaan Ke Atas Najib Razak.’

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia, amat mengkagumkan apabila dihadiri pelbagai kaum dan lapisan masyarakat sejak awal pagi, sebagai sokongan mereka terhadap DS Najib.

Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan program diisi dengan pelbagai ucapan pihak penganjur serta aktivis yang memperjelaskan mengapakah DS Najib ditanggapi sebagai ‘telah dianiaya’.

Para hadirin serta pihak penganjur kelihatan mematuhi SOP pencegahan Covid19 dengan baik apabila kerusi hadirin telah disusun mengikut penjarakan yang disarankan oleh KKM.

Perhimpunan berjalan dengan aman dan pelbagai kaum kelihatan berinteraksi dengan semangat muhibah.

Hakikatnya rakyat terkeliru dengan perkembangan kes yang sedang dibicarakan ke atas Ds Najib Razak, apabila timbul pelbagai bukti baru pendakwaan, seperti kes dana 1MDB yang melibatkan suami bekas Gabenor Bank Negara, bayaran Goldman Sachs kepada pihak tertentu sebagai sogokan, nama-nama yang dirahsiakan oleh pihak Goldman Sachs serta terdapat banyak bukti dalam kes SRC International yang telah disembunyikan daripada pengetahuan pihak pembelaan sebagaimana didakwa oleh peguambela DS Najib.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan terdapat keterangan lanjut yang disembunyikan (suppres), yang tidak diberitahu (kepada) mana-mana pihak sama ada SPRM atau polis.

DS Najib Razak juga pada Oktober lalu telah membuat laporan SPRM terhadap bekas Pengurus Kanan Goldman Sachs, Tim Leisner yang telah mengaku bersalah di mahkamah AS kerana merasuah pegawai 1 MDB serta beberapa pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Menurut Najib, laporan itu bertujuan mendapatkan senarai pegawai yang disogok Leisner berhubung skandal 1MDB, yang dipercayai boleh membersihkan namanya.

Bagaimanapun, kerajaan AS melalui Jabatan Kehakimannya telah mencabar keputusan mahkamah AS dan menghalang nama mereka yang terbabit daripada didedahkan.

Pada masa yang sama, seorang peguam dari Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng telah mengeluarkan kenyataan media mengatakan senarai nama itu adalah ‘bukti ekskulpatori’ yang boleh membersihkan nama DS Najib daripada terlibat dalam penipuan 1MDB.

Anehnya pihak berkuasa Malaysia juga dikatakan cuba menyembunyikan bukti kes pembelaan terhadap DS Najib, yang sungguh mengecewakan rakyat serta sistem keadilan dan kehakiman negara.

Jelaslah terdapat prejudis serta persepsi yang amat mengelirukan dalam kes tuduhan terhadap DS Najib yang boleh diterjemahkan sebagai satu ‘penganiayaan’.

******

Tinggalkan komen

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑