Facebook Twitter LinkedIn Tumblr Pinterest Reddit VKontakte Odnoklassniki Pocket
Editorial
9 Okt 2022
MB Kedah, DS Sanusi Md Nor bersilat gayung apabila isu konsert di hadapan Masjid Zahir Alor Setar tertimpa atas kepalanya, sebagai ketua pentadbir negeri.
Memanglah kesalahan akan ditujah kepada Datok Bandar Alor Setar yang kemudiannya kepada penganjur konsert.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, konsert itu mendapat kebenaran daripada pihak berkaitan, namun, acara hiburan tersebut berlangsung kurang sopan.
Pengisian program itu dilihat tidak wajar tambahan pula lokasinya tidak jauh dari Masjid Zahir dan Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.
Apa juga silat untuk menepis persepsi rakyat tertimpa atas kepada Menteri Besar juga, lebih-lebih lagi Kedah ditadbir oleh parti yang mempertahankan panji Islam.
JIka benarpun tiada lesen dikeluarkan kepada pihak penganjur konsert, kenapakah tidak dipantau ketika pentas didirikan seminggu atau beberapa hari sebelum konsert bermula setelah mereka menjalankan ‘rehearsal’ atau raptai pertunjukan?
Sanusi lebih sibuk dengan isu bola, namun apa yang dilihat mutakhir ini, dia sibuk dengan pertarungan antara pasukan Terengganu (bukan pasukan Kedah pun) dan Johor DT, sehingga mewujudkan perbalahan peribadi dengan TMJ.
Inikah jenis Menteri Besar daripada parti yang kononnya berpaksikan agama Islam.
Hakikatnya prestasi bola sepak pasukan Kedah tetap tidak dipulihkan, sebaliknya hanya menjadi bahan jerit-pekik MB dalam medsos.

Jika hendak melahirkan rasa kesal setelah konsert liar itu tamat, tidak payahlah kerana rakyat melihat ia hanya satu lakonan opera ‘Cina’ yang lewah dengan mitos.
Kalau benar-benar hendak menentang kemungkaran yang mencemarkan nama baik Masjid, pemimpin Islam, serta kerajaan Islam, mereka hendaklah menentangnya sejak awal lagi.
Namun Sanusi lebih sibuk dengan bola sepak sehingga gambarnya melondehkan baju di tengah padang tertular di FB, mungkin untuk mencanangkan bahawa dia berdiri sama tinggi dengan anak-anak muda ‘kaki bola’. Walau bagaimanapun tidaklah dapat dipastikan sama ada gambar itu tulen atau superimposed.

Isu pentadbiran Sanusi ini mula pincang dan kotak-katik semasa dia memandu uji kereta di tengah-tengah kemelut sekatan pergerakan penuh akibat serangan pandemik Covid19, sehingga membawa kepada siasatan polis.

Kemudian meletup pula isu banjir di Baling yang berpunca daripada pemusnahan ekosistem alam semula jadi apabila hutan yang menjadi kawasan tadahan hujan dimusnahkan dengan tanaman durian.
Tidak perlulah diperdebatkan siapa yang salah, tetapi sebagai Menteri Besar, Sanusi sepatutnya mencari penyelesaian kerana isu pemusnahan hutan itu membawa bencana kepada rakyat dan telah dilaporkan oleh Ahli Parlimen Baling lama sebelum banjir yang telah menenggelamkan kawasan kediaman rakyat itu.
*****
Tinggalkan Jawapan