Ironinya Muhyiddin tidak pernah mahu kes dana 1MDB berjumlah RM1.04 juta yang masuk ke akaun Hakim Nazlan Ghazali, disegerakan. Lebih menjengkelkan Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang telah menjatuhi hukuman ‘bersalah’ ke atas DS Najib, sedangkan di sebalik tabir terdapat ‘konflik kepentingannya’ dalam kes 1MDB. Muhyiddin mahupun Mahathir tidak pernah mendesak SPRM mahupun pihak pendakwaraya supaya mengheret bekas Gabenor Bank Negara Zety Akhtar ke mahkamah kerana suaminya Tawfiq Ayman di Singapura telah menerima dana 1MDB daripada Jho Low.
FBI TIDAK DAKWA NAJIB TERLIBAT
Seorang pegawai FBI dalam testimoninya di Mahkamah US memberitahu bahawa sejumlah AS$756 juta berkaitan 1MDB telah dipindahkan ke akaun DS Najib. Tetapi yang paling aneh, apabila bekas Peguam Negara PH, Tommy Thomas telah mengisytiharkan bahawa "adalah di bawah pengetahuan umum bahawa Zeti dan suaminya memudahkan Jho Low dalam 1MDB". Namun penyiasatan ke atas bekas Gabenor itu dan keluarganya nampaknya berjalan pada kadar yang sangat perlahan. Ia membuktikan bahawa isu ini disembunyikan daripada umum selama bertahun-tahun sehingga ia mula dibangkitkan secara terbuka pada penghujung 2020. Namun itu tidak membawa apa-apa makna untuk mendakwa DS Najib bersalah, kerana sesiapa sahaja boleh memasukkan wang ke akaun anda, apatah lagi sekiranya akaun bank anda itu adalah di bawah pengetahuan pihak yang berkonspirasi untuk menjatuhkan anda .
VIDEO – RAJA PETRA DAKWA ADA MAFIA DALAM PDRM BUKIT AMAN
Pihak cungkils.com rasa rakyat seluruh negara tidak terkejut dengan dakwaan Raja Petra Kamaruddin sebagaimana tersiar dalam YouTube dan telah diulas oleh MYKMU bahawa terdapat ‘Mafia Polis di Bukit Aman’. Hakikatnya isu berkaitan juga terlihat pada kenyataan bekas Ketua Polis Negara TS Musa Hassan yang mengkritik tentang tindakan pihak berkuasa Malaysia melengah-lengahkan siasatan ke atas Tawfiq Ayman di Singapura yang dikaitkan dengan kes rasuah 1MDB. Bukan itu sahaja, sebagaimana didedahkan oleh seorang lagi bekas Ketua Polis Negara TS Hamid Bador, bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, mereka semuanya bersetuju bahawa terdapat campurtangan politik dalam badan perundangan dan kehakiman negara.
SYABAS BLOG ‘ABITW’ KERANA BERANI KRITIK KUASA GHAIB MAHATHIR DALAM KERAJAAN PN SEKARANG
Kami mengucapkan syabas kepada blog TBITW kerana berani menyerang konco-konco Mahathir yang masih berleluasa dalam kerajaan PN sedia ada yang mungkin ramai tidak menyedarinya. Lebih daripada itu, kuasa ghaib Mahathir ini telah cuba menyekat dan melengah-lengahkan siasatan ke atas bekas Gabenor BNM, Zeti Akhtar Aziz, dan suaminya Tawfiq Aiman yang telah menerima sogokan dana 1MDB sebagaimana didedahkan oleh kerajaan Singapura.
KENAPA LENGAHKAN SIASATAN KE ATAS TAWFIQ AYMAN?
Sejak Mac 2021, kes penglibatan suami bekas Gabenor BNM menjadi bahan media. Namun hakikatnya kerajaan PH telahpun mengetahui kes penglibatan Tawfiq Ayman sejak hujung tahun 2018 lagi setelah mereka berkuasa. Timbul persoalan, kenapakah kes DSN begitu cepat mereka hebohkan dan gerakkan siasatan sedangkan kes yang melibatkan bekas Gabenor BNM seakan-akan cuba disembunyikan. Kini siasatan ke atas Tawfiq Ayman, sebagaimana dibidas oleh bekas Ketua Polis Negara, TS Musa Hassan, seakan-akan sengaja dilengah-lengahkan oleh pihak polis.