TUN MAHATHIR ADALAH PUNCA KEMELUT POLITIK NEGARA

Bagi pandangan umum ia adalah satu kemelut politik yang amat menjengkelkan apabila ekonomi negara terkesan dengan bursa saham yang jatuh merudum serta pelabur asing yang ‘lari’ ke negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam yang diterjemahkan sebagai lebih stabil dari aspek politik. Namun apa yang memperkukuhkan titah baginda DYMM SPB Yang diPetuan Agong serta persepsi rakyat ialah tindakan Mahathir meninggalkan parti Pejuang yang kononnya ditubuhkan untuk membela kaum Melayu-Peribumi serta agama Islam.

TUN MAHATHIR, MAHUPUN PEJUANG DAN GTA TIDAK LAGI RELEVAN DAN TERANG-TERANGAN DITOLAK RAKYAT

Kekalahan GTA bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya, telah dijangka, meskipun Mahathir melaungkan kegoannya tentang kekuatan GTA dan sokongan pengundi Melayu. Perkara yang mengejutkan ialah apabila skala kekalahan Pejuang dan GTA adalah sesuatu yang sungguh memalukan meskipun diketuai oleh Mahathir yang dahulunya dijulang tinggi melangit. Dengan penilaian dan telahan masa depannya yang amat kabur, amatlah tidak relevan untuk pemimpin muda dalam GTA mempertaruhkan masa depan mereka memperjuangkan kesinambungan hayat GTA mahupun Pejuang.

MEREKA TIDAK SETIA PADA PM, TETAPI TIDAK PULA MAHU PARLIMEN DIBUBARKAN

Tanpa mahu membicarakan soal ‘Langkah Sheraton’, soal khianat-mengkhianati dalam PH, soal PN mempergunakan Ordinan Darurat, soal menjarah wang negara RM600 bilion untuk memulihkan negara kononnya, soal pemimpin tua yang sudah hilang kudrat dan dijadikan boneka politik, soal ‘PKP separuh masak’ yang mengurung rakyat dan melumpuhkan ekonomi mereka, serta pelbagai lagi kegenjotan kerajaan ‘adhoc’ sehingga membawa kepada tiga kali perubahan PM dalam sepenggal, namun soal asas ialah kerajaan campuran PN, mahupun PH sebelumnya adalah tidak stabil dan amat goyah. Masakan ia boleh stabil sekiranya kabinet terdiri daripada kalangan yang saling bermusuhan, dan mempunyai  nakhoda masing-masing dengan hala tuju yang berbeza. Bayangkanlah bagaimana genjot dan bobroknya pentadbiran negara, sekiranya Pengerusi PN mengisytiharkan rakan pentadbiran negara iaitu UMNO sebagai ‘musuh utamanya.’

MAHATHIR! JANGAN HINA PENGUNDI MELAYU

Mahathir harus sedar bahawa majoriti orang Melayu kembali kepada UMNO kerana mereka telah menyedari kesilapan mereka mengundi PH pada pada PRU14.Kaum Melayu juga sedar tentang kronisme Mahathir yang lebih mengutamakankan kapitalis bangsa Cina, dan nepotismenya yang memetingkan kekayaan kaum keluarganya, malahan kaum Melayu tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama semasa PRU14 kerana terpedaya dengan pembohongan, hasutan, fitnah dan janji manis manifesto yang bukan kitab ‘Bible’ seperti diperakui Mahathir. Jika BR1M dianggap sebagai sogokan wang kepada rakyat maka Mahathir juga hendaklah merujuk kepada kerajaan United Kingdom yang memperuntukkan wang bantuan mingguan kepada rakyat miskin dan begitu juga dengan kerajaan Singapura.

BUATLAH PRU15 MASA BANJIR ATAU SELEPAS BANJIR, BN TETAP MENJADI PILIHAN MAJORITI RAKYAT

Apa-apa pun, baik kerajaan ‘tebuk atap’, ‘kerajaan katak’ atau ‘kerajaan gagal’ tidakkah mesej yang cuba disampaikan ialah supaya kerajaan ini dibubarkan dan kerajaan yang dibina oleh prinsip dan doktrin demokrasi ditegakkan dengan segera? Sebagaimana kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, TS Abdul Rashid Abdul Rahman, kerajaan ‘tebuk atap’ yang didirikan oleh TS Muhyiddin Yassin melalui komplot Langkah Sheraton, tidak diiktiraf dunia kerana ia bukan ditegakkan melalui amalan demokrasi iaitu kerajaan pilihan rakyat.

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: