Editorial
26 Mei 2023
PENTAKSUB politik yang terlalu mudah mengkafirkan umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, adalah hakikatnya masih mentah tentang Islam, ajaran Rasulullah SAW dan lupa sejarah.
Kisah panglima Islam, Usamah ibn Zaid ibn Haritsah yang amat dikasihi Rasulullah SAW, yang membunuh seorang tentera kafir meskipun simati telah mengucap dua kalimah syahadah, seharusnya menjadi pengajaran kepada pentaksub ini semua.

Tindakan Usamah amat dimurkai oleh baginda SAW sehingga baginda bersabda “Nahnu nahkum bi al-dhawahir, wa Allah yatawalla al-sarair (Maksudnya : Kita hanya menghukum apa yang tampak dan Allah SWT menghukum apa yang tersimpan di hati orang).
Rasulullah SAW bersabda kepada Usamah, “Sudahkah engkau belah dadanya sehingga engkau tahu apa yang ada di hatinya? Apa yang engkau lakukan adalah salah.”
Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa apabila seseorang itu bersyahadah, maka dia sudah menjadi saudara muslimin. Perkara hati bukan urusan manusia, melainkan urusan Allah.
Amatlah bertentangan dengan ajaran Islam apabila pemimpin parti UMNO, dikafirkan oleh pentaksub yang jahil dan menjual agama untuk propaganda politik dangkal dan murahan.
Parti yang kononnya berteraskan agama Islam, pernah mempromosikan bahawa mengundi PAS adalah tiket untuk ke syurga. Malahan pernah juga mendakwa, pemimpin Islam yang itu dan ini adalah ahli neraka.


Parti sebegini yang menggunakan agama untuk menipu dan memperbodohkan rakyat, sepatutnya diharamkan oleh undang-undang pertubuhan mahupun Pendaftar Pertubuhan seperti RoS.
Bagi penyokong yang taksub dan terasuk pula, mereka lupa bahawa UMNO telah sejak sekian lama tertegak atas panji Islam, mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, dan mempertahankan hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi payung agama Islam.

Dalam kes terkini, beberapa akaun di FB yang tidak diketahui pemiliknya telah memuat naik gambar Setiausaha Agung UMNO, DS Ahmad Maslan yang ditukar wajahnya menjadi khinzir dengan tulisan ‘kafir’ di atasnya.
Apa yang mencelarukan pemikiran pentaksub ini adalah tindakan Ahmad Maslan yang meminta pengundi pada PRN yang akan datang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan, demi kestabilan politik dan ekonomi negara.Malahan penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah dengan restu DYMM SPBYDP Agong.

Gejala politik sempit beginilah yang menjadi modal politik bagi golongan yang menjual agama, menggunakan isu ‘kafir-mengkafir, dosa-pahala, syurga-neraka dan, halal-haram’, sebagai propaganda untuk rasisme yang ekstrem bagi mendapatkan sokongan pentaksub.
Hanya setelah PRU15, UMNO bertindak dan mengambil keputusan untuk meninggalkan PN-PAS setelah kerjasama ‘Perpaduan Ummah UMNO-PAS’ ditolak, untuk menjalin pentadbiran negara dengan PH.
UMNO tidak dapat lagi bekerjasama dengan Bersatu kerana pengkhianatan Bersatu ditanggapi sebagai ‘musuh dalam selimut’ sebagaimana telah dibuktikan semasa PRN Sabah.
Sebelum ini baik PAS yang dipimpin oleh TS Abdul Hadi Awang mahupun Bersatu yang dipimpin oleh TS Muhyiddin Yassin, telahpun menjalin kerjasama dengan PH meskipun dalam PH terdapat DAP (parti cauvinis Cina).
Namun UMNO tidak pernah mengkafirkan sesiapa meskipun mereka yang didakwa sebagai ulama itu berpelukan dengan ghairahnya bersama pemimpin utama DAP.
Adakah apa sahaja yang dibuat oleh PAS itu halal, sebaliknya apa yang dibuat oleh orang lain menjadi haram?

Muhyiddin melihat sokongan UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan sebagai ‘luar-biasa’, namun apakah yang luar biasa jika dia sendiri pernah menjadi rakan sekongkol kepada gabungan PH?
Hakikatnya, yang luar biasa adalah apabila dia ‘melutut’ pada Lim Kit Siang untuk mendapatkan sokongan DAP supaya dia diangkat menjadi PM.

Juga, amatlah luar biasa apabila dahulu dia sanggup menolak Tun Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu dan merangkap Perdana Menteri, dan kemudiannya memporak-perandakan kedudukan politik negara dengan ‘Langkah Sheraton’.
Bukan setakat itu sahaja, malahan Parlimen ‘dimandulkan’ melalui Ordinan Darurat, dan dana negara RM600 bilion dipergunakan tanpa ada persoalan daripada Dewan Rakyat.
Tidak pernah dalam sejarah, rakyat sedemikian menderita dan ekonomi negara merudum tercorot berbanding dengan negara-negara serantau.
Rakyat terpaksa mengibarkan bendera putih, dan angka membunuh diri dalam kalangan rakyat yang menderita kerana kesempitan ekonomi melonjak melambung.
Itu semua, barulah “luar biasa”.
******
Tinggalkan Jawapan