Editorial
24 Mei 2023
ISU gambar bekas Presiden UMNO di Dewan Merdeka yang didakwa ‘hilang’ oleh DS Hishamuddin Onn, diterjemahkan sebagai ‘tiada modal’ untuk menyerang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Sembrong itu yang telah digantung keahliannya dalam UMNO selama enam tahun, nampaknya seperti mencari-cari kesalahan besar UMNO kerana telah mengambil langkah proaktif untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB DS Anwar Ibrahim.

Hakikatnya rakyat serta akar umbi UMNO seharusnya sedar dan fahami bahawa tindakan UMNO menyertai gabungan kerajaan pimpinan Anwar adalah lebih baik daripada berada bersama kepimpinan pihak yang ‘belot’ dan ‘khianat’ terhadap UMNO.
Lebih bahaya bersama dengan musuh dalam selimut daripada berhadapan dengan musuh yang mahu bekerjasama membina negara.
Sesiapa sahaja, baik Hishamuddin mahupun Muhyiddin Yassin serta rakyat dan akar umbi UMNO, harus sedar bahawa Anwar pernah menjadi mangsa penganiayaan kuasa politik ‘diktator’ yang amat rakus menjarah kekayaan negara demi kepentingan nepotisme dan kronisme.
Tuduhan bahawa gambar-gambar bekas pemimpin UMNO ‘dihilangkan’ pada Ahad 20 Mei lalu, sebagai suatu tohmahan murahan kerana gambar-gambar tersebut hanya dipasang oleh pihak UMNO sendiri setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diadakan.
Hendaklah difahami bahawa apa yang sedang berlangsung ketika gambar-gambar itu diturunkan bukanlah PAU, tetapi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan membidas kenyataan Hishamuddin dengan menjelaskan bahawa gambar presiden-presiden UMNO hanya akan dipasang oleh perunding kita hanya setiap kali PAU diadakan.

Sumali menjelaskan, Dewan Merdeka bukan hanya untuk PAU yang diadakan setahun sekali sebaliknya terdapat banyak lagi pihak yang menyewa Dewan Merdeka untuk tujuan pelbagai program dan majlis termasuk majlis perkahwinan.
Antara lain, ketika perhimpunan Muafakat Nasional (MN) diadakan untuk menjalin kerjasama UMNO-PAS, gambar-gambar tersebut memang diturunkan. Tapi tidak pula menjadi kritikan Hishamuddin.
Sewajarnya pihak yang ‘mencari-cari’ apa jua salah UMNO untuk diserang, hendaklah sedar dan berasa terhormat apabila konvensyen kerajaan pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, iaitu DS Anwar Ibrahim yang telah lebih 20 tahun tidak menjejakkan kakinya di dewan itu, kini hadir sebagai Perdana Menteri yang mencairkan permusuhan tradisi daripada parti lain terhadap UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki juga membidas kritikan dangkal Hishamuddin kerana “Tidak ada sebarang wajah potret pemimpin ataupun hiasan bersifat kekal dalam Dewan Merdeka.”

Asyraf Wajdi menjelaskan, Dewan Merdeka adalah milik Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang terbuka untuk penyewaan kepada orang ramai dan mana-mana organisasi yang ingin menganjurkan apa juga bentuk program, maka mereka bebas menentukan tentang ‘dekorasi dalaman’ dewan itu.
Tidak ada langsung tindakan untuk menghilangkan mana-mana potret bekas pemimpin UMNO kerana dewan itu bebas meletakkan potret siapa juga oleh pihak penyewa, dan akan dipamerkan kembali ketika PAU diadakan.
Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa pemasangan gambar bekas pemimpin UMNO semuanya adalah bergantung pada cita rasa dan kehendak penganjur yang mahu menjalankan sesuatu majlis.
Dengan nada sinis Asyraf menyatakan mungkin ada pemimpin yang sudah lama tidak masuk ke Dewan Merdeka sehingga menyebabkan mereka membuat dakwaan sedemikian.
Hakikatnya UMNO tidak pernah melupakan jasa besar semua bekas presidennya.
*****
Tinggalkan Jawapan