MAHATHIR TINGGALKAN GTA SETELAH PECAH-BELAHKAN KEUTUHAN MELAYU MELALUI BERSATU DAN PEJUANG

Editorial

13 Mei 2023

SETELAH Tun Mahathir gagal ‘menguburkan’ UMNO, parti utama kaum Melayu, sebagaimana yang dia sering laungkan ketika mengepalai PPBM (Bersatu), dia telah menubuhkan pula Pejuang, dan kemudiannya GTA (Gerakan Tanah Air) dan terkini dia tinggalkan GTA dan tubuhkan pula ‘Proklamasi Melayu’.

Apakah dampak kepada semua penubuhan ini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah agenda pemecahan keutuhan politik kaum Melayu, sebagaimana menjadi doktrin pihak penjajah dahulu iaitu ‘divide and rule’ atau ‘pecah dan perintah’.

Setelah Mahathir ‘ditendang’ keluar daripada Bersatu, apabila dia dilihat sebagai ‘boneka’ parti cauvinis Cina sebagaimana dia perakui, Mahathir telah menubuhkan pula parti Pejuang, atas retorik untuk ‘memperjuangkan hak Melayu’ juga.

Namun setelah gagal dalam PRN Johor, meskipun sebelumnya dia dengan penuh keyakinan percaya Pejuang akan dapat menarik sokongan kaum Melayu-Johor, Pejuang telah kalah 100% melalui calon-calon tangkap-muat di PRN Johor itu.

Bagaimanakah Mahathir hendak menyatukan tekad, keutuhan, hak dan kedudukan Melayu, jika telah banyak parti Melayu yang dia tubuhkan dan kemudian dijahanamkan?

Jika banyak parti Melayu ditubuhkan melalui parti-parti serpihan, maka akan lebih semaraklah perbalahan dalam kalangan kaum Melayu.

Semasa Mahathir menendang keluar DS Anwar Ibrahim daripada pentas politik UMNO pada 1998, PKR telah ditubuhkan.

Meskipun PKR bukan parti yang berasaskan Melayu, namun sedikit sebanyak penyokong parti Melayu UMNO telah berpecah, bukan kerana mereka bencikan UMNO, tetapi kerana mereka bencikan kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

Setelah kalah di PRU15, Pejuang yang menjadi komponen GTA (Gerakan Tanah Air) dan diasaskan oleh Mahathir sendiri telah tersungkur dengan 125 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, termasuk kerusi Parlimen Langkawi yang ditandingi Mahathir sebagai penyandang, malah dia telah hilang wang deposit.

Kehilangan wang deposit diterjemahkan sebagai kekalahan teruk dan hanya mendapat sokongan kurang daripada 10% pengundi.

Lantas, Pejuang sendiri yang dipimpin oleh anaknya Mukhriz Mahathir (bukan anak orang lain) telah meninggalkan GTA kerana GTA tidak memberi apa-apa kesan untuk menarik sokongan kaum Melayu.

Kerana marahkan Pejuang yang telah meninggalkan GTA, Mahathir sendiri berkonflik dengan Mukhriz, dan dia sendiri telah membuat keputusan meninggalkan Pejuang.

Jelaslah di sini parasit yang merosakkan parti yang ditubuhkannya, adalah dirinya sendiri, sebagaimana berlaku pada UMNO yang telah banyak berjasa mengangkat dirinya di persada politik negara.

Terkini, setelah terperosok dan tunggang-langgang dengan parti yang ditubuhnya sendiri, dan berjaya memecah-belahkan kaum Melayu, dia meninggalkan pula GTA setelah meninggalkan Pejuang, untuk memperkasakan pula ‘Proklamasi Melayu’.

Antara lain, ‘Proklamasi Melayu’ mendukung matlamat untuk mempertahankan hak Melayu misalnya tanah milik kaum Melayu supaya tidak dijual.

Namun ramai yang bertanya, apakah Mahathir buat ketika dia berkuasa apabila dia menjual lapangan lumba kuda di tengah-tengah kota Kuala Lumpur, dan kepada siapakah yang dia jual?

Siapakah kontraktor dan pihak yang lahap mengisi tembolok mereka melalui projek ‘Menara Berkembar Petronas’?

Dimanakah kedudukan Bahasa Melayu, dan Bahasa baku Melayu sebagaimana yang diperjuangkan oleh DS Anwar Ibrahim sebelum beliau ditendang Mahathir pada 1998.

Lihat sahaja apa yang berlaku di ‘Cyberjaya’ ciptaan Mahathir ketika dia berkuasa sebagai PM ke-4; kosa kata ‘Cyberjaya’ sendiri telah melanggar sistem fonemik Melayu yang diasaskan oleh DBP.

Sepatutnya ‘Siberjaya’ bukan ‘Cyberjaya’! Tidak ada dalam sistem fonemik Melayu bagi fonem ‘Cy’! Lantas ini adalah pencabulan Bahasa Melayu melalui agenda yang halus dan tersembunyi.

Bagaimanakah orang begini boleh diharapkan untuk memperjuangkan hak Melayu sedang Bahasa Melayu sendiri diabaikannya?

Bagaimana pula dengan hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kaum Melayu serta agama bangsa Melayu di Tanah Melayu ini?

Apa yang Mahathir telah buat dalam ‘Isu Perlembagaan’? Adakah itu yang dinamakan perjuangan mengangkat ‘Proklamasi Melayu’?

Siapakah yang menerajui kerajaan ketika isu ICERD dan Statut Rom membangkitkan kemarahan kaum Melayu kerana ratifikasi kedua-dua dasar global itu akan melenyapkan kuasa Raja-Raja Melayu?

Di manakah Mahathir ketika hampir 1.9 juta rakyat Melayu berhimpun di Dataran Merdeka menentang ICERD dan Statut Rom itu?

Menentang ratifikasi ICERD dan Statut Rom adalah usaha jitu kaum Melayu mempertahankan ‘Proklamasi Melayu’, tetapi apa yang Mahathir buat?

Jika Mahathir terus mahu menjadi musuh dalam selimut kapada kaum Melayu, lebih baiklah Mahathir terus daftarkan diri menjadi ahli parti ‘cauvinis Cina’ dan usahlah hipokrit menjadi pejuang kaum Melayu.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: