Editorial
11 Mei 2023
Pertemuan Presiden PAS, TS Abdul Hadi Awang dengan Tun Dr Mahathir pada 3 Mei lalu banyak membangkitkan persoalan.
Adakah Abdul Hadi sengaja tidak sedar tentang muslihat dan retorik Mahathir untuk mengemis semula sokongan kaum Melayu melalui ‘Proklamasi Melayu’ setelah ‘Kongres Maruah Melayu’ tempoh hari menjadi ‘Kongres Mengutuk Melayu’ bagi mewajarkan kerjasama Mahathir-DAP semasa diangkat sebagai PM ke-7?
Apabila dia berkuasa, Mahathir menjerut leher kaum Melayu, tetapi apabila hilang kuasa, dia mula gelabah dan berlagak melutut semula kepada kaum peribumi yang menjadi majoriti komposisi kaum di Tanah Melayu ini.
Patutlah ketika dia berkuasa, DS Anwar Ibrahim tidak mahu berada dalam kabinetnya, pastinya kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin hipokrit sedemikian.

Abdul Hadi juga mungkin sudah lupa tentang ‘Tragedi Memali’ yang meragut nyawa orang Melayu yang cuba mempertahankan ‘guru agama’ mereka, dan PAS melihat mereka sebagai ‘syuhada’.
Sebaliknya Mahathir menterjemahkan kematian mereka sebagai ‘mati katak’.
Lantas dimanakah letaknya ‘Proklamasi Melayu’ sedangkan dalam hidup manusia Melayu, proklamasi mereka terhadap akhirat adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan duniawi.
Banyaklah lagi kemelut survival Melayu yang dicetuskan oleh Mahathir, dan amat disedari oleh Abdul Hadi. Namun kenapa pada 3 Mei lalu Presiden PAS itu masih mahu mengadap Mahathir?

Lantas timbullah polemik bahawa Presiden PPBM (Bersatu) sudah ‘muflis’ untuk menghulurkan dana politik kepada PAS setelah akaun dibekukan dan kemudiannya disita oleh SPRM kerana kaitannya dengan kes rasuah.
Muhyiddin kini nampaknya terkial-kial keseorangan seperti ‘habis madu sepah dibuang’.

TS Muhyiddin pula memberi persepsi bahawa PAS sudah terperangkap dengan Mahathir apabila menandatangani ‘Proklamasi Melayu’ itu.
Dia telah mengesahkan bahawa pertemuan Abdul Hadi itu adalah tanpa pengetahuannya dan tidak dimaklumkan.
Kata Muhyiddin, “PAS sudah terperangkap, dan apabila sudah terperangkap, dia akan kata ‘bohong’, dia akan kata tidak, dia akan nafikan, dan itulah yang biasa berlaku dalam PAS.”
Sebelumnya orang kuat Muhyiddin ‘Hamzah Zainuddin’ telah mengadap Tun Daim yang rakyat tahu kedudukannya sebagai kleptokrat terkaya Melayu.
Kini tanpa mengajak Muhyiddin bersama, Abdul Hadi mengadap pula Mahathir atas alasan ‘Proklamasi Melayu’ yang hanya terbangkit ketika Mahathir sudah hilang kuasa dan pengaruh dalam kalangan kaum Melayu.
Sebagaimana kenyataan Datok Puad Zakarshi, PAS dan Bersatu akan berpisah ‘angkara’ Mahathir, malahan Mahathir pernah melabelkan Muhyiddin sebagai pengkhianat.
‘Proklamasi Orang Melayu’ rekayasa Mahathir nampaknya tiba-tiba sahaja menjadi keutamaan Abdul Hadi sedangkan dahulu dia bermati-matian menolak perjuangan Islam terhadap ‘nasionalisme’ Melayu bagi mewajarkan penentangannya terhadap perjuangan UMNO.
Kehadiran Abdul Hadi menandatangi ‘Proklamasi Melayu’ itu dibuat tanpa kehadirian Muhyiddin Yassin dan orang kuatnya DS Hamzah Zainudin.
Kata Datok Puad, “PAS tandatangani proklamasi itu. Beberapa pemimpin Bersatu juga tandatangan. Kenapa Muhyiddin dan Hamzah tidak tandatangani?
“PAS-Umno berpisah kerana Muhyiddin. Kali ini PAS-Bersatu akan berpisah kerana Tun M,” tambah Puad lagi.
Proklamasi ciptaan Mahathir itu menimbulkan beberapa spekulasi termasuk dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) bakal berpecah susulan pembabitan Presiden PAS dengan proklamasi terbabit, selain ia didakwa usaha memancing undi Melayu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Manakala bekas panglima PAS dahulu yang kini bersama dengan AMANAH, merangkap Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menterjemahkan kesepakatan Abdul Hadi-Mahathir melalui agenda ‘Proklamasi Melayu’ sebagai ‘Kesepakatan Ahzab’ untuk terus memporak-perandakan negara dengan membangkitkan sentimen kaum Melayu.
Khalid menterjemahkannya sebagai ‘Kesepakatan Ahzab’ kerana kesepakatan itu akan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas dan usaha yang sedang giat dijalankan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara, ketika dunia di ambang krisis ekonomi, terjejas teruk.
Pada pandangan Khalid, kumpulan itu tidak kisah kesan tindakan mereka kerana Kesepakatan Ahzab berkenaan hanya mementingkan kuasa.
Hakikatnya ketika Mahathir berkuasa sebagai PM ke-7, tiada apa-apa yang bermakna yang telah dia lakukan untuk membantu dan memperjuangkan hak kaum Melayu.

Kini, demi kepentingan bersama dan keinginan berkuasa, musuh ketat yang pernah dilabelkan sebagai munafikun bertukar menjadi kawan.
******
Tinggalkan Jawapan