Editorial
1 Mei 2023
Nampaknya sekiranya Dr Mahathir bukan hipokrit maka dia hanyalah beretorik mahu kembalikan ‘kuasa Melayu-Bumiputera sebagai teras pentadbiran negara’ sebagaimana tersiar dalam media arus perdana semalam 30 April 2023.

Rakyat masih ingat lagi bagaimana pada 2003 apabila Mahathir meletakkan jawatannya sebagai PM kerana pihak penganalisis politiknya telah mendapati sokongan kaum Melayu terhadap Mahathir telah jatuh merosot.
Lantas Mahathir mencadangkan Tun Abdullah Badawi sebagai pengganti.
Namun kemudiannya ramai yang melihat bahawa Mahathir sesungguhnya mahu menjadikan Tun Abdullah sebagai bonekanya dalam banyak urusan kronismenya yang masih belum selesai.
Bukan itu sahaja, Mahathir mahu Tun Abdullah mengangkat anaknya sebagai Ketua Pemuda UMNO, dengan strategi kemudiannya untuk menaiki tangga sebagai Perdana Menteri.
Adakah kerana dia tidak dapat memperbodohkan kaum bukan-Melayu, maka Mahathir lebih suka pemimpin Melayu yang boleh dijadikan keldainya untuk memimpin negara?
Namun Tun Abdullah tidak sebagaimana mudahnya diperbodohkan oleh Mahathir.
Pada hakikatnya rakyat amat gembira apabila Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, dan manifestasi kegembiraan rakyat terlihat pada keputusan PRU11 (2004) apabila BN telah memenangi 90.4% kerusi parlimen setelah UMNO berjaya menguasai 109, MCA 31, Gerakan 10, MIC 9, dan parti komponen BN yang lain 39.
Keputusan PRU11 itu menunjukkan kaum Melayu-Bumiputera telah menolak Mahathir serta popularitinya yang hanya dimainkan oleh media yang menjadi kroninya dan suka Tun Abdullah mengambil alih.

Malangnya walaupun Mahathir tidak lagi berkuasa, dia masih mahu memperkukuhkan kedudukan legasinya melalui anaknya Mukhriz dan mahu mengangkat anaknya itu menerajui UMNO dan seterusnya dijulang sebagai PM melalui arahannya kepada Tun Abdullah.
Buat langkah pertama, Mahathir mahu Mukhriz diangkat sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Namun malangnya bagi Mahathir apabila kehadiran Khairy Jamaluddin (KJ) yang diterjemahkan sebagai pemimpin muda intelektual UMNO telah membantutkan segala harapan Mahathir, apatah lagi karisme anaknya Mukhriz sebagai pemimpin politik dilihat lembab.
Situasi harapan dan percaturan politik Mahathir, bertambah kacau dan malap apabila KJ adalah menantu Tun Abdullah.
Dari situlah bermulanya konflik Mahathir dengan Tun Abdullah dan akhirnya dengan sikap pendendam dan diktator yang amat tebal dalam dirinya, Mahathir mula menyusun strateginya untuk ‘membunuh’ kerjaya politik Tun Abdullah.
Antara strategi jahat Mahathir sebagaimana diperakui oleh Tun Abdullah adalah menghasut kaum Cina Pulau Pinang supaya menentang UMNO-BN, sehingga wujudnya tsunami Cina pada PRU12 (2008) untuk memusnahkan kubu kuat Tun Abdullah di negeri itu.
Justeru di manakah letaknya niat suci Mahathir yang mahu perjuangkan ‘muafakat Melayu-Bumiputera sebagai pentadbir negara’ kecuali hipokrasi dan retorik politik dangkal semata-mata?
Kesan hasutan Mahathir ke atas kaum Cina Pulau Pinang supaya menolak BN, pada PRU12 Mac 2008, BN telah kehilangan lebih 30% daripada apa yang telah dimenangi pada PRU11.
Itulah kali pertama dalam sejarah BN gagal untuk memperolehi majoriti dua pertiga kerusi parlimen.

Undi kaum Melayu terhadap UMNO merosot 37%, undi kaum Cina terhadap MCA merosot 52%, undi kaum Cina terhadap Gerakan merosot 80%.
Data analisis menunjukkan sejumlah besar sokongan pengundi Cina terhadap MCA dan Gerakan telah beralih kepada DAP yang dipersepsikan oleh majoriti kaum Melayu sebagai musuh Melayu-Islam.
Bukan itu sahaja, lima buah negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah jatuh ke tangan pembangkang.
Jelaslah, kempen hasutan Mahathir supaya pengundi Cina belot pada BN, dan hasutannya supaya kaum Melayu sendiri tidak memilih BN, telah berjaya.
Mahathir pada hakikatnya semasa berkuasa 22 tahun, tidak membawa kebaikan yang bermakna kepada rakyat Melayu-Bumiputera kecuali pembangunan fizikal dan kekayaan sebilangan kroni dan kaum keluarganya, sedangkan perkara-perkara lain hanyalah lebih kepada retorik dan ilusi politik belaka.
Mahathirlah yang memulakan tradisi penswastaan yang menjarah wang rakyat dan menjerut leher rakyat, sebaliknya hanya memberi laba kepada kroninya.
Sejak dia memfitnah PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, Mahathir terus merosakkan reputasi semua pemimpin Melayu-Bumiputera lain yang berada di sampingnya; Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Badawi, DS Najib Razak, DS Anwar Ibrahim, YM Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas yang semuanya menolak untuk dijadikan bonekanya.
Mahathir juga berkonflik dengan Raja-Raja Melayu.

Kemudiannya DAP telah mempergunakan Mahathir untuk memperkosa hak kaum Melayu-Bumiputera yang terlihat semasa dia menjadi PM 22 bulan sebagaimana prinsip bangsa DAP ‘Use Malay to screw the Malays’.
Daripada komposisi kerusi parlimen PH pimpinan Mahathir dengan 64 Bukan-Melayu, dan hanya 40 kerusi parlimen Melayu, adakah PH boleh dipertanggungjawabkan untuk membela kaum Melayu-Bumiputera, apatah lagi ‘teras pentadbiran Melayu-Bumiputera’?

Sedangkan hanya 40 daripada kerusi parlimen kerajaan pimpinannya adalah kerusi Melayu-Bumiputera-Islam yang mudah diperkudakan oleh kuasa 64 kerusi parlimen bukan-Melayu-Bumiputera.
Adakah Mahathir sedar betapa tidak relevannya ketika dia berkuasa untuk mengangkat kuasa Melayu-Bumpitera sebagai teras pentadbiran Melayu ketika itu?

Justeru, di manakah letaknya prinsip mahu ‘muafakat Melayu dan Bumiputera’ sebagai teras pentadbiran negara yang telah dimusnahkan oleh Mahathir sendiri?
Tahun 2020 adalah destini Wawasan Mahathir untuk mengangkat taraf hidup rakyat, dan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, sebaliknya Mahathir hanya menjadikan negara ini negara kroninya, dan mencekik leher rakyat apatah lagi golongan miskin Melayu-Bumiputera.
Sedangkan semasa Mahathir memimpin PH, ekonomi Malaysia adalah tercorot di rantau Asia Tenggara.
Kini Mahathir kembali lagi kononnya dengan semangat mahu ‘mengembalikan kuasa Melayu dan Bumiputera’ sebagai teras pentadbiran negara? Janganlah hipokrit!
****
Tinggalkan Jawapan