Editorial
7 April 2023
SEBELUM ini, bukan main hebat Ketua Pembangkang, DS Hamzah Zainuddin menonjolkan dirinya sebagai ayam tambatan Muhyiddin Yassin dalam strategi menentang UMNO dan memperkukuhkan rasional tindakannya meninggalkan UMNO.

Hari ini rakyat di merata tempat, tanpa mengira kaum sedang membicarakan penganiayaan dan kezaliman mahkamah terhadap DS Najib Razak yang hakikatnya membangkitkan hipokrasi serta pencabulan kuasa eksekutif terhadap badan kehakiman.
Hamzah pernah menjadi tumpuan polemik apabila melantik ‘orang kita’ dalam kalangan PDRM sedangkan dalam prosedur perundangan menteri tidak boleh campurtangan dalam hal pelantikan pegawai PDRM.
Maka dengan itu Hamzah telah mencabuli doktrin pengasingan kuasa dalam prinsip demokrasi.
Namun presedens telahpun berlaku ketika Tun Mahathir mengepalai kerajaan 22 bulan apabila setelah memenangi PRU14, tanpa berlengah melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang terang-terangan melanggar akta dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kemudian terdedah satu demi satu kepincangan kerajaan pimpinan Mahathir sehingga ia tumbang pada 2020, manakala Mahathir sendiri ditendang keluar daripada parti PPBM (Bersatu) yang ditubuhkannya sendiri.
Pada 19 Feb lalu Muhyiddin telah disahkan terlibat dalam kes rasuah Jana Wibawa yang sekali gus mendedahkan betapa hipokritnya Presiden Bersatu, setelah isu Ordinan Darurat dipergunakan untuk memandulkan parlimen.

Tujuannya tidak lain untuk menyekat perbelanjaan mega RM600 bilion daripada diperdebatkan untuk ‘semak dan imbang’ dalam parlimen agar kebebasan diberikan kepada Muhyiddin dan kabinetnya bagi menutup segala kepincangan.
Parlimen hanya dibuka semula setelah sekian lama disekat apabila DYMM SPBYDP Agong tegas bertitah supaya Dewan Rakyat yang mulia itu dibuka semula.
Segala cacamerba ini berlarutan dengan isu konflik kepentingan hakim, serta bias pihak Ketua Hakim Negara yang dilantik oleh Mahathir.
Satu persatu kezaliman terhadap DS Najib dibalas oleh realiti terdedahnya hipokrasi dan semuanya mengangkat hakikat balasan daripada Allah Azzawajalla.

Terkini anak Hamzah Zainuddin yang merupakan pengarah syarikat telah dihadapkan ke mahkamah atas sembilan pertuduhan kerana mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan. Kes ini berlaku tahun lalu ketika Hamzah masih berkuasa sebagai Menteri Dalam Negeri.
Muhammad Faisal Hamzah dilaporkan sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual, iaitu minyak masak, telah dituduh memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Lantas dengan itu Faisal didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama.
Selain itu, tertuduh selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 metrik tan.
Selepas ini apakah lagi kebobrokan pihak yang bersekongkol menganiaya dan menzalimi DS Najib akan terdedah dan terbongkar?
Rakyat masih ingat ketika Hamzah mencerca DS Najib dengan kenyataan “Jika kepala ikan sudah busuk maka busuklah ikan itu sehingga ke ekornya”.

Sekarang rakyat sedang memerhatikan ikan manakah yang hakikatnya busuk dan sedang berenang dalam kolam najis.
******
Tinggalkan Jawapan