Editorial
3 April 2023
Keputusan rayuan semak semula kes SRC yang dikaitkan dengan DS Najib disimpulkan sebagai ‘tidak adil’ terhadap tertuduh.
Keputusan 4-1, diterjemahkan sebagai amat mengecewakan pemerhati dan penganalisis dengan alasan penghakiman yang tidak banyak berubah dengan apa yang telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan.
Keputusan yang tertakluk kepada penghakiman empat hakim lawan satu hakim, kini menjadi polemik penggiat undang-undang kerana ia disimpulkan sebagai tidak membawa apa-apa pertimbangan terhadap bukti-bukti dan hujah baharu yang dikemukakan oleh pihak pembela.
Dokumen penghakiman empat hakim yang membentuk majoriti seperti mengulangi penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelumnya, dengan sedikit tambahan.
Tidak banyak yang ditambah untuk menarik perhatian pihak pembela bagi meyakinkan bahawa mereka telah salah dalam pembelaan terhadap tertuduh.
Sebagai contoh, kes-kes yang telah pihak pembela tunjukkan sebelum ini dikatakan tidak terpakai dan seperti diketepikan sama sekali seperti laporan pemghakiman oleh mahkamah terdahulu.
Sebagai contoh dengan wewenang pihak majoriti tidak menangani isu dokumen yang tertular demi menegakkan kedaulatan mahkamah, yang juga telah dibuat salinan kepada mahkamah tinggi dan mahkamah agung, iaitu tentang isu peguam menarik diri kerana mahkamah seperti sengaja mahu menyegerakan hukuman.
Penghakiman majoriti tidak menangani bukti-bukti dan hujah terkini dan sungguh mengecewakan pihak pembela dengan kesimpulan dan keputusan penghakiman majoriti yang bagaikan melepaskan batok di tangga.
Walau bagaimanapun dalam kalangan lima hakim itu, hakim yang paling senior iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak YAA Datuk Abdul Rahman Sebli, yang juga merupakan pengerusi panel hakim, telah menentang keputusan empat hakim yang lain.
Dalam dokumen hujahan sebagaimana yang dilaporkan oleh TS Shafee Abdullah, hujahan YAA Arif Datuk Abdul Rahman Sebli lebih signifikan dan kukuh berbanding yang lain yang kelihatannya hanya mengulangi keputusan Mahkamah Persekutuan.
Penghakiman YAA Abdul Rahman yang menjadi minoriti, adalah lebih panjang berbanding dengan penghakiman majoriti yang lekeh dan mengecewakan. Malah ia mengambil 84 minit masa bacaan berbanding dengan masa bacaan penghakiman majoriti iaitu 48 minit, sebagaimana didakwa oleh TS Shafee.
Penghakiman berbeza YAA Abdul Rahman adalah hujahan yang sangat kuat dan jitu dalam menegakkan keadilan tetapi telah disisihkan oleh empat yang lain.
YAA Abdul Rahman bersetuju agar permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak dibenarkan dan beliau berpendapat adalah tidak adil bagi bekas Perdana Menteri menanggung hukuman akibat daripada kesilapan pertimbangan dalam prosiding rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd serta kesilapan pembelaan yang menarik diri kerana tidak diberikan masa yang cukup untuk penelitian kes.
Dengan itu peguambela Najib (Datuk Hisyam Teh Poh Teik) telah dinafikan peluang untuk berhujah sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau bahawa beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian selepas mengambil kes itu pada saat-saat akhir.
Akibatnya pemohonan Najib langsung tidak didengari dan berada dalam situasi yang sangat tidak adil.
Beliau berada dalam keadaan tersepit kerana tidak diwakili semasa rayuan. Adalah tidak adil bagi pemohon menanggung akibat atas kesilapan yang dilakukan oleh peguambelanya.
Dalam penghakiman bertentangan itu, Abdul Rahman berkata panel hakim sebelum ini sepatutnya membenarkan pihak pembelaan berhujah terlebih dahulu sebelum pihak pendakwaan membuat penghujahan.
Anehnya pihak pendakwaan dibenarkan berhujah selama dua hari, manakala penghujahan pihak pembelaan tidak diberikan ruang.
Dengan itu menurut YAA Abdul Rahman, sabitan terhadap tertuduh harus dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang.
Abdul Rahman berpendapat penangguhan sepatutnya diberikan, bukan untuk menyekat kes, tetapi untuk membolehkan DS Najib mendapatkan hak beliau untuk mempertahankan dirinya.
Terdahulu, pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan, telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap DS Najib.
Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda tersebut.
Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pula yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman.

Najib kemudian memfailkan permohonan semakan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. Selain itu, beliau juga telah memfailkan permohonan pengampunan DiRaja.
Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Maimun gagal mempertimbangkan bahawa telah berlaku pencabulan keadilan kerana tidak membenarkan Najib membela diri, manakala isu ‘konflik kepentingan hakim’ juga diabaikan sama sekali.

Hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil telah dinafikan.
Adalah sangat luar biasa bagi Pengerusi yang merupakan hakim yang paling kanan daripada semua hakim dalam kalangan panel, untuk menentang keputusan majoriti panel yang dipengerusikannya.
Ia seakan-akan keputusan majoriti panel telah tunduk kepada kehendak tangan ghaib yang mengawal mereka.
Abdul Rahman telah mengeluarkan kenyataan bahawa “Keadilan bukan sahaja mengenai rasa bersalah atau tidak bersalah seseorang yang dituduh, beliau juga mesti mempunyai perbicaraan yang adil. Beliau juga mesti merasakan dia mendapat perbicaraan yang adil. Jika sistem pengadilan itu tidak mampu, beliau tidak patut dibicarakan sama sekali.”
******
Tinggalkan Jawapan