Editorial
20 Mac 2023
YAB Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim sewajarnya ditabik dan disokong penuh dalam usaha beliau melawan jerung-jerung rasuah.
Tidak hairanlah jika pihak tertuduh yang gelabah dan tidur tidak lena, telah kehabisan modal dan dengan alasan tempang menuduh kerajaan dan SPRM melaksanakan dakwaan terpilih.

Apabila tuduhan terkena kepada bilis-bilis kecil yang melahap laba-laba kecil, tiada sesiapa yang cuba mempertahankan tertuduh sebagai tuduhan terpilih.

Anwar menegaskan bahawa arahan kepada badan penguatkuasa seperti SPRM adalah menyeluruh dan tidak kepada parti tertentu, apatah lagi individu tertentu.
Anwar juga menegaskan bahawa segala siasatan terhadap rasuah skala besar mesti diteruskan untuk membongkar dan bertindak kepada individu utama yang terlibat.
Bercakap di Parlimen, Anwar membangkitkan bahawa Ahli-ahli Parlimen bercakap tentang soal keadilan, menolak kezaliman dan fitnah, maka jangan hukum orang tanpa bukti.
Jangan pula ada pihak menggunakan ayat al-Quran untuk hukum pihak pemimpin yang cuba melaksanakan undang-undang dan kehakiman seadil-adilnya bagi menolak kezaliman.
“Sebagai muslim yang bertanggungjawab, adakah tuan-tuan yakin ada bukti bahawa Anwar telah campur tangan untuk mendakwa sesiapa? Jika tidak ada bukti maka itulah kezaliman yang menggunakan agama dan fitnah orang,” tegas beliau bagi mengingatkan pihak yang menyalak tentang dakwaan terpilih.
Anwar juga mengarahkan SPRM supaya apa jua tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat (kukuh) adalah disokong. Jangan menganiaya orang dengan alasan yang longgar dan boleh dicabar. Jangan guna kedudukan untuk menganiaya orang.
“Saya bukan ahli politik murahan sebegitu rupa!” tegas Anwar lagi.

Pastinya rakyat awam sedar siapakah yang dihalakan oleh Anwar melalui perdebatan tegasnya itu untuk melawan jerung-jerung rasuah, yang selama ini hanya pandai mengutuk dan mengeji orang lain.

Beberapa hari lalu, Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Anwar diktator dan zalim’, sebaliknya Mahathir lupa bahawa namanya telah tercatat dalam senarai yang dikeluarkan oleh Ranker sebagai ‘Diktator Terkenal Dunia’.

Mahathir yang cepat lupa, mungkin perlu diingatkan tentang kes Memali dan Operasi Lalang yang dilihat telah menzalimi rakyat wewenangnya dengan mempergunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).


Operasi Lalang telah diterjemahkan sebagai peristiwa kezaliman yang paling ketara dalam pemerintahan Mahathir serta sejarah Malaysia.
Ia menjadi bukti kezaliman Mahathir menggunakan ISA untuk menahan 107 ahli politik, penggiat media, aktivis sosial, ahli akademik dan guru pada Oktober 1987.
Lantas, tidak usahlah Mahathir cuba menuding jari kepada Anwar untuk membangkitkan kebencian rakyat serta mencurigakan pelabur asing.

Semua Perdana Menteri sudah menjadi mangsa kerakusan Mahathir untuk melampiaskan dendam kesumatnya yang tidak sedikitpun mewakili legasi darah keturunan Melayu.
Kini Mahathir cuba memancing kembali sokongan kaum Melayu, sedangkan semasa ‘Kongres Maruah Melayu’ tempoh hari, dengan angkuh dan bongkaknya dia telah menghina kaum Melayu sebagai ‘pemalas’.
******
Tinggalkan Jawapan