Editorial
12 Mac 2023
BERCAMBAH dalam media arus perdana menghebahkan kepada pembaca baik dalam talian atau di luar talian berkenaan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa ‘Muhyiddin bukan seperti Najib’ dalam kes rasuah yang kini sedang hangat menjadi perbualan rakyat mahupun warganet.
Memanglah benar Muhyiddin tidak sama dengan Najib kerana Muhyiddin tidak meletakkan jawatannya sebagai Presiden Bersatu (PPBM), sebagaimana langkah yang diambil oleh DS Najib Tun Razak.

Muhyiddin sebelum ini berdegar-degar menyatakan bahawa dia akan ‘meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu sekiranya dituduh dalam kes jenayah rasuah.
Namun hari ini Muhyiddin menggunakan ‘alasan tempang’ untuk tidak meletakkan jawatan kerana ahli-ahli dan kepimpinan tertinggi tidak mahu dia meletakkan jawatan, sedangkan Wan Saiful Wan Jan (pakar manifesto ‘kangkung’ yang amat kontroversi) disanjung, dipuja dan dipuji oleh ahli-ahli Perikatan Nasional kerana sanggup meletakkan jawatannya sebagai pemimpin berprinsip.

Lantas boleh dibina premis bahawa DS Najib berprinsip dan Muhyiddin tidak berprinsip.
Wan Fayhsal juga mendakwa Muhyiddin tidak memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya, tetapi menggunakan akaun parti, tetapi Najib telah melakukan sebaliknya.
Wan Fayhsal buta dengan fakta bahawa Najib telah dinasihatkan oleh Gabenor BNM, Zetty Akhtar Aziz, supaya memasukkan semua wang derma baik daripada Arab Saudi dan sumber-sumber lain ke akaun peribadi beliau dan bukan ke akaun parti.
Najib mematuhi aturan yang disarankan oleh Gabenor BNM kerana Najib percaya tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, tetapi sebaliknya Muhyiddin sebagai presiden parti telah menggunakan akaun parti wewenangnya sebagai atas prinsip dia mempunyai kuasa prerogatif untuk menggunakan wang tersebut.

Sedangkan Najib tidak kawal akaun peribadinya sendiri kerana ditugaskan kepada dua orang pegawainya, dan atas fakta inilah Najib tidak didakwa atas kesalahan meminta suapan atau mengarahkan suapan.
Najib telah dikenakan hukuman kerana Hakim membuat keputusan ‘bukan hak Najib’ untuk sedekah RM42 juta walaupun dana tersebut sememangnya dikhususkan oleh syarikat SRC untuk kerja-kerja CSR (tanggungjawab sosial korporat).
Dana berkenaan tidak digunakan untuk hal-hal peribadi Najib dan tiada terkait dengan rasuah pengundi sebagaimana kes yang melibatkan Muhyiddin.
Najib tidak berselindung di sebalik apa-apa tirai untuk menyembunyikan apa-apa muslihat penggunaan dana SRC, tetapi Muhyiddin telah mempergunakan Ordinan Darurat, supaya sebarang perbelanjaan dana terselamat daripada dibincangkan di parlimen.
Lantas Muhyiddin berjaya untuk mengelak sebarang prosedur ‘semakan dan imbangan’ (check and balance) dan wewenang boleh menggunakan dana milik rakyat tanpa dipersoalkan di Dewan Rakyat.
Apa yang penting, Muhyiddin dan konco-konconya menggunakan alasan tempang ‘wabak pandemik Covid19’ ketika rakyat dihimpit penderitaan kelaparan dan kesempitan ekonomi harian keluarga kerana perintah berkurung ‘PKP separuh masak’.
Rakyat yang terperangkap dengan kelaparan terpaksa menaikkan bendera putih sebagai lambang ‘SOS’ bagi mendapatkan bantuan segera untuk kesinambungan hayat.
Bagi peniaga SME dan rakyat yang terhimpit serta amat tertekan, ramai antara mereka telah membunuh diri dan statistik pihak PDRM dan KKM menunjukkan bahawa insiden bunuh diri meningkat mendadak pada era Muhyiddin berkuasa.
Berbeza dengan Najib, Muhyiddin telah memberikan projek ‘runding terus’ dan kemudiannya menuntut wang sogokan. Semua ini dilakukan oleh balaci dan proksi Muhyiddin sebagaimana dakwaan yang dikenakan terhadap Pengarah Syarikat Perabot berpejabat di Pagoh, Datok Teo Wee Cheng.

Atas fakta inilah SPRM mendakwa Muhyiddin menuntut wang sogokan dan menerima wang sogokan.
Datok Wee Cheng juga pernah disebut dalam kes perbicaraan UKSB sebagai ‘orang tengah’ kepada Muhyiddin yang telah disogok RM1.3 juta.
Perbezaan yang jelas ialah Peguam Negara (Tommy Thomas) dan Pesuruhjaya SPRM (Latheefa Koya) telah dilantik oleh kerajaan ketika Muhyiddin merupakan menteri kabinet ketika itu, bagi memudahkan pemdakwaan ke atas Najib.
Namun hari ini Peguam Negara dan Pesuruhjaya lantikan Muhyiddin ketika dia diangkat sebagai PM tidak berubah.
Najib diputuskan oleh hakim yang penuh dengan kontroversial, di Mahkamah Tinggi kerana ‘kepentingan peribadi’, sebagai bersalah.
Hakikatnya hakim itu adalah merupakan orang yang mencadangkan penubuhan SRC ketika dia memegang jawatan sebagai ‘counsel lawyer’ kepada Maybank.
Lantas benarlah dakwaan Fayhsal, Muhyiddin tak sama dengan Najib, kerana Najib dituduh sebab derma dan sedekah, sedangkan Muhyiddin dituduh kerana menyamun kontraktor bumiputera setelah diberikan projek bebas runding.
*****
Tinggalkan Jawapan