Editorial
10 Mac 2023
SPRM telah menahan Presiden PPBM TS Muhyiddin Yassin semalam, 9 Mac 2023 pada pukul 1 tengah hari.

Pelbagai spekulasi dan persepsi terpantul dalam pemikiran pelbagai golongan iaitu penyokong tegar PPBM, penyokong tegar ahli parti yang menjadi pencabar PPBM, dan masyarakat awam yang lebih suka menjadi pemerhati.
Penyokong Muhyiddin seakan-akan ‘mengamuk’ sehingga sanggup mengadakan perhimpunan yang boleh diterjemahkan sebagai demonstrasi di luar batas undang-undang dan melihat penahanan Muhyiddin sebagai dakwaan terpilih.
Tempoh hari apabila SPRM dilaporkan akan menyiasat Muhyiddin, ramai penyokong PPBM berkata kalau ada kes tangkaplah.
Lantas kini apabila SPRM menjalankan tanggungjawab menahan pesalah kerana terkait dengan kes, maka tak perlulah penyokong hendak menyalak bagaikan anjing menyalak bukit.
Biarlah SPRM menjalankan tugas, tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak.

Namun tidakkah mereka melihat dakwaan yang dikenakan kepada pemimpin UMNO terdahulu telah terbukti sebagai dakwaan terpilih?
Jika tuduhan terhadap Muhyiddin Yassin adalah dakwaan terpilih, mengapakah mereka tidak persoalkan siapakah PM yang berkuasa sekarang? Adakah DS Anwar Ibrahim merupakan pemimpin UMNO?
Lihat sahaja kes TS Shahrir Samad, apabila bekas Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri telah memperakui bahawa dakwaan terhadap Shahrir adalah tergesa-gesa dan tidak signifikan.
Kemudian Rakyat terkejut apabila Ahli Parlimen Sabah, Rozman Isli dalam afidavitnya di mahkamah telah mencatatkan bahawa beliau telah diugut oleh orang-orang Muhyiddin Yassin supaya melompat parti jika tidak mahu didakwa di mahkamah.

Dakwaan Rozlan itu telah disokong oleh bekas Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador, dan beliau mahu SPRM menyiasat ugutan berkenaan.
Dalam konteks perbicaraan dan tuduhan terhadap bekas PM, DS Najib Tun Razak, pula bekas Peguam Negara Datok Zaid Ibrahim menterjemahkannya sebagai penganiayaan politik, serta penipuan yang dibuat oleh pihak tertentu seperti Goldman Sachs dan Jho Low.
Kemudian rakyat juga dikejutkan dengan isu ‘PAS Leaks’ yang mendedahkan bahawa Muhyiddin mahu kes DS Najib disegerakan.
Ramailah yang membuat spekulasi bahawa itulah strategi Muhyiddin untuk melenyapkan pengaruh UMNO-BN pada PRU15, dan nampaknya Muhyiddin sememangnya telah berjaya.
Sebelum ini Muhyiddin telah cuba mengaburkan pandangan umum dengan mengatakan bahawa dia bukanlah ‘suspek utama’ dalam kes rasuah Jana Wibawa.
Namun dengan pantas SPRM menafikan dakwaan Muhyiddin itu dan menyatakan sebaliknya.
Pihak yang anti-UMNO sering melaungkan bahawa DS Najib tidak perlu gusar dan takut sekiranya dia benar-benar tidak bersalah.
Namun apabila timbul isu mengheret Muhyiddin ke mahkamah, kenapakah mereka perlu gelabah dengan mengadakan demontrasi bantahan terhadap SPRM?
Pihak SPRM dalam kenyataan akhbar menyatakan bahawa Muhyiddin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sebelum ini rakyat seluruh negara tergamam apabila kerajaan pimpinan Muhyiddin dilaporkan telah membelanjakan RM600 bilion semasa merebaknya wabak Covid19 dan Ordinan Darurat telah digunakan untuk menghalang sebarang persoalan di Parlimen berkaitan perbelanjaan tersebut.
Bagi pihak yang simpati pada DS Najib, mereka menterjemahkan apa yang berlaku terhadap Muhyiddin adalah kifarah dosa-dosanya terhadap bekas PM itu.
Rakyat yang menjadi pemerhati sedang menunggu apakah pula yang akan berlaku kepada Tun Mahathir, yang telah dilabel sebagai punca kepada kemelut politik negara.
Sama-samalah kita tunggu dan lihat.
******
Tinggalkan Jawapan