Editorial
6 Mac 2023
DALAM isu kes Hakim Nazlan Ghazali yang didakwa mempunyai kaitan dengan penubuhan SRC dan dia juga merupakan ‘Counsel Lawyer’ kepada MayBank, maka ramai pemerhati melihat bahawa terdapat konflik kepentingan dalam kes SRC yang telah mengheret DS Najib Tun Razak ke penjara.
Terkini, Hakim Negara YAA Tengku Maimun Tuan Mat telah membangkitkan isu ’protokol’ yang harus dipatuhi dalam hal tindakan SPRM menyiasat kes Hakim Nazlan dan beliau telah membuat kenyataan bahawa siasatan terhadap Nazlan adalah ‘berniat jahat’.

Telahan Ketua Hakim itu telah dibidas dan disanggah oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad bahawa tidak ada mana-mana peruntukan Perlembagaan yang jelas atau yang kabur sekalipun untuk berkait, tentang prinsip kebebasan kehakiman serta protokol dalam hal penyiasatan ke atas mereka.
Sebagaimana persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Abdul Hamid, adakah pihak Hakim Negara mahu menyalahkan siasatan SPRM ke atas Nazlan atau cuba membersihkan nama Nazlan?
Di manakah letaknya ‘niat jahat’ SPRM setelah mereka menghabiskan masa sekian lama menyiasat kes SRC, malahan DS Najib telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun?

Bagi masyarakat awam juga timbul persoalan, kenapa Hakim Nazlan dipertahankan atau dibela sebegitu rupa oleh pihak Hakim Negara? Apakah muslihat di sebaliknya? Mengapakah SPRM tidak boleh diberikan kuasa menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan pangkat, sebagaimana siasatan terhadap DS Najib?
Tun Hamid bersetuju dengan tindakan SPRM menyiasat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas prinsip bahawa pihak berkuasa seperti SPRM hendaklah diberikan kebebasan untuk sebarang siasatan jenayah rasuah, sebagaimana kebebasan tanpa sebarang campur tangan ke atas badan kehakiman negara.

Kebebasan yang diberikan kepada badan kehakiman tidak bermakna bahawa kebebasan itu termasuk kebebasan melakukan jenayah dan bebas daripada sebarang siasatan,
Tun Abdul Hamid juga berpendirian bahawa siasatan terhadap Nazlan adalah berdiri atas paksi perlembagaan.

Anehnya pihak badan kehakiman seperti cuba menyerang SPRM dalam siasatan rasuah ke atas Nazlan sebagaimana dilaporkan oleh media bahawa Nazlan telah menerima sogokan RM1.036 juta daripada Jho Low.
Malahan Nazlan sebagai Counsel Lawyer kepada MayBank sebelumnya telah terlibat dalam rancangan bank berkenaan menubuhkan SRC, tetapi sebaliknya DS Najib yang menjadi sasaran tuduhan.

Di samping itu Bar Council atau Majlis Peguam serta pejuang Bersih terus melatah kononnya siasatan ke atas Nazlan mencabul kesucian badan kehakiman yang harus dilindungi, sebaliknya mereka lupa sudah ada banyak ‘precedence’ (kes terdahulu) apabila hakim didakwa oleh SPRM mahupun PDRM dan didapati bersalah kerana rasuah di mahkamah.
Tun Abdul Hamid juga turut memberikan hujah bahawa tindakan dan pendirian Bar Council itu adalah satu tindakan masuk campur dalam urusan SPRM bagi menentang gejala rasuah.
Dalam sistem kehakiman di luar negara, para hakim tidak terlepas daripada siasatan pihak berkuasa dan ada yang telah dipenjarakan kerana didapati bersalah.
Di United Kingdom, hakim Constance Briscoe telah disiasat dan ditangkap kerana jenayah, dia telah diadili dan disabitkan kesalahan dengan hukuman 16 bulan penjara.
Di Amerika, hakim Mark Ciavarella Jr telah dipenjara selama 28 tahun kerana menerima rasuah.
Di Australia, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Australia, Marcus Einfield telah disiasat polis dan disabitkan kesalahan dan dipenjara tiga tahun kerana menipu atas kesalahan memandu laju.
Bagaimanakah SPRM mahupun PDRM mahu menegakkan keluhuran undang-undang sekiranya kerja-kerja penyiasatan disekat?
Tingkah-laku Ketua Hakim Negara, YAA Tun Maimun Tuan Mat mengeluarkan kenyataan menentang siasatan SPRM sebelum siasatan selesai adalah sesuatu yang tidak wajar.
Adakah tindakan Ketua Hakim negara itu sebagai tindakan masuk campur ke atas urusan SPRM dan amaran kepada Peguam Negara untuk menolak sebarang kes rasuah Nazlan?

Dari awal lagi rakyat melihat kesangsian terhadap pelantikan Nazlan daripada Mahkamah Sivil ke Mahkamah Tinggi untuk menghakimi kes DS Najib, dan kemudiannya dipindahkan pula ke Mahkamah Sivil.
Adakah ini juga sebahagian daripada konspirasi kuasa tangan-tangan ghaib yang mahu menyelamatkan golongan dalam badan kerajaan seperti keluarga bekas Gabenor BNM dan beberapa tokoh lagi, sebagaimana didedahkan oleh bekas CEO Goldman Sachs di Mahkamah New York?
Tun Maimun juga mendakwa badan kehakiman adalah benteng pertahanan keadilan terakhir, tetapi kontradiknya dia menghalang siasatan jenayah SPRM ke atas ahli-ahli benteng tersebut dan mahu siasatan tertutup oleh badan kehakiman sendiri.
Bertentangan dengan kenyataan jitu Hakim Mahkamah Rayuan di Amerika, Damon Keith, apabila hakim dihalang daripada siasatan oleh pihak berkuasa dan hanya disiasat oleh rakan-rakan mereka sendiri di belakang pintu yang tertutup, maka demokrasi akan mati, dan badan kehakiman tidak akan lagi menjadi benteng pertahanan keadilan malah ia akan menjadi penyebab keruntuhannya.

Jika ini berlaku, maka pandangan ahli falsafah Inggeris dan pakar teori politik, John Locke bahawa “apabila undang-undang berakhir, di situlah bermulanya kezaliman” dan hakikat ini sedang menjadi kenyataan di Malaysia.
******
Tinggalkan Jawapan