Editorial
2 Mac 2023
CUKUPLAH dengan ‘Langkah Sharaton’ yang telah meruntuhkan kerajaan PH tempoh hari sedangkan kerajaan PN yang mengambil alih tidak membawa negara ke mana-mana, sebaliknya penuh dengan kemelut dan huru-hara politik, sehinggga akhirnya Muhyiddin sendiri tersungkur.
Tiga Perdana Menteri dalam sepenggal, telah menunjukkan betapa dangkalnya usaha meruntuhkan kerajaan ‘pilihan rakyat’ hanya kerana kerakusan politik.
Selari dengan titah DYMM SPB YDP Agong, segala kemelut politik negara adalah berpunca daripada peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri setelah menerima tekanan ‘Langkah Sheraton’.

Dalam dialog bersama penerbit buku dua hari lalu, Presiden PAS, TS Hadi Awang meramalkan kerajaan pimpinan Anwar akan tumbang tetapi tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana ia akan berlaku, namun gejala ‘tebuk atap’ dan ‘atap bocor’ menjadi klise dalam ucapan Hadi.
Agak signifikan apabila beberapa penganalisis politik lebih melihat ‘Langkah Sheraton’ yang dikatakan digerakkan oleh Muhyiddin Yassin dan kroninya, sebagai punca porak-peranda negara pada 2020.
‘PKP separuh masak’ telah menjejaskan status ‘selamat Malaysia’ sebagai antara negara terbaik di dunia, jatuh kepada antara 10 negara yang paling tidak selamat daripada pandemik Covid19.
Itu bukanlah persoalan utama, tetapi kesan kebobrokan pentadbiran Muhyiddin-PN telah menyebabkan rakyat marhaen terkurung di rumah, ekonomi keluarga terjejas, bendera putih dikibarkan tanda kebuluran, jumlah peniaga muflis meningkat mendadak, pelabur asing lari meninggalkan Malaysia, Bursa Saham Malaysia jatuh merudum, dan angka statistik dalam kes bunuh diri dalam kalangan rakyat turut meningkat,
Hari ini TS Hadi Awang yang popular dengan label ‘Duta Gaji Buta’ lagi sekali membangkitkan isu ‘atap bocor’ untuk melapik gerakan ‘tebuk atap’ sebagai kenyataan sinis kepada usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Cukuplah dengan apa yang telah berlaku pada penggal lalu (PRU14), dan janganlah mengganggu-gugat kerajaan sedia ada yang dipilih rakyat, dan berikanlah peluang kepada DS Anwar Ibrahim untuk mentadbir, terutamanya dalam hal pemulihan ekonomi yang telah dicacatkan oleh Muhyiddin-PN.
Sekiranya Hadi Awang tidak setuju, maka tunggulah PRU16 nanti untuk melampiaskan ketidakpuasan hati, dendam kesumat dan dengki-khianat.
Hanya kerana kes rasuah dan ‘sogokan pilihan raya’ terbabit dengan pemimpin PAS maka pelbagai usaha dan ugutan dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan.
Hadi juga dilihat cuba mereka-cipta dalil untuk menghalal rasuah dengan saranan ‘redefinisi konsep rasuah’ mengikut Islam, kononnya.

Kemudian tetaksuban pengikut pun mula meletus dengan perarakan ‘HIMPIT’ membawa pedang dan tentera berserban hijau, sebagai simbol membela Hadi dan gejala rasuah PAS yang diterjemahkan sebagai ‘sedekah’. Atau adakah mereka mahu mewujudkan huru-hara terhadap negara?
Namun dalam kalangan rakyat yang peka dan sensitif, ia merupakan ugutan kepada pihak berkuasa terutamanya SPRM agar tunduk kepada jenayah politik PAS.

Pemimpin PKR, Razeef Rakimin telah menolak dakwaan bahawa kerajaan Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi, sebagaimana dakwaan ‘Atap Bocor’ yang dibuat oleh Hadi.
Hadi cuba memberi amaran bahawa angka dua petiga sokongan ahli-ahli parlimen terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar akan tumbang.
Hadi mendakwa hubungan PAS dengan Ketua Menteri Sabah akan mendorong tarikan untuk tidak menyokong kerajaan tadbiran Anwar.
Sebaliknya Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin menolak tohmahan Hadi dan menegaskan bahawa hubungan kukuh Putrajaya dengan gabungan pemerintah di Sabah dan Sarawak menafikan ramalan jahat Hadi Awang yang “tidak berasas”.
Razeef amat yakin pemimpin Barisan Nasional dan UMNO telah menyatakan bahawa mereka selesa bekerja bersama Pakatan Harapan (PH), manakala kerajaan telah menunaikan janji di bawah Perjanjian Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
“Nampaknya beliau (Hadi) masih belum bergerak daripada kekalahan (Perikatan Nasional) dalan pilihan raya dan kini berharap kerajaan akan tumbang sebelum tamat penggal,” kata Razeef dalam satu kenyataan.

Beliau juga tertanya-tanya sama ada PAS dan Bersatu, cuba merancang satu lagi ‘Langkah Sheraton’, yang telah membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada 2020.
Adakah Hadi merancang untuk mencetuskan lagi kemelut politik apabila negara cuba pulih daripada krisis ekonomi?
Kenyataan ini dibuat tidak lama selepas Hadi memberitahu Dewan Rakyat bahawa PN tidak boleh dipersalahkan sekiranya kerajaan tumbang.
*****
Tinggalkan Jawapan