Editorial
1 Mac 2023
Tepat sekali apabila Datuk Mohd Nazifuddin, berusia 40 tahun, putera kepada DS Mohd Najib Tun Razak mengambil keputusan untuk bertanding dan memikul tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Langkawi sejak Merdeka telah menjadi kubu kuat UMNO tetapi malangnya kerana kemelut dan kerakusan politik autoritarian dan sistem kehakiman rimba yang menganiaya tokoh legasi Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak, Langkawi kini jatuh di tangan pemimpin yang salah.
Langkawi adalah pulau lagenda, sebagaimana juga parti keramat UMNO yang telah tercatat namanya sebagai antara pulau terindah di dunia.
Sejarah telah membuktikan bagaimana UMNO telah berjuang untuk menjadikan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai, pembangunan industri pelancongan dan serta promosi yang menjangkau sfera antarabangsa.
Lantas amatlah wajar sekiranya Langkawi berada di tangan anak muda, yang mendukung darah-daging Bapa Pembangunan Negara, Tun Abdul Razak serta puteranya DS Mohd Najib, tokoh ekonomi yang berjiwa rakyat dan banyak berjasa kepada rakyat marhaen.
Kini dengan dorongan dan permintaan serta sokongan lebih 70% daripada 103 cawangan UMNO Langkawi, Mohd Nazifuddin bertekad untuk mengetuai UMNO di Pulau Lagenda itu.
Nazifuddin membawa bersamanya kepakaran dalam teknologi IT kerana pernah menceburi bidang berkenaan di Nottingham University, United Kingdom, sebelum bertukar kepada bidang Perniagaan Antarabangsa di American Intercontinental University.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa darah keturunan Allahyarham Tun Abdul Razak terpahat dalam perjuangan UMNO sejak sebelum Merdeka lagi.
Sebagai tokoh idola kepada golongan muda, Nazifuddin terlibat secara langsung dalam badan sukan tersohor Malaysia sebagai Setiausaha Agung Majlis Olimpik negara bagi penggal 2021-2025 yang membuktikan hubungan beliau yang rapat dengan dunia golongan muda serta pentas yang menjulang nama baik negara.

Bukan sahaja dicalonkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nazifuddin juga telah mengesahkan akan bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO peringkat kebangsaan.
Nazifuddin menjelaskan bahawa keputusan beliau untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Langkawi adalah untuk menyemarakkan penyertaan golongan muda dalam membawa arus perubahan di Langkawi terutamanya dalam konteks hubungan antarabangsa.
Ayahanda Datuk Mohd Nazifuddin, DS Najib Tun Razak yang popular dengan panggilan ‘Bossku’ dalam kalangan anak muda Malaysia daripada segenap etnik, pastinya akan mendukung bersamanya semangat dan legasi yang sama sebagai pejuang kepada nasib golongan marhaen.
Perkara asas yang beliau tekankan ialah penyertaan golongan muda sebagai ahli UMNO hendaklah dipermudahkan, sebagaimana mudahnya mereka mendaftar sebagai ahli FB (Facebook) serta applikasi media sosial yang lain.
Setelah menjadi ahli UMNO pastinya segala jentera dan pergerakan aktiviti serta perjuangan UMNO akan dapat dijanakan ke atas golongan muda ini supaya mereka tidak lupa pada sejarah kemerdekaan negara, dan siap saga untuk terlibat sama dalam memacu pembangunan negara.
Nazifuddin juga mahu memastikan kuasa kepimpinan Pulau Langkawi dikembalikan semula kepada UMNO setelah sekian lama UMNO memperjuangkan pembangunan Langkawi. Malahan Langkawi adalah kubu kuat UMNO sebelum ini.
Kecemerlangan UMNO harus diangkat dan dijulang semula. Setelah pemergian Datuk Nawawi Ahmad ke ‘rahmatullah’ menyahut panggilan Ilahi, ramai kepimpinan UMNO di Langkawi memilih Nazifuddin yang mendukung visi menjanakan tenaga muda yang cemerlang pada platform antarabangsa untuk membawa Langkawi kepada mercu kemajuan yang lebih mantap sebagai pulau pelancongan yang tersohor pada pentas antarabangsa.
Meskipun begitu, minda, visi dan misi anak muda hendaklah diseimbangkan dengan pengalaman dan kekuatan semangat spiritual pemimpin yang luas pengalaman daripada golongan senior.
Kami percaya gabungan antara Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Senior Assisstant Commisioner – SAC (B) Datuk Hamid Bulat, 68, bekas pegawai tinggi PDRM yang tidak pernah lekang berada di sisi serta kepimpinan UMNO, adalah suatu sinergi yang kuat dan mantap untuk kebangkitan UMNO Langkawi.

Selaras dengan latar penjawat awam berpangkat SAC dalam PDRM, Datuk Hamid tidak pernah patah hati ketika UMNO kecundang pada PRU14, dan terus setia bersama UMNO dan percaya bahawa parti keramat Melayu-Islam itu akan terus perkasa baik pada musim panas membara mahupun ketika hujan-ribut dan taufan melanda.
Datuk Hamid Bulat telah mengesahkan pencalonan beliau sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Tinggalkan Jawapan