Editorial
19 Feb 2023
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Pandora’?
Secara ringkasnya kosa kata ‘Pandora’ datang daripada mitos Yunani yang merujuk kepada Permaisuri Pandora.
Pandora telah dikurniakan sebuah kotak rahsia oleh Dewa Prometheus yang mengandungi pelbagai kedurjanaan dunia yang merupakan perlakuan kuasa besar yang sebelumnya berjaya disembunyikan.
Lantas dalam isu Kertas Pandora yang telah dibangkitkan oleh DS Anwar Ibrahim pada 2021 dan diulangi ketika Tun Mahathir hilang kuasa sebagai PM Ke-7, adalah suatu pembongkaran terhadap salah laku dan rasuah pemimpin besar yang selama ini disembunyikan dengan kerjasama konco-konco dan balaci mereka.

Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik berpengaruh, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan kekayaan mereka sejak 25 tahun yang lalu.
Secara jelas dalam konteks negara, Kertas Pandora adalah laporan yang membongkarkan skandal kewangan, senarai urus niaga serta pembabitan tokoh politik, dan ahli perniagaan yang membuka akaun di luar pesisir di serata dunia.
Antara kedurjanaan yang terkandung dalam kertas Pandora tersebut ialah kes salah guna kuasa, skandal kewangan dan pengubahan wang haram yang bernilai berbilion ringgit oleh jerung-jerung yang berkuasa mengawal ‘orang kuat Bank Negara’, SPRM dan pelbagai institusi keselamatan negara pada era yang telah berlalu.
Bekas Menteri Kewangan berusia 84 tahun yang diambil keterangannya oleh SPRM dipercayai menyembunyikan kekayaannya dan keluarga dalam akaun di luar negara.
Kekayaan bekas Menteri itu pula dikatakan ada hubungkait dengan seorang bekas Perdana Menteri menerusi pelbagai projek kerajaan sama ada dianugerahkan terus tanpa melalui prosedur atau secara legal yang ditetapkan.
YAB DS Anwar Ibrahim mendesak agar bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk menjelaskan isu ‘Pandora Papers’ atau Kertas Pandora itu.
Beliau percaya ketika itu, sekiranya dia berkuasa, Tun Daim dan tokoh-tokoh ‘hipokrit’ selama ini akan kepanasan dan tidak lena tidur.
Kini DS Anwar sudah berkuasa, lantas desakan pembongkaran Kertas Pandora itu menjadi realiti.
Anwar mempunyai ‘locus standi’ kerana beliau adalah Menteri Kewangan pada tahun 1990-an tetapi disingkirkan oleh Tun Mahathir pada 1998.
Adakah Tun Mahathir telah kepanasan ketika itu sehingga bertindak menyingkirkan DS Anwar?

Tiga hari lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Azalina Othman menyatakan, siasatan berkaitan Kertas Pandora sedang berlangsung, dan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan dari luar bagi melengkapkan siasatan.
Bagi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil Kertas Pandora adalah kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah Malaysia serta dunbia antarabangsa.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim dikatakan telah dipanggil SPRM berhubung siasatan berkenaan duit berbilion ringgit seperti yang dibongkarkan dalam Kertas Pandora itu.
Mengikut laporan media, siasatan tertumpu kepada aset-aset dan kekayaan luar biasa yang disalur ke akaun di luar negeri dan kekayaan dipercayai atau mungkin diperoleh daripada kontrak-kontrak kerajaan.
Isham turut mendakwa terdapat laporan media bahawa anak bekas Perdana Menteri (kemungkinan besar anak Tun Mahathir, TS Muhyiddin dan Tun Daim) juga akan dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.

Siasatan SPRM pastinya menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu termasuk bekas menteri dan individu kenamaan lain serta keluarga mereka, selain kaitannya dengan syarikat luar pesisir negara.
****
Tinggalkan Jawapan