KATAK POLITIK YANG TIDAK LAGI RELEVAN DIGESA BERSARA

Editorial

21 Feb 2023

Pastinya ramai daripada netizen yang bersimpati terhadap katak-katak politik yang terpaksa melompat daripada parti yang pernah menjulang nama mereka di pesada politik negara.

Ada yang melompat kerana menterjemahkan sfera politik di sekeliling parti mereka mengancam kedudukan dan masa depan mereka.

Namun ada juga yang dipersepsikan sebagai pengkhianat, duri dalam daging, api dalam sekam dan musuh dalam selimut yang amat hipokrit lantas dipecat daripada parti.

DS Azmin Ali yang dahulunya adalah Timbalan Presiden PKR dan kemudiannya diangkat sebagai Menteri Besar Selangor, telah dipecat daripada PKR kerana bersekongkol dengan PPBM (Bersatu) pada 2020 yang membawa kepada meletusnya ‘Langkah Sheraton’.

‘Langkah Sheraton’ telah menyebabkan PH tersungkur, apabila 11 Ahli Parlimen PKR telah berpaling tadah daripada PH sehingga menyebabkan Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM.

Malahan Mahathir telah disingkirkan daripada Bersatu, dan TS Muhyiddin ditabalkan sebagai PM, manakala Azmin pula telah diangkat oleh Muhyiddin sebagai Menteri MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Hari ini DS Azmin Ali terkial-kial dalam sfera politik negara apabila beliau kalah pada PRU-15 di Parlimen Gombak kepada anak didiknya DS Amirudin Shari yang juga merupakan Menteri Besar Selangor.

Daripada landskap politik terkini, Azmin telah tersungkur di Parlimen Gombak, kerusi yang dikuasainya sejak 2004 kerana mungkin kesilapannya meninggalkan PKR, lantas hilang pengaruhnya di Gombak.

Amirudin (PH-PKR) yang juga merupakan Menteri Besar Selangor, telah memperoleh 72,267 undi dengan majoriti 12,729 undi, manakala Azmin (PN-Bersatu) mendapat 59,538 undi.

Tiada maknanya Azmin menjadi ayam tambatan Muhyiddin sekiranya dia telah kehilangan sokongan rakyat.

Meskipun terdapat ura-ura bahawa PN akan mencalonkan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang selewat-lewatnya akan diadakan sebelum Jun tahun ini, namun ramai yang sangsi sama ada Azmin masih bertaring dan berbisa, sedangkan kubu kuatnya di Gombak sudah tumbang.

Lantas, dalam kemelut kehilangan penyokong pada PRU-15, setelah dia mengambil tindakan nekad melompat dari PKR ke Bersatu, Azmin kini terkial-kial mencari haluan politiknya yang mungkin sesetengah penganalisis melabelkannya sebagai kabur.

Justeru, Azmin mengambil keputusan untuk berehat, sementara dia menyusun strategi untuk mendapatkan kembali momentum kekuatannya yang dilihat telah pudar dan layu.

Pastinya pihak PKR yang kecewa dengan tindakan Azmin meninggalkan parti, melihat nasib Azmin sebagai satu kesilapan besar dalam hala tuju dan misi politiknya.

Satu lagi kesilapan Azmin ialah ketika PN melancarkan PKP ‘separuh masak’ yang telah menyebabkan rakyat marhaen terkial-kial berjuang mencari rezeki, sedangkan periuk nasi mereka terjejas kerana pergerakan mereka disekat.

Malahan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, menyokong saranan agar Azmin terus bersara daripada arena politik kerana kredibiliti Azmin kini “telah rosak” ekoran pelbagai isu yang membayanginya sebelum ini.

Razeef lebih selesa melabelkan Azmin sebagai pengkhianat selari dengan tohmahan Tun Mahathir terhadap TS Muhyiddin Yassin setelah PH kecundang melalui ‘Langkah Sheraton’.

Bagi Razeef, rakyat tidak akan lagi memberikan kepercayaan kepada pengkhianat seperti Azmin walau berkali-kali dia melakukan ‘reset’ politik’.

Azmin dituduh bertanggungjawab mengepalai 11 ahli parlimen PKR untuk berpaling-tadah menyokong Bersatu pada 2020 sehingga menyebabkan kerajaan yang dikuasai PH tumbang.

Walau bagaimanapun Azmin masih merupakan Adun Bukit Antarabangsa dan PRN Selangor nanti akan memperlihatkan adakah Azmin masih relevan untuk terus aktif dalam arena politik negara.

Kenyataan Azmin untuk ‘berehat’ pastinya akan mengecewakan pula pemilih di DUN Bukit Antarabangsa yang telah memberikan mandat kepadanya, kecualilah mereka juga telah hilang kepercayaan kepada Azmin.

Lantas wajarlah untuk tidak mengecewakan pemilih di DUN berkenaan, sekiranya Azmin terus bersara daripada politik.

Dari sudut lain, sekiranya DS Anwar Ibrahim tersungkur lebih 20 tahun sehingga dia merengkok di penjara selama 10 tahun, dan mampu bangkit semula, mengapakah pula Azmin tidak boleh?

Sebagaimana pandangan Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, peluang sentiasa terbuka kepada Azmin untuk kembali memimpin Selangor kerana dia masih ADUN Bukit Antarabangsa.

Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: