Editorial
14 Feb 202
Titah DYMM SPB YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam majlis titah pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 telah menzahirkan pandangan baginda tentang kemelut politik penggal lalu yang mencatat sejarah hitam apabila berlaku perubahan tiga Perdana Menteri.

Bagi pandangan umum ia adalah satu kemelut politik yang amat menjengkelkan apabila ekonomi negara terkesan dengan bursa saham yang jatuh merudum serta pelabur asing yang ‘lari’ ke negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam yang diterjemahkan sebagai lebih stabil dari aspek politik.
Pilihan raya umum ketika musim tengkujuh yang mendapat bangkangan kerajaan negeri dapat dielakkan sekiranya ‘episod’ yang membawa peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ke-7 tidak berlaku.
Titah baginda, “Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7 tidak berlaku nescaya rantaian politik yang berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 juga akan dapat dielakkan.
Kemelut yang berlarutan itu juga telah membawa kepada peletakan jawatan TS Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8 yang kemudiannya digantikan oleh DS Ismail Sabri Yaakob.
Pada 16 Disember lalu, lagi sekali Tun Mahathir mencetuskan kemelut politik apabila meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Parti Pejuang yang diasaskannya, setelah kalah dengan teruknya pada PRU15.

Mahathir telah menubuhkan Pejuang pada 2020 setelah meninggalkan PPBM (Bersatu) yang ditubuhkannya pada 2016 apabila dia meninggalkan UMNO.
Pejuang juga telah kalah pada semua kerusi PRN Johor yang ditandingi sebelumnya.
Pada PRU-15 November lalu, Pejuang tampil dengan panji GTA (Gerakan Tanah Air) yang bertanding 125 kerusi.
Sebagimana dijangkakan, semua calon GTA, termasuk Mahathir dan anaknya DS Mukhriz, yang merupakan Presiden Pejuang, telah tewas dan juga kehilangan wang deposit.
Tun Mahathir dilihat telah kalah teruk pada PRU-15 di Parlimen Langkawi dengan hanya memperoleh 4,566 undi kepada calon PN, Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi.

Ia sesuatu yang amat mengejutkan, tetapi kebanyakan penganalisis politik telah menjangkakan keputusan sedemikian.
Mahathir telah meluahkan persoalan, mengapakah rakyat Langkawi boleh begitu mudah melupakan jasa pembangunan yang dilakukannya di Langkawi.

Namun Mahathir yang ‘mudah lupa’ mamai dengan pelbagai persoalan yang telah membangkitkan kemarahan rakyat terhadapnya.
Mahathir lebih gemar menyalahkan orang lain, malah menterjemahkan pencapaian rendah ekonomi kaum Melayu sebagai manifestasi daripada sikap ‘malas’ kaum Melayu.

Mahathir telah banyak kali membangkitkan permusuhan dengan negara luar seperti Cina, India, Britain dan Eropah (sekadar menyebut beberapa negara).

Rakyat juga kecewa dengan pendedahan yang dibuat oleh media tentang kronisme, nepotisme serta salah guna kuasa dalam badan kehakiman negara.
Tanpa perlu menghuraikan secara terperinci, pastinya faktor negatif sedemikian telah menyumbang kepada kejatuhan Mahathir.
Namun apa yang memperkukuhkan titah baginda DYMM SPB Yang diPetuan Agong serta persepsi rakyat ialah tindakan Mahathir meninggalkan parti Pejuang yang kononnya ditubuhkan untuk membela kaum Melayu-Peribumi serta agama Islam.
Walau bagaimanapun Mahathir kekal bersama GTA (Gerakan Tanah Air) sebuah gugusan yang telah ditolak oleh kepimpinan Pejuang.
*****
Tinggalkan Jawapan