12 Feb 2023
Editorial
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang pernah dikaitkan dalam polemik aktivis pertubuhan Pengganas Antarabangsa LTTE, kini cuba mempersoalkan hak kaum Melayu dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagaimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan kedudukannya sebagai antara pemimpin DAP yang berpengaruh, Ramasamy telah menekan Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh kaum Melayu.
Adakah Ramasamy cuba menjadi wira kaum India, dengan menolak ke tepi hak dan kedudukan kaum Melayu yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial oleh semua kaum utama di Persekutuan Tanah Melayu sebelum Merdeka?
Lihatlah kembali kenyataan terima kasih Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan kerana penerimaan kaum peribumi untuk membenarkan kaum pendatang diterima sebagai rakyat Malaysia, sedangkan rata-rata negara Asia Tenggara yang lain menolak kehadiran mereka untuk membentuk negara berbilang kaum.

Dakwaan berunsur perkauman Ramasamy itu jelas mempersoalkan serta menghina kaum Melayu yang digambarkan sebagai lemah dan banyak bergantung kepada kerajaan, sedangkan hakikatnya ia adalah peruntukan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Seperkara yang menjengkelkan, Ramasamy seperti mahu menterjemahkan terdapat diskriminasi kaum dalam Perkhidmatan Awam sedangkan kaum Melayu memasuki JPA dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dengan piawaian yang telah ditetapkan.
Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan keperluan jawatan dalam pekerjaan itu sendiri.

Bangkangan jitu daripada kepimpinan PKR, Amanah dan UMNO telah meletus sebagai tindak balas ke atas kenyataan Ramasamy itu, yang dilabelkan sebagai prejudis dan rasis.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf melihat gesaan Ramasamy itu telah menjadikan dirinya sebagai liabiliti kepada kerajaan dan negara.

Ia hanyalah publisiti murahan untuk meletakkan dirinya sebagai wira kaum India, sebagaimana didakwa oleh Ketua Pemuda Amanah merangkap Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan juga turut menempelak kenyataan Ramasamy itu dan memberi amaran agar tidak ‘menjolok sarang tebuan’ dengan sengaja membangkitkan perkara ini hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap Perdana Menteri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan melayan gesaan Ramasamy sedemikian, sambil menambah bahawa kerajaan tidak melihatnya sebagai satu isu.
Sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan, DAP juga terkesan dengan kenyataan rasis Ramasamy sedemikian, apatah lagi dia adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
DAP perlu bertindak tegas dengan kenyataan rasisme sedemikian untuk menjaga reputasinya yang pernah dilabelkan sebagai parti cauvinis Cina.
Oleh itu, Ramasamy perlu dipecat daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
*****
Tinggalkan Jawapan