TUN M, TS MUHYIDDIN DAN TS HADI SEDANG KEPANASAN MENUNGGU MASA DIHERET KE MAHKAMAH

5 Feb 2023

Editorial

Setiap kali kerajaan bertukar, maka pemimpin sebelumnya pasti kepanasan kerana pelbagai dakwaan salah guna kuasa, malah ada yang dikaitkan dengan rasuah politik, kronisme dan nepotisme.

Dahulunya, Tun Mahathir dengan strategi politiknya yang dangkal, telah berusaha membebaskan DS Anwar Ibrahim dari penjara dengan cara bersendirian untuk menunjukkan lakonan drama politiknya yang amat hebat.

Hakikatnya meletupnya ‘reformasi’ jalanan serta lahirnya ‘Parti Keadilan Rakyat’ adalah sebagai tindak balas kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

Strategi skrip yang diolah sungguh dramatik, apabila dia telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa selama ini ‘Anwar tidak bersalah’ tetapi telah hampir sepuluh tahun merengkok di penjara.

Namun kemudian dalam barisan kabinetnya PH di bawah kuasa regim Mahatahir, Anwar menolak sebarang lantikan untuk mengelak hipokrasi politik serta drama yang cuba dimainkan.

Hari ini, setelah Anwar berkuasa, baik Tun Mahathir, TS Hadi Awang, mahupun TS Muhyiddin Yassin, masing-masing kepanasan untuk bersilat dan menepis tuduhan setelah SPRM dengan beraninya menjalankan tugas tanpa mengira bulu, kedudukan pangkat, serta kuasa politik.

Mahathir kepanasan dalam usia yang sudah melampaui ‘maghrib’ dengan isu pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura, yang akibatnya Malaysia kehilangan keyakinan pelabur asing, kehilangan 70,000 pekerjaan daripada projek itu, kehilangan peluang untuk memperoleh keuntungan RM70 bilion daripada pembinaan dan operasi HSR, serta kerugian lebih RM366 juta kerana terpaksa membayar pampasan kepada Singapura.

Lebih memeranjatkan adalah pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas tentang salah guna kuasa Mahathir dalam badan kehakiman negara.

TS Muhyiddin pula kini terkial-kial mahu mencari alasan bagaimanakah sedemikian banyaknya dana parti yang terkumpul dalam masa yang singkat’ serta perbelanjaan RM600 bilion ketika dia berkuasa yang kononnya untuk menyelamatkan negara daripada wabak Covid19.

Terkini akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta dibekukan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion ketika Muhyiddin berkuasa.

Hakikatnya dengan kehendak Allah, wabak Covid19 terus melonjak ketika Muhyiddin berkuasa, meskipun ketika itu beliau diselamatkan oleh Ordinan Darurat bagi memandulkan Dewan Rakyat agar perbelanjaan yang sedemikian besar tidak diperdebatkan.

Hakikatnya pada bingkai masa berkenaan, PKP separuh masak yang dilaksanakan telah gagal mengekang pandemik Covid19 sehingga Malaysia dicatatkan sebagai 10 negara terburuk di dunia yang parah diserang wabak berkenaan.

TS Hadi Awang pula, kini sibuk membuka kitab untuk mencari dalil tentang rasuah politik ketika PRU15, dan yang paling cantik dan mulia ialah menterjemahkannya sebagai ‘sedekah’ kepada pengundi.

Pada sudut pandangan SPRM, tiada sebarang masalah jika PAS mahu menggunakan istilah serta dalil ‘sedekah’, namun ia tetap rasuah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Transparency International Malaysia (TI-M) pula telah menuntut siasatan segera dijalankan oleh SPR dan SPRM berhubung kenyataan ‘sedekah pada musim pilihan raya’ yang dibuat oleh Hadi.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan, berkata TI-M mempersoalkan kenyataan Presiden PAS itu kerana ia langsung tidak boleh diterima dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) di bawah Seksyen 10 (a) mencatatkan bahawa perbuatan menyogok pengundi seperti itu pada sebelum, semasa atau selepas pilihan raya secara langsung atau tidak langsung, adalah salah.

Lantas, senario yang terlihat lebih banyak memaparkan hipokrasi pemimpin politik dalam gejala membolot kuasa dan wang ringgit.

Ramai yang masih tertanya-tanya adakah DS Najib Razak yang mempelopori ‘bantuan kewangan’ kepada rakyat miskin wajar dipenjarakan jika inilah hakikat hipokrasi pemimpin yang suka melihat dia merengkok dalam bilik sempit itu?

DS Najib bagi mereka adalah ‘perompak lanun’, sebaliknya mereka adalah ‘pemimpin prihatin rakyat dan pengundi’ yang suka bersedekah dan berhemah dalam perbelanjaan dana negara.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: