Editorial
21 Nov 2022

Apabila beberapa pemimpin tertinggi UMNO mengadakan pertemuan dengan pemimpin PH di Hotel Seri Pacific yang diura-urakan sebagai menentukan kata putus membentuk kerajaan baharu, ramai yang terkejut kerana selama ini disangkakan UMNO amat tegar dengan prinsip “No Anwar, No DAP’.
Namun ia merupakan satu dilemma yang amat menghimpit dalam kebijaksanaan memberi pertimbangan tentang kedudukan UMNO dalam kerajaan baharu.
TS Muhyiddin Yassin bersemangat dan optimis dapat membentuk kerajaan dengan sokongan GPS dan GRS tetapi tidak sepatah perkataan dari bibirnya yang menyebut kerjasama dengan UMNO-BN.
Ia selaras dengan kenyataannya bahawa ‘UMNO adalah musuh utama PN’ beberapa minggu sebelum PRU15.
Alangkah baiknya sekiranya PAS keluar dari gabungan PN dan menjalin kerjasama dengan UMNO, tetapi segalanya mustahil dan sudah terlambat.
Presiden PAS, TS Hadi Awang pernah mengeluarkan kenyataan ‘Haram sehingga kiamat menyokong UMNO’ malah sudah ada Ketua Pemuda Cawangan PAS yang mengeluarkan kenyataan ‘mengundi BN dan PH sama akan masuk neraka.’
Di samping itu terdapat pula pandangan media bahawa, sekirannya UMNO berada dalam PH, maka UMNO boleh mempertahankan kedudukan dan hak Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan agama Islam.
Benarkah strategi sedemikian boleh direalisasikan, sedangkan PAS ketika berada dalam Pakatan Rakyat dilihat telah menjadi keldai DAP, daripada membela Islam?
Buktinya, lihatlah bagaimana bekas Exco Selangor, Dr Hassan Ali yang menentang pemurtadan umat Islam di gereja Selangor telah dipecat daripada PAS.
Di samping itu keadaan yang amat kompleks dalam PN, kerana terlalu banyak parti komponen selain PAS dan Bersatu, adalah antara batu penghalang bagi UMNO menyertai PN.
Sebaliknya BN dan PH hanya merupakan satu gabungan antara dua gagasan sahaja iaitu BN-PH.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim telah berjanji akan mengheret mana-mana pemimpin rasuah ke muka pengadilan. Mungkin ia sesuatu yang dinanti-nantikan rakyat dalam kes 1BestariNet yang dikaitkan dengan Muhyiddin, kes menjarah dana negara RM600 bilion ketika Muhyiddin berkuasa, dan kes BNM-Forex Tun Mahathir serta kekayaan anak-anaknya, dan beberapa lagi kes berprofil tinggi.
Namun adakah Anwar akan membetulkan sistem kehakiman negara yang telah rosak dan dipersepsikan sebagai telah menganiaya DS Najib, sedangkan segala kegenjotan telah dimulakan oleh PH ketka Tun Mahathir berkuasa selama 22 bulan?
Adakah lagi sekali Anwar akan membiarkan Lim Guan Eng terlepas daripada kes rasuah Terowong Dasar Laut, serta kes Syed Saddiq dalam kes penggubahan wang haram serta pecah amanah?
Tidak lupa juga dengan kes DS Ahmad Zahid Hamidi yang belum lagi selesai.
Di tengah-tengah dilema dalam menentukan hala tuju UMNO sama ada memilih PN atau PH, Presiden UMNO sendiri, Ahmad Zahid Hamidi dihujani dengan desakan supaya meletakkan jawatan dan mencontohi DS Najib Tun Razak ketika BN kalah PRU18 tempoh hari.
Ironinya Ahmad Zahid bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin dalam UMNO yang menderhakai keputusan parti.
Namun Zahid juga terikat dengan persetujuan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional sebagaimana ditegaskan oleh Timbalan Presiden UMNO DS Mohamad Hasan, beberapa hari lalu.
Sebarang keputusan tanpa persetujuan dua badan itu, akan menjadikan tindakan Zahid tidak sah. Namun pastinya Zahid telah mendapat persetujuan kedua-dua badan itu meskipun ia tidak dihebahkan
Sebarang keputusan untuk bergabung dengan PH telah didebatkan dengan hangatnya oleh beberapa pemimpin utama UMNO dan BN, dan akhirnya tiada keputusan dibuat.
Walau bagaimanapun nampaknya DS Ismail Sabri dan Hishammuddin Tun Hussein sedia dipecat sekiranya langkah untuk menyertai PH dilaksanakan. Mungkin ada lagi ahli parlimen UMNO yang akan mengekori langkah mereka.
Antara teori longgar yang dibangkitkan, UMNO-BN yang memenangi 30 kerusi, sekiranya digabungkan dengan PH ‘mungkin’ UMNO boleh meredakan kebimbangan tentang dominasi DAP dengan tambahan MP Melayu.
*****
Tinggalkan Jawapan