Editorial
11 Nov 2022
Untuk melampiaskan kemarahannya terhadap UMNO, Tun Mahathir mahu UMNO dikuburkan, lantas dia menubuhkan PPBM dan berdiri atas falsafah Bersatu.
Bagi mengukuhkan sasarannya untuk mentalkinkan UMNO, Mahathir menolak prinsip membela umat Melayu-Islam, dan memadamkan pemusuhannya dengan Lim Kit Siang-DAP, lantas bersekongkol sebagai parti komponen PH yang didominasi DAP.
Sesuai dengan prinsip ‘use Malays to screw the Malays’ kehadiran Mahathir dalam DAP adalah ibarat ‘pucuk diharap ulam mendatang’.
Dengan itulah rakyat melihat kemudiannya Mahathir menjadi PM boneka kepada DAP, dan dia sendiri mengakuinya.

Ironinya, sebagaimana didedahkan oleh Dtk Hamidah Othman, asas penubuhan PBBM bukanlah atas idea Mahathir, tetapi ia adalah idea Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.
Memang tepat sekali dan selari dengan niat jahat Mahathir, kerana ‘membunuh’ UMNO adalah agenda tegar DAP.
Di tengah-tengah kecurigaan kaum Melayu terhadap Mahathir, dia tampil menghina kaum Melayu sebagai pemalas, kerana kemiskinan, sedangkan matlamat hidup seseorang mukmin bukanlah semata-mata kekayaan dunia.
Mahathir juga telah mencemuh UMNO kerana menaja kaum Melayu-Islam menunaikan fardu Haji, sebagai sogokan, sedangkan ketika berkuasa, dia mahu rakyat miskin ‘mengikat perut.’
Lebih melukai hati kaum Melayu, dalam Kongres Maruah Melayu sendiri, Mahathir masih menghina dan mengeji kaum Melayu. Lantas adakah dia ikhlas mahu membela kaum Melayu-Bumiputera, sedangkan darah Melayunya sendiri telah dipertikaikan?

Namun Mahathir lalai, dalam Bersatu ada pengkhianat, dan dia hanya sedar setelah berlangsungnya ‘Langkah Sheraton’.
Lantas daripada senario sedemikian, terpaksalah Mahathir keluar daripada PH, setelah dia sendiri ditendang keluar oleh Muhyiddin Yassin daripada Bersatu.

Kesan daripada segala kemelut penubuhan PPBM, serta sikap Mahathir terhadap pemimpin UMNO, umat Melayu-Islam tidak dapat menerima parti PPBM milik asal Mahathir sehingga Muhyiddin terpaksa mengugut katak-katak politik melompat masuk PPBM.

Mahathir terkial-kial sendirian bersama anaknya DS Mukhriz Mahathir dan dengan hanya dua ahli parlimen dia menubuhkan pula Pejuang Tanah Air (Pejuang) dengan matlamat utama untuk memperjuangkan masa depan kaum Melayu kononnya. Falsafah itu sememangnya baik, tetapi kaum Melayu lebih mempercayai UMNO yang menjadi sandaran mereka sejak lebih 70 tahun lalu.
Jika falsafah Pejuang membela Melayu, masakan kaum lain yang bukan Melayu boleh menerima Pejuang. Akibatnya Pejuang kalah pada semua 42 kerusi DUN yang dipertaruhkan di PRN Johor.

Lantas Pejuang terkial-kial kekal sebagai parti ‘melukut di tepi gantang’ yang tidak diterima baik kaum Melayu apatah lagi kaum bukan-Melayu.
Dengan itulah Mahathir terpaksa membuka pintu yang lebih lebar dengan menubuhkan pula Gerakan Tanah Air (GTA) dengan prinsip dan falsafah yang hampir sama dengan Pejuang, tetapi menjenamakannya sebagai satu gagasan baharu agar dapat memperkasakan Pejuang.

Malangnya rakyat melihat GTA hanyalah parti yang semata-mata mahu memecah-belahkan lagi perpaduan Melayu-Islam, manakala kaum bukan-Melayu pula tidak dapat menerima parti yang sempit terhadap prinsip integrasi nasional.
Dengan itulah GTA yang hakikatnya masih belum ada keabsahan untuk berdiri kerana belum diluluskan pendaftarannya oleh RoS secara rasmi, tidak diterima oleh rakyat.

Mungkin juga faktor Mahathir sendiri sebagai PM yang korup sebagaimana dakwaan George Soros, kronis dan nepotis sebagaimana dakwaan DS Anwar Ibrahim, dan faktor usia tua yang hanya akan ‘membawa rakyat ke kubur’ sebagaimana dakwaan MO Ibrahim, telah membuat rakyat menolak GTA dan Pejuang.
Rakyat sudah cukup menderita setelah Mahathir berkuasa selama 22 tahun dengan dasar penswastaannya yang telah banyak mencekik leher rakyat, tetapi mengkayakan kroni-kroni dan anak-anaknya.
Setelah puas menjarah tenaga dan sokongan UMNO, Mahathir mahu membunuh UMNO, lantas tidak hairanlah selama 22 bulan berkuasa Mahathir telah menikam PH dari belakang.
Kini entah beberapa bulan yang akan mendatang, Mahathir akan membunuh pula PUTRA, BERJASA dan IMAN, sebagaimana dia cuba membunuh UMNO, dan Bersatu tetapi gagal.
*****
Tinggalkan Jawapan